Ikuti pengalaman seram dan lucu para pemancing yang berhadapan dengan pelbagai perkara mistik di luar kotak pemikiran yang normal.
Kisah 1
Kes aku bersama kawan-kawan berlaku di Tasik Manong, Batu 3 Jalan Yong Peng. Kejadian di kaki Bukit Jintan. Masa tu tahun 90-an.
Kita orang bergasak ikan kaloi berpuluh-puluh kilogram. Umpan udang kampung (udang bangkrok nama dia), kaloi dia besar-besar talam saiz dia. Setakat saiz-saiz pinggan tu kasi lepas je. Ikan sumbat dalam guni baja 50 kg penuh.
Kita orang pergi berenam. Ada sorang member ni siap bawak balik tunggul kayu. Tunggul tu sebijik rupa ikan kaloi. Ikat kat belakang motor. Kita orang memang tak tau dia ambik tunggul tu untuk bawak balik! Akibatnya… ambik kau!
Ads
Hampir empat kali pusing-pusing kita orang tetap jumpe jalan yang sama. Aduhhh… kompom sesat ni tak pun kene tutup jalan. So kita orang meeting la… tiba-tiba aku terpandang tunggul tu!
Aku cakap nak buang tunggul tu dia cakap baik buang ikan daripada buang tunggul tu. Tapi aku berkeras jugak… setelah aku ambik dan buang jauh-jauh, Alhamdulillah. Sekali round je… rupa-rupanya jalan nak keluar tu sebelah aje rupenya… wakakakaka. Selamat!
MOHD ZAMZA MOHD ZAMZA
Kisah 2
Saya baru semalam kena, lokasi Puchong Jaya. Selangor. Nasib baik la member aku jerit-jerit nama aku, port lombong sebelah timur ada hutan kecik.
Ads
Aku try je masuk pasal nampak dari belah barat, port nampak cantek. Dah sampai belah timur nak patah balik belah barat, parking motor belah barat lombong. Aku masuk hutan tu.
Nak balik pasal nak ikut tepi lombong tak boleh semak rimbun, aku masuk je dalam hutan tu. Aku pusing-pusing dekat 30 minit. Hutan tu bukan rimbun sangat adalah dalam 200 meter persegi.
Rasa dah macam kena culik bunian. Nasiblah kawan jerit-jerit ajak balik baru sedar saya dah ada sebelah utara lombong tu.
Bahagia je rasa bila dah nampak muka member yg nampak marah tu pasal dari tadi jerit-jerit ajak balik.
Ads
ROHMAN MAWET
Kisah 3
Ado la satu cerito… tapi kelakarlah jugak. Poie ngonjon haruan dengan 3 orang kawan ni. Port ea dalam hutan belkang rumah sorang brader ni.
Mintak la dio tunjukkan jalan ko port tu. Bilo dah sampai kita orang pun mulolah mancing dan brader ni cakap nak balik.
Tak lamo leps tu… dio pusing balik mintak den hantar kan sobab sosek tak jumpo jalan walhal topek tu betul-betul belakang rumah dio jo. Polik ko tak polik tu… hahaha.
NI MUMAT
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Seekor ikan rohu anggaran berat dalam 3 kg berjaya diheret ke tebing. Hasil keempat yang tumpas di tangan saya lewat petang itu.
Manakala Zainal berjaya menewaskan dua ekor jelawat. Zahrul pula seekor jelawat serta seekor rohu.
Seekor lagi berjaya memutuskan tangsi dengan menyusup masuk ke dalam kawasan keladi bunting.
Kedengaran sayup-sayup dari kampung berdekatan suara orang mengaji. Bermakna beberapa minit lagi azan maghrib akan dilaungkan. Kami mengemas barang dan masukkan dalam bonet kereta.
Setelah memastikan tiada lagi barang yang tertinggal, saya terus memandu keluar dari kawasan lombong menuju simpang kampung di mana Zahrul meletakkan motosikalnya.
Selesai solat maghrib di surau, saya menghantar Zainal ke rumahnya terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah bujang saya. Dua ekor ikan hasil pancingan saya disedekahkan kepada Zainal memandangkan dia mempunyai ‘keluarga besar’.
Baki dua ekor lagi sudah cukup bagi saya untuk dibakar sebagai juadah malam nanti bersama rakan-rakan bujang.
Kereta Proton Satria Neo saya pandu perlahan. Jalan kampung yang muat untuk sebuah kereta sahaja dan laluan yang bengkang-bengkok merbahaya jika memandu laju.
Lagi pun saya tidak berapa biasa dengan laluan tersebut. Termasuk yang ini, baru kali kedua saya melaluinya. Ada satu lagi jalan baru yang lebih luas tetapi jauh.
Memandu bersendirian, melayan lagu sambil teringatkan aksi pecutan ala torpedo rohu lombong petang tadi.
Memang seronoklah. Kalau ada kesempatan mahu saya turun lagi ke sini.
Dumm!
Terkejut dan serta-merta kaki menekan brek. Lampu tinggi saya pasang. Saya terlanggar sesuatu. Lima belas kaki di hadapan kereta berhampiran jambatan kayu, saya lihat seseorang terbaring di dalam semak.
Menggelabah dan berdebar-debar. Saya bergegas keluar. Masih terpinga-pinga, saya meluru ke arah semak. Kaki dan tangan saya menggeletar.
Seingat saya tidak ada sesiapa tadi di tepi jalan atau melintas jalan. Apakah saya tidak perasan atau fikiran jauh melayang. Rasa bersalah menyelubungi diri. Menyesal pun ada.
Seorang perempuan dalam lingkungan usia 30-an bangun sambil mengibas-ngibas kain membuang rumput dan ranting kayu yang melekat.
“Kak… teruk ke kak? Saya tak nampak tadi. Maaf kak.. maaf,” Kelam-kabut saya dibuatnya.
Ya lah aku langgar orang. Kalau langgar kucing pun kita sudah rasa tidak keruan.
“Tak apa, sikit saja dik… tak apa”
Sambil tersenyum wanita itu mula melangkah. “Err..kak, saya hantar kak ke klinik. Kat mana klinik yang dekat?”
Wanita itu terus melangkah. “ Tak apa, rumah akak seberang jalan sana saja. Akak tak apa-apa. Adik baliklah…”.
Hari Ahad, setelah tiga hari peristiwa tersebut saya bercadang pergi ke tempat kejadian mencari rumah kakak tersebut untuk menziarahinya. Jauh tempat kejadian dengan rumah bujang saya, kira-kira satu jam perjalanan.
Sebaik sampai di jambatan kayu tersebut, saya terlihat seorang lelaki sedang menangguk anak udang. Saya berhentikan kereta.
Saya bertanyakan lelaki berkenaan perihal wanita yang saya terlanggar beberapa hari lalu, mungkin dia mengenalinya.
Menurut apa yang lelaki itu beritahu saya, rumah wanita yang di seberang jalan itu sebenarnya kawasan tanah perkuburan Islam kampung berkenaan. Tiada rumah di kawasan itu.
Berderau darah saya. Kejadian malam itu sepantas kilat terbayang di depan mata. Patutlah kakak itu bangun selamba tanpa sebarang kecederaan dan kenapa saya boleh tidak perasan, kainnya langsung tidak koyak sedikit pun! Malam itu saya macam terpukau.
Lelaki itu memberitahu saya, pada awal tahun 80-an wanita itu mati dibunuh oleh bekas kekasihnya. Mayatnya dicampak ke bawah jambatan dan penduduk kampung sering
bertembung ‘wanita’ berkenaan di sekitar jambatan ini. Seram sejuk tubuh saya mendengarnya. Tergesa-gesa saya meminta diri.
Pada mulanya saya bercadang untuk terus pulang. Teringat pula si Zahrul yang rumahnya hanya sekitar 15 kilometer sahaja lagi ke hadapan. Saya terus memandu menuju ke rumah Zahrul.
“Lama dah kau tak datang ke mari, apa khabar?,” Soalan cepu emas daripada emak Zahrul sebaik saya melangkah masuk ke ruang tamu.
“Saya macam ni lah mak cik. Mak cik sihat?” Memang betul. Hampir 6 bulan saya tidak ke rumah Zahrul
“Makcik sihat. Sihat orang tua”. Ujar mak Zahrul sambil melangkah ke dapur.
Sedang rancak bercerita kisah-kisah memancing, saya teringat hendak memberitahu Zahrul apa yang saya alami sewaktu pulang dari memancing rohu tempoh hari.
“Nasib baik ada lelaki di jambatan tadi yang memberitahu aku siapa sebenarnya ‘kakak’ tu”.
“Ada lelaki dekat jambatan?” Emak Zahrul yang menghidang air kepada kami tiba-tiba menyampuk.
“Ya mak cik. Lelaki kurus, rambut kerinting. Tinggi tak tinggi sangat, lebih kurang tinggi saya. Kenapa mak cik?.
“Itu suami perempuan tu. Dia pun sama kena bunuh sekali dengan isteri dia. Dua-dua dicampak ke bawah jambatan kayu tu” jelas mak Zahrul.
ASTAGHFIRULLAH..!
“Zahrul, aku beransur dululah. Nak rileks kepala aku ni. Malam tu jumpa kakak tu, pagi tadi jumpa suami dia pulak! Berat… berat!”.
Saya meminta izin pulang kerana kepala sudah mula serabut dengan dua kejadian yang menimpa saya tanpa diduga.
“Kau nak ikut jalan kampung ke jalan baru?”
“Kau hulur seratus pun aku tak akan lalu jaZainal lama tu. Kalau kau ikut sama, boleh”.
Sepanjang perjalanan, kejadian pagi tadi dan malam jumaat tempoh hari bermain di fikiran. “Patutlah tiada kesan calar atau kemek pada bumper depan…” bisik hati saya.
Hanya tuhan yang tahu apa hikmah di sebalik kejadian ini. Moga tuhan merahmati ke atas kedua-duanya. Al-Fatihah.
Boleh dikatakan hampir setiap minggu aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik casting atau pancingan dasar. Teknik melabuhkan umpan dan tunggu merupakan langkah terakhir sekiranya tiada mana-mana geng yang turun atau tiada port yang ingin diterjah kerana casting pilihan utama.
Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di pusat pengajian tinggi dahulu. Rakan-rakan yang lain agak kecewa kerana selalunya akulah yang menjadi mastermind kepada sebahagian komplot yang dibuat.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 12 tengah hari. Dalam hati terdetik “masih awal, ada peluang nak mancing petang ni”. Puas melihat pengantin setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus mencapai telefon bimbit dan menelefon Adnan. Rupanya Adnan sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir dua jam katanya. Racun punya racun, Adnan akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Banting. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku tidaklah terlalu jauh dan tidak terlalu dekat, hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih. Setibanya Adnan di pekarangan rumah, kami bercadang untuk naik satu kereta iaitu kereta aku.
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Adnan. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di setup tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Adnan untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Adnan bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Adnan mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan Maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan Isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh.
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Adnan yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?”
Pak cik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Adnan hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Adnan hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Nan!” Tetapi tidak diendahkan oleh Adnan sebaliknya Adnan terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Adnan, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Adnan sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Cuti sekolah baru-baru ini, saya dan Apit sudah bercadang mahu mencuba lubuk baru yang lebih mengancam dan mendebarkan. Kali ini kami memilih sebuah lubuk yang mula menjadi sebutan di kalangan kaki pancing.
Lubuk ini terletak dalam hutan simpan yang masih dara dan belum sangat diteroka. Lokasinya di sebuah kawasan pedalaman di negeri Kedah. Selain saya dan Apit, Nasha dan Iwan juga menawarkan diri untuk pergi. Kami bercadang untuk bermalam sehari di kawasan ini.
Perjalanan dengan kereta Wira kesayangan saya mengambil masa hampir dua jam ke hutan simpan ini. Setelah meletakkan kereta di kawasan yang disediakan, kami terpaksa berjalan kaki meredah belukar setinggi pinggang hingga sampai di satu kawasan perkampungan orang asli.
Dari situ perjalanan diteruskan dengan melalui celah bongkah batu yang besar. Aliran air yang mengalir di celah-celah batu sangat jernih dan segar hingga kami minum begitu sahaja. Inilah air mineral yang paling sejuk dan jernih yang pernah saya jumpa. Setelah berjalan hampir dua jam, akhirnya kami tiba di satu kawasan lapang yang boleh memuatkan tiga buah khemah. Inilah tempatnya. Di hadapan kami terbentuk sebuah lubuk dalam yang airnya berwarna kehijauan.
Suasananya sejuk dan nyaman. Pokok hutan sebesar dua pemeluk seolah-olah memayungi kawasan ini agar redup. Sesekali saya dapat melihat kocakan ikan di dalam lubuk seolah-olah menyambut mesra kedatangan kami ke situ. Tanpa membuang masa, saya dan Apit terus mendirikan khemah ringkas berbentuk A. Nasha dan Iwan pula sudah bersiap dengan joran dan umpan masing-masing. Misi kami untuk mencari lauk yang bakal dijadikan hidangan makan tengah hari.
Maklumlah perut sudah berkeroncong untuk diisi. Dengan berbekalkan umpan yang dibuat daripada isi kelapa sawit dan beberapa ramuan rahsia, Nasha terus melabuhkan jorannya di tengah lubuk yang airnya sangat tenang dengan riak kecil di atas permukaannya. Tidak sampai dua minit, seekor ikan baung sebesar lengan budak dua tahun melontar lemah di hujung kail.
Iwan pula berjaya memperolehi ikan tengas seberat hampir setengah kilogram dan dua ekor ikan baung. Saya terus membakar ikan-ikan itu setelah dibersihkan isi perutnya manakala Apit pula membuat bahan cicah yang berupa kicap yang dicampur dengan hirisan bawang besar dan cili api.
Setelah menikmati makan tengah hari, kami berempat berlumba-lumba melabuhkan joran. Menjelang jam 6 petang, ikan seperti beransur kurang dan saya mendapat ikan sebarau seberat setengah kilogram sebagai mangsa terakhir. Sedang asyik menaikkan ikan, Apit memberi isyarat dengan tangannya menunjuk ke satu arah.
Jelas pada pandangan saya seperti satu barisan panjang pelbagai jenis bunga-bungaan seperti mawar merah, kenanga, cempaka, melur dan beberapa jenis lagi hanyut dengan tenang di hadapan kami. Terdapat juga limau purut yang dipotong dua.
Haruman limau segar jelas menusuk hidung. Sebaik sahaja kami terlihat bunga-bungaan ini (seperti ada orang yang mandi bunga di hulu sungai) saya dan kawan-kawan melompat naik ke darat. Malam itu, perasaan kami sedikit berdebar.
Kami berempat seperti terkelu. Berlaku lagi satu peristiwa yang agak menyeramkan pada malam itu. Pada jam 11 malam, saya terdengar sekumpulan anak kecil sedang riuh bermain di tepi khemah yang saya diami bersama Apit. Saya menyuluh keluar, namun tiada satu apa pun yang kelihatan.
Entah mengapa tergerak hati saya untuk menyuluh ke atas pokok dan ketika itu terasa jantung mahu gugur apabila melihat beberapa kepala tergantung tanpa badan dan kaki, mata merah merenung saya dalam keadaan marah. Walaupun merasa gementar dan takut, saya tidak pula memberitahu kawan-kawan tentang perkara itu saya hanya mendiamkan diri dan tidur sehingga pagi.
Keesokan harinya, saya mengajak kawan-kawan pulang kerana tidak sedap hati dengan situasi yang dialami. Nasya meminta rancangan pulang ditangguhkan ke tengah hari supaya kami dapat memancing lagi. Namun, sebaik sahaja kami melihat seekor biawak sebesar anak buaya keluar daripada belukar berhampiran merangkak perlahan, menuju ke gigi air hasrat Nasya itu kami tolak mentah-mentah.
Kami mengemas segala peralatan khemah dan joran lalu bergerak keluar meninggalkan kawasan itu pada jam 8.30 pagi. Di pertengahan jalan, kami berjumpa dengan Tok Batin orang asli yang dikenali dengan nama Tok Maneh. Kami terus menceritakan kejadian aneh yang kami alami kepada Tok Maneh.
Orang tua itu hanya tersenyum dan berkata kami bernasib baik kerana tidak diganggu oleh puaka hutan yang memang biasa mengganggu pemancing yang baru berkunjung ke situ. Tok Maneh juga telah menunjukkan kami satu lokasi terbaik untuk memancing ikan. Di sini kami telah berjaya memperolehi lapan ekor sebarau yang sederhana saiznya, baung, lampam, tengas dan juga temperas.
Walaupun telah menempuh pengalaman aneh dan misteri namun saya dan kawan-kawan tidak merasa serik untuk berkunjung ke sini lagi. Saya percaya walau di bumi mana kita berada kita tetap berkongsi dunia dengan makhluk Allah yang lain. Wallahualam.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...