Kisah Seram Memancing – Kampung Aneh Tepi Laut!!

Share

 

Bot jenis fiber berwarna merah kuning terikat kukuh di jeti berhampiran chalet Zamri. Kami sampai seawal jam 4 petang, namun Zamri meminta kami menunggu satu jam lagi untuk air pasang penuh.

Setengah jam sebelum masuknya waktu asar, kami berenam termasuk tekong bernama Pak Mud memulakan perjalanan botnya menuju ke perairan Pintu Gedung.

 

Misi kami hanyalah satu, iaitu membawa pulang banyak hasil tangkapan ikan terutama ikan besar yang boleh dijadikan lauk keesokan harinya.

Apatah lagi sebelum keluar dari rumah, isteri pula sudah berpesan (tetapi separuh menyindir) jangan lupa bawa pulang ikan laut, bukannya ikan pasar.

 

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Aku lihat Mamat dan Zarin memegang erat pada bahagian tepi bot. Naza pula berlagak selamba. Zamri dan aku asyik memandang suasana sekeliling. Angin laut bertiup agak kencang namun begitu nyaman.

 

Selepas mendapatkan spot yang sesuai, Pak Mud memberhentikan bot berhampiran dengan tempat yang dipanggil Boya 28. Masing-masing melabuhkan umpan di situ.

Umpannya isi ikan kembung dan selar yang dibawa oleh Zamri. Petang itu rezeki kami agak murah. Gelama, siakap merah, daun baru dan ikan tanda menjadi habuan kami.

 

Asyik benar kami hingga tak sedar suasana sudah diserkup kegelapan malam. Angin yang tadinya bertiup nyaman sudah bertukar kencang.

Bot kecil yang kami naiki terumbang-ambing dipukul alun yang membuai kasa. Lantas, Zamri memerintahkan Pak Mud menghidupkan enjin yang ketika itu turut sama memerhatikan sekeliling.

 

Tapi entah mengapa enjin tak dapat dihidupkan. Puas Pak Mud mencuba tetapi tetap gagal. Di dada langit, kelihatan burung berterbangan pulang.

Aku memerhatikan kumpulan burung itu. Bergetar hatiku tatkala melihat di tengah-tengah kumpulan burung itu, terbang satu objek menyerupai manusia.

Bezanya, keadaannya serba putih seolah-olah mayat berkafan!!!

 

Aku cuba memberitahu Zamri dengan kerlingan mata.

“Jangan tegur apa-apa yang kau semua nampak aneh di kawasan muara yang agak keras. Lagipun dah masuk waktu Maghrib ni”. Hanya itu pesan Zamri. Agak keras dan sinikal.

Zarin dan Mamat pula aku lihat sudah pucat. Naza pula mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Qursi.

 

“Cuba kau azan”, kata Zamri apabila melihat Pak Mud seperti sudah putus asa untuk menghidupkan enjin.

Aku melaungkan azan dengan suara perlahan dan serak-serak basah. Tiga kali melaungkan azan barulah Pak Mud berjaya menghidupkan enjin bot. Kami semua menarik nafas lega.

 

Ketika bot meluncur laju ke jeti, aku sempat mengerling jam tangan. Sudah pukul 7.30 malam. Sudah masuk waktu maghrib.

Sewaktu bot mahu memasuki anak sungai menuju ke jeti, perhatian kami tertumpu pada tebing sungai. Kelihatan rumah-rumah kampung beratap rumbia.

Di setiap rumah terpacak jamung. Suasana di kawasan kampung itu meriah seolah-olah ada pesta yang berlangsung.

 

Peliknya, getus hati saya bila memikirkan keadaan yang seolah-olah kami memasuki pada zaman silam, walhal semasa pergi petang tadi kawasan berkenaan di kelilingi hutan bakau.

“Kenduri apa pulak ni,” tegur Zarin sebelum sempat aku memberi isyarat supaya jangan menegur apa-apa.

Ketika itulah, penghuni kawasan kampung itu seolah-olah serentak memandang ke arah kami.

 

Mahu menjerit dibuatnya apabila melihat makhluk itu badan seperti manusia tetapi mempunyai tanduk di antara dua biji mata.

Mata mereka bersinar seperti mentol lampu yang terang. Zarin menjerit seperti histeria hingga bot yang kami naiki bergoyang ke kiri dan kanan.

 

Nasib baiklah Pak Mud berjaya mengemudinya dengan baik. Sebaik sahaja sampai di jeti, kami memapah Zarin ke dalam chalet Zamri.

Di sini Zarin diubati seorang ustaz yang dibawa oleh suami Zamri yang sudah dimaklumkan melalui telefon.

Jelas ustaz berkenaan, kawasan tersebut memang didiami makhluk halus dan kebetulan waktu berkenaan adalah waktu puncak mereka bertebaran.

 

Syukurlah tiada apa kejadian buruk yang menimpa kami. Peristiwa ini sudah dua tahun berlalu. Zarin hingga ke hari ini tidak berani lagi turun ke laut.

Hanya aku dan Naza yang rajin mengikut Zamri turun memancing. Mamat pula sejak berkahwin sudah melupakan terus hobi memancing ini.

 

Aku sendiri hanya keluar memancing pada waktu siang sahaja. Kejadian ini benar-benar menginsafkan aku bahawa selain manusia, ada makhluk lain yang mendiami dunia Allah SWT ini. Wallahualam..

 

Published by
Amang