Kitab Rujukan Memancing Sebarau!!

Share

 

Sebarau merupakan ikan pancingan sukan yang sangat mengujakan. Spesies ini mempunyai sifat seekor pemburu dan sangat agresif. Pemancing yang terjumpa kawanan sebarau sedang memburu mampu menaikkan beberapa ekor spesies ini dalam waktu yang singkat.

 

Di Malaysia, sebarau atau badong boleh dikatakan ikan pancingan sukan yang paling terkenal dan paling mengujakan. Daya tentangan ikan ini cukup kuat dan boleh dikategorikan antara spesies pemangsa yang terhandal. Kekuatan sebarau boleh dirasakan sejak dari mula spesies ini menghentam gewang sehinggalah sewaktu mendaratkan ikan ini.

 

 

Sebarau cukup terkenal bagi penggemar teknik mengilat. Selain gewang tiruan dan sesudu, sebarau juga boleh dipancing menggunakan umpan seperti cacing dan serangga. Lokasi terbaik dan popular memancing sebarau termasuklah tasik-tasik besar, lombong tinggal, kawasan air terjun berjeram serta sungai-sungai pegunungan. Sebarau sering mendiami kawasan seperti ini.

 

Kawasan yang mempunyai sedikit struktur menambahkan lagi potensi kehadiran sebarau. Dengan struktur seperti batu besar dan kayu, sebarau berpotensi menunggu mangsa di sebalik struktur tersebut. Penggunaan umpan tiruan lebih berpotensi dihentam sebarau jika digayakan di kawasan berstruktur.

 

 

Sebarau yang lebih besar atau badong pula sering menghuni kawasan yang lebih dalam dan berstruktur. Sebarau bersaiz 1kg ke atas mampu memberikan tentangan yang mengujakan sehingga ke gigi air atau tepi bot. Kes mata kail standard gewang dan sesudu patah atau bengkok perkara biasa jika terkena sebarau bersaiz besar.

 

Ada di kalangan kaki pancing awal-awal lagi akan menukar mata kail kepada yang lebih kuat, terutama untuk menjejak sebarau di kawasan sungai pegunungan. Kekuatan tantangan serigala air tawar ini sejak awal hingga ke akhir perlawanan seharusnya mendapat penghormatan oleh pemancing.

 

Bagi teknik mengilat, penggunaan paling mudah, efektif dan popular ialah penggunaan sesudu. Penggunaan sesudu sangat berkesan untuk digayakan di lokasi yang berair tidak terlalu dalam serta berarus.

 

 

Bagi lokasi seperti sungai-sungai pegunungan, selalunya penggunaan sesudu tidak mengecewakan. Larian sesudu serta kilauan pada sesudu biasanya akan menarik perhatian spesies ini untuk mengejar dan menghentam sesudu.

 

Selain itu, penggunaan gewang selaman sama ada selaman sederhana dan selaman dalam turut berkesan menjerat sebarau. Sebarau yang bersaiz lebih besar biasanya mendiami kawasan yang lebih dalam dan penggunaan gewang selaman berkesan menarik perhatian sebarau.

 

Satu lagi gewang tiruan yang cukup popular ialah gewang permukaan. Saya sendiri menganggap, dalam banyak-banyak gewang, gewang jenis ini paling mengujakan.

 

Anda sendiri cuba bayangkan, setibanya di satu teluk di awal pagi, ketika itu hujan sedang turun gerimis, gewang pensil di lontar jauh, sebelum dimainkan dengan perlahan.

 

 

Sedang mata memerhatikan lenggokan gewang berkenaan, satu deburan kuat kedengaran, serta-merta degupan jantung berkali ganda kuat degupannya. Satu tarikan padu berlaku pada kekili anda dengan tali berdecit muntah keluar sebelum asakan tersebut cuba ditahan dengan kemas.

 

Tiada yang lebih nikmat melainkan merasai saat pertarungan tersebut. Sama ada ia berpihak kepada ikan atau anda itu terpulang pada skill dan juga peralatan memancing yang anda gunakan.

 

 

Published by
Amang