Bunyi cengkerik bersahut-sahutan menghasilkan satu bunyi aneh dan ganjil pada pendengaran telinga.

Namun pada diriku, Suhaimi dan Usai, ia bagaikan satu irama yang amat menarik untuk dihayati pada malam yang gelap.

Ditambah pula dengan deruan air sungai, kombinasi keduanya membuatkan kami lebih selesa untuk saling tidak berbual.

Hanya melayan joran yang sudah dilontar di permukaan air yang tenang. Sesekali anak ikan sebarau melompat manja di permukaan air seolah-olah mencabar kesabaran kami pada malam itu.

 

“Aku nak masuk khemahlah. Mengantuk,” Usai bangun lalu berjalan perlahan menuju ke khemah.

Dia merebahkan badan dengan beralaskan kanvas nipis yang kami bawa dari rumah.

Bantal kepalanya hanya beg galas yang berisi sehelai dua baju. Cukuplah, setakat memejamkan mata sejam dua.

 

Aku dan Suhaimi masih sabar menantikan sang mangsa membaham umpan yang kami labuhkan tadi.

Semenjak sampai di Sungai Gebok ini, hanya tiga ekor ikan lampan yang kami dapat. Itu pun hanya sebesar empat jari budak setahun.

Hanya cukup untuk habuan makan malam kami yang sudah selesai selepas solat Isyak tadi.

 

Aku masih teringat peristiwa yang berlaku dua minggu lepas, ketika aku singgah untuk membeli sesisir pisang di gerai Pak Lokman.

Ketika itu Pak Lokman dan isterinya sedang makan tengah hari. Berselera aku tengok Pak Lokman makan ikan sebarau masak lemak kuning dengan belimbing buluh.

 

Tanpa ditanya, Pak Lokman terus menceritakan bahawa dia mendapat rezeki lumayan ketika memancing di Sungai Gebok tiga hari lepas.

Ads

Selain sebarau, dia juga mendapat lampan, baung, dan seekor kelah yang mungkin tersesat katanya. Dek, mendapat rezeki yang banyak, Pak Lokman menjual kesemua tangkapannya pada orang kampung.

Beratus jua wang yang diperolehi hasil jualan ikannya itu.

 

Tertarik dengan pengalaman Pak Lokman, aku mengajak Suhaimi dan Usai untuk mencuba port tersebut.

Niat aku, kalaulah rezeki yang bakal aku dapat nanti selumayan Pak Lokman, bolehlah aku menjual hasil tangkapan di pasar tani kelak.

Hasilnya kami bahagi tiga. Lepas jugalah belanja dapur dan wang sekolah anak untuk bulan ini.

 

Namun setelah enam jam berada di sini, jangankan kelah atau sebarau, baung pun kami tak dapat.

Yang ada hanyalah ikan lampam tiga ekor yang ‘mengubat’ lara kami sepanjang melayan gigitan nyamuk dan bunyi unggas rimba pada malam yang pekat dalam ladang kelapa sawit di Kampung Gebok ini.

Namun kami masih lagi mampu bersabar kerana memang niat kami untuk bermalam di sini sambil memasang jaring di kawasan hilir sungai tadi.

 

Ads

Aku menjeling Suhaimi. Dia pun sudah menguap beberapa kali sambil mengeliat. Masakan tidak, sekarang sudah hampir jam sebelas malam.

Seekor ikan pun bagaikan tidak sudi untuk menjamah umpan yang kami tabur. Mungkin bukan rezeki kami malam ini.

 

“Ali, aku masuk tidurlah,” akhirnya Suhaimi mengalah pada kepenatan matanya. Aku hanya mengangguk.

Sesekali pandanganku terlempar pada alam sekeliling yang diserkup kegelapan malam. Cuaca semakin sejuk dan sang unggas rimba juga hanya sesekali berbunyi nyaring. Alam semakin sepi.

 

Ketika inilah, telingaku bagaikan menangkap satu bunyi seolah-olah ada orang meranduk air sungai di hadapanku. Seketika, bulu romaku meremang terutama di bahagian tengkuk.

Alam yang sepi membuatkan telingaku seolah-olah terfokus pada bunyi yang baru didengari tadi.

Sah, bunyi itu memang bunyi orang meranduk air sungai separas pinggang.

 

Perlahan-lahan, aku mengengsot ke belakang. Ku tinggalkan sahaja batang joran di atas tanah. Niatku hanya satu.

Ads

Aku mahu berjalan perlahan menyertai Usai dan Suhaimi di bawah khemah yang jaraknya hanya enam meter dari tempatku sekarang.

 

Namun, belum sempat niat itu terlaksana, aku dikejutkan dengan kehadiran satu lembaga aneh di hadapanku.

Lembaga itu berkepalakan ikan namun berbadan seperti manusia dengan tubuhnya berbulu tebal.

Lembaga itu menyeringai menunjukkan barisan giginya yang tajam dengan kesan darah seolah-olah baru sahaja meratah ikan yang ada di dalam sungai itu.

Apa yang aku ingat, hanyalah aku menjerit sekuat-kuat hati sebelum rebah pengsan di situ juga!

 

Sedar-sedar, hari sudah subuh. Usai dan Suhaimi sedang solat berjemaah. Aku cuba bangun namun kurasakan badanku sungguh lemah sekali.

 

“Dah, bangun solat. Kita kena kejar pasar tani pagi ni. Sekarang dah pukul 6.15 pagi,” kata Usai sambil tersenyum.

Aku masih mamai untuk menangkap maksud Usai.

 

“Rezeki kita lumayan malam tadi Ali. Jaring yang kita pasang penuh dengan ikan sebarau, baung, lampam dan tiga ekor kelah merah yang masih hidup. Aku ingat kalau kita jual kelah merah tu, tentu dapat beribu,” sambungnya lagi.

 

Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Kejadian aneh dan seram yang ku alami malam tadi langsung tidak disentuh langsung oleh kawan-kawanku.

Sama ada mereka sedar atau tidak, aku tidak tahu. Dan aku juga tidak tahu apakah kaitan makhluk aneh semalam dengan jumlah tangkapan ikan yang kami perolehi pagi ini.

Sesungguhnya alam ini memang benar-benar misteri.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI