Mangrove jack atau siakap merah atau nama saintifiknya Lutjanus argentimaculatus adalah suatu spesies yang mendominasi muara-muara sungai air payau. Ikan ini memang menjadi dambaan para pemancing tegar dan kaki casting. Sikapnya yang suka menyambar gewang jika melalui sarang hendapnya menjadikan ikan ini seperti samseng jalanan yang sentiasa menjadi buruan.

Mendengar cerita tentang siakap merah ini daripada mulut Amir dan Asrul yang saban bulan memburunya membuatkan saya semakin tidak sabar untuk mengikut trip mereka ke Kuala Trong, Perak. Kali ini cuti Tahun Baru Cina yang bersambung dengan cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad membuatkan trip ini menjadi lebih panjang dan maksima kepuasannya.

Dengan menggunakan umpan ikan jenjulung, saya mengharapkan tidak akan terlepas aksi untuk menangkapnya walaupun awal-awal lagi Amir sudah memberitahu bahawa cabaran utama setelah spesies ini memakan umpan adalah ia akan segera mencari bangkar kayu bakau untuk melepaskan diri.

Cakaplah apa sahaja cabarannya, saya sudah tidak ambil pusing lagi. Niat saya hanya satu iaitu untuk menaikkan seberapa banyak siakap merah ini dan kemudian menyuruh orang rumah masak lemak cili api. Kemudian panggil kawan-kawan dan Ustaz Hamdan untuk membacakan doa selamat. Itu pun sudah cukup!

Hari yang ditunggu sudah tiba. Memandangkan ikan ini aktif antara jam 7 hingga 10 pagi serta tiga petang hingga lewat senja, kami mengambil keputusan turun ke muara sebaik sahaja selesai solat subuh di surau kecil berdekatan dengan jeti. Kami sempat mengalas perut dengan nasi lemak berlaukkan ikan masin dan kopi O pekat. Segar mata dibuatnya.

Perjalanan menuju ke muara hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam dari jeti. Selain ikan jenjulung tadi, Amir turut membawa beberapa ketul gewang dan juga udang segar.

Tekong kami, Pak Hassan memang mahir dengan semua lubuk yang ada di sini. Maklumlah Pak Hassan sudah 20 tahun bekerja sebagai nelayan. Setiap kali lubuk disinggahi, pasti ada habuan yang kami perolehi. Sepanjang tiga jam, sudah dua lubuk yang kami pergi. Matahari juga sudah semakin meninggi.

“Balik ke kita?” tanya Pak Hassan. Ketika itu aku sempat mengerling ke jam tangan yang dipakai. Ya ALLAH, dah hampir jam 11.30 pagi. Patutlah cuaca terasa terlalu panas terik dan badan sudah mula rasa melekit.

“Kita berteduh dululah Pak Hassan. Nak balik pun alang-alang saja. Lepas Zuhur nak turun balik,” kata Amir yang memang mahir dengan kawasan itu. Maklumlah dalam dua bulan sekali pasti Amir akan turun memburu spesies kegemarannya ini.

Ads

Pak Hassan hanya mengangguk. Bot di kemudi menuju ke satu lokasi di tengah-tengah kawasan paya bakau itu. Rupa-rupanya terdapat sebuah port lapang yang sesuai untuk mendirikan sebuah khemah kecil. Di situlah kami melabuhkan badan serta menyediakan makan tengah hari dengan hidangan istimewanya ikan siakap merah bakar cicah kicap cili api.

Selesai makan dan perut kekenyangan, saya tertidur di bawah redup kayu bakau yang akarnya terjongol keluar. Ketika itu, saya tak fikir apa-apa lagi. Sekadar dapat melelapkan mata dalam masa yang singkat sudah cukup untuk mengembalikan kekuatan fizikal untuk bertarung lagi di sebelah petang.

Dalam tidur-tidur ayam itulah, saya terasa seperti ada seorang wanita yang mengejutkan saya sambil menunjuk kesatu arah. Anehnya, wanita itu hanya berbadan manusia dari pinggang ke atas.

Bahagian pinggang ke bawah pula menyerupai ekor ikan yang bersisik emas. Rambut wanita itu panjang, mengurai hingga ke pinggang. Matanya hitam dengan alis mata yang melentik. Cantik sungguh wanita yang mengejutkan saya itu. Seperti dipukau, saya bangun perlahan lalu mengikut wanita itu dari belakang.

Suasana di kawasan itu juga bertukar. Daripada kejauhan, saya ternampak sebuah istana tersergam indah. Beberapa penduduk yang lalu lalang hanya menundukkan muka sebaik sahaja pandangan kami bertemu. Wanita cantik seperti ikan duyung itu terus berjalan pantas seolah-olah bahagian ekornya merupakan kaki yang kukuh untuk memijak bumi.

Ads

Kami berjalan memasuki istana indah itu. Sumpah, inilah kali pertama saya melihat sebuah bangunan indah yang diperbuat daripada kristal bercahaya biru, kuning dan hijau. Di sebuah dewan besar, terdapat sebuah kerusi tinggi. Bersemayam di situ seorang lelaki tua yang bahagian pinggangnya juga menyerupai ekor ikan bersisik emas. Cuma di bahagian kepala terdapat sebuah mahkota indah yang berwarna kuning diraja.

“Anak beta terpikat dengan kamu. Sudikah kamu untuk mengahwininya?” Itulah kata-kata pertama yang dilontarkan oleh lelaki itu.

“Tapi saya dah kahwin. Sudah ada tiga orang anak,” saya cuba menjawab jujur. Namun ketika saya cuba menggambarkan wajah isteri dan anak-anak, kepala saya terasa amat sakit.

“Itu bukan masalah utama. Kamu cuma setuju sahaja,” balas lelaki itu. “Sebagai balasan, apa saja harta yang ada di kerajaan beta akan menjadi hak milik kamu selama-lamanya” sambungnya lagi.

Ketika ini, wanita cantik itu memegang tangan kiri saya. Terasa tangannya licin seperti berlendir. Dia tersenyum memandang saya seolah-olah menggalakkan saya menerima kata-kata lelaki itu.

Ads

Ketika itulah, saya terdengar nama saya dipanggil berkali-kali diikuti dengan bacaan Surah An Nas. Badan saya terus mengigil-gigil, kepala terasa amat berat dan sakit. Pandangan saya berbinar-binar. Wanita cantik persis ikan duyung itu pula meronta-ronta seperti mahu melarikan diri jauh daripada saya.

Entah berapa lama kejadian itu berlaku, tidaklah saya ketahui. Sedar-sedar sahaja, saya dapati saya sudah dikerumuni oleh Pak Hassan, Amir dan Asrul. Pak Hassan sedang membasuh muka saya sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

“Moh lah kita keluar daripada kawasan ni,” kata Pak Hassan. Kami bertiga tidak banyak soal. Selesai mengemaskan barang-barang khemah, kami terus berangkat pulang ke jeti. Mood untuk menyambung memancing pada sebelah petang terbantut dek peristiwa yang berlaku tadi. Cerita Amir, saya terpekik-pekik dalam tidur. Puas dikejut namun saya buat tak tahu sahaja.

Akhirnya Pak Hassanlah yang datang ‘mengubat’ saya dengan membaca surah An Nas dan ayat Qursi berulang-ulang kali. Menurut Pak Hassan kawasan kami berkhemah itu memang agak keras sedikit kerana dikatakan di situlah terdapat sebuah kerajaan jin kafir yang selalu mengganggu para nelayan yang berteduh di situ.

Saya dikatakan bernasib baik kerana mampu ‘diselamatkan’. Biasanya nelayan yang diganggu akan ‘hilang’ begitu sahaja. Sama sahaja mayatnya dijumpai setelah operasi mencari masuk hari ke tiga atau ghaib begitu sahaja.

Sejak kejadian itu, minat saya memburu siakap merah agak berkurangan. Saya kini lebih yakin dan selamat memancing di kolam berbayar yang berdekatan dengan tempat kediaman. Sesungguhnya bumi Allah ini juga ada penghuni lain selain manusia. Wallahualam.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI