Kisah Seram Memancing – Jeram Misteri ®

Share

 

Hampir dua minggu mereka merancang aktiviti untuk memancing di tengah-tengah hutan ini. Semuanya bermula di kedai kopi.

Ketika itu Asri sedang minum bersama nizam dan Foiz. Nasi lemak panas buatan induk senah memang popular di kampung Air Dedali ini.

 

“Bagaimana, jadi tak rancangan kita?” Tanya Asri. Asri, anak jati Batu Kikir sememangnya gila  memancing.

Pantang mendengar ada kawasan baru, pasti dia akan redah pada hujung minggu atau hari-hari cuti untuk memancing di situ.

 

“Eh, mestilah jadi. Kata kawan aku, kawasan tu memang cantik. Tak ramai yang tahu port ni” jawab Poiz pula dengan penuh yakin.

Nizam hanya mengangguk-angguk macam burung belatuk. Di kalangan mereka bertiga, Nizam memang agak pendiam orangnya.

 

“Aku tak kisah port ni cantik atau tak. Yang penting, ikan kena banyak. Jadi, tak sia-sialah kita ke sana” Asri memandang Poiz.

 

“Aku berani jamin hal tu tapi ada satu lagi yang kawan aku cerita tentang tempat ni” ujar Poiz. Kali ini suaranya seakan berbisik.

Nizam dan Asri terpaksa merapatkan kerusi untuk mendengar kata-kata Poiz seterusnya.

 

“Kawasan tu keras. Kawan aku cakap ada kampung bunian di situ!”. Nizam dan Asri saling berpandangan sebelum Asri bersuara sinis.

“Aku tak hairanlah, sekalipun bapak ada bunian kat situ, yang penting, misi kita terlaksana”.

“Kau ni Asri. Mulut celupar sangat. Cakap nak besar aje. Dibuatnya kita bertembung, mati kita!” sergah Nizam tidak puas hati.

 

Asri hanya ketawa terbahak-bahak. Sedikit pun dia tidak berasa takut. Bukannya riak, setakat hantu atau bunian, itu perkara biasa baginya.

Bukankah mereka juga makhluk Allah yang sama-sama menetap di muka bumi ini?

 

Tiba hari yang dirancang mereka memulakan perjalanan. Selepas habis melalui jalan tar, mereka terpaksa melalui jalan tanah merah yang agak berlopak.

Setengah jam berkereta, mereka tiba di perkampungan orang asli dan meminta izin meninggalkan kereta mereka di situ.

Dari situ, mereka terpaksa berjalan kaki merentas jalan denai sejauh tiga kilometer. Selain mereka bertiga, dua orang rakan Poiz yang arif dengan Jeram Banir turut serta.

Mereka bercadang untuk bermalam di situ dan masa diisi sepenuhnya dengan memancing ikan.

 

Sepanjang perjalanan, Asri asyik bersiul. Entah mengapa, hatinya berasa sangat gembira dan teruja untuk ke Jeram Banir.

Andak Ipin, kawan Foiz sudah beberapa kali mengingatkan Asri agar menjaga pantang larang semasa di dalam hutan terutama bersiul, namun Asri buat endah tak endah saja dengan teguran yang diberikan.

 

Hampir 45 minit meredah denai , akhirnya mereka berlima sampai ke tempat yang dituju. Sebatang anak sungai mengalir jernih, tenang dan deras dibahagian hilirnya menyambut kedatangan mereka.

Tetapi tumpuan lebih terarah ke kawasan air yang mengalir tenang dan gelap airnya di bawah pokok besar.

 

“Subhanallah! Cantik betul tempat ni.” puji Nizam sambil berjalan ke gigi air. Dia membasuh mukanya sambil berfikir-fikir lokasi manalah hendak dilabuhkan jorannya nanti.

 

“Geng, kita pasang khemah dululah. Lepas ni kita cari kayu api dan pasang joran. Mana tahu ada ikan yang menjadi mangsa santapan tengah hari kita nanti” arah Andak Ipin. Semua mengikut arahan Andak Ipin tanpa banyak soal.

 

Dua buah khemah didirikan tidak jauh dari gigi air. Foiz kemudiannya mencari kayu api untuk dijadikan bahan bakar.

Nizam dan Jimie pula sudah memasang empat batang joran dengan berumpankan perut ayam yang diadun dengan tepung gandum dan juga umpan kelapa sawit peram.

 

“Ikan apa yang ada di lubuk ni Andak?” Tanya Asri.

“Ikut pengalaman akulah, ada ikan tengas, sebarau, baung dan kelah” jawab Andak Ipin. Mata kail yang sudah dilekatkan umpan dilemparkan ke dalam air.

“Kelah?” Asri tersenyum keriangan.

 

Ikan kelah adalah raja segala ikan sungai. Ikan ini memerlukan habitat yang bersih, sunyi dan air yang mengalir tenang.

Bukan calang-calang orang dapat menangkap ikan kelah ini! Jam dua petang, mereka sudah berjaya menaikkan tiga ekor ikan sebarau, dua ekor tengas dan lima ekor ikan lampam sungai.

Ikan-ikan itu dibersihkan lalu dipanggang begitu saja untuk dijadikan santapan tengah hari. Aduh, enak tak terkata apabila menikmati ikan segar yang ditangkap sendiri dan dimakan panas-panas begitu.

 

Menjelang waktu Maghrib, Andak Ipin sudah mula menghidupkan unggun api di tepi sungai. Selain untuk menerangkan kawasan perkhemahan, unggun api juga bertujuan menghalau nyamuk, agas serta menakutkan binatang liar kalau ada.

Namun sesuatu yang ganjil berlaku apabila senja semakin melabuhkan tirainya. Ketika asyik melayan joran yang galak dimakan ikan, satu suara asing menegur dari belakang.

Tiba-tiba muncul seorang lelaki berusia awal 40-an, bertubuh kurus, tetapi kelihatan pucat dari semak-samun berhampiran.

 

“Boleh pakcik tumpang berteduh sebentar di sini” jawab lelaki itu dengan ramah. Andak Ipin hanya memandang saja.

Foiz dan Nizam pula bagaikan terkunci mulut. Jimie leka melayan jorannya yang galak dimakan ikan.

 

“Duduklah encik. Kami pun baru saja sampai petang tadi. Kalau encik nak makan, ada lagi nasi petang tadi. Ikan panggang tu pun ada lagi. Tapi kena cicah dengan air kicap je la” kata Asri menjawab bagi pihak rakan-rakannya.

 

“Tak takut ke memancing di tengahtengah hutan ni?” lelaki misteri tadi terus menyoal.

“Nak takut bendanya. Bukan ada hantu atau bunian kat sini” lancang Asri menjawab. Andak Ipin menjeling tajam ke arah Asri!

 

Tiba-tiba guruh berdentum. Daun-daun mula menari di tiup angin.

“Nak hujanlah pulak. Leceh…” rungut Asri. Dia memandang ke tempat lelaki tadi duduk. Berderau darahnya.

 

Lelaki tadi telah ghaib entah ke mana! Malam itu mereka berlima tidak dapat memancing. Semuanya berkurung di dalam khemah.

Hujan turun mencurah-curah diikuti dengan petir dan kilat sabung menyabung. Selain itu, mereka dapat mendengar pelbagai bunyi aneh kedengaran di sekeliling kawasan khemah. Seperti ada pesta keramaian.

 

Suara kanak-kanak dan orang dewasa berbual jelas kelihatan. Ini menyebabkan mereka gelisah dan tidak dapat tidur.

Masing-masing enggan membuka mulut, bertanyakan hal yang berlaku, apatah lagi cuba untuk menjenguk apa yang berlaku di luar khemah.

 

Keesokan harinya, mood memancing seperti sudah hilang. Tepat jam 9 pagi, mereka berlima sudah siap mengemas untuk pulang.

Namun, sampai sahaja ke tempat kereta diletakkan, mereka terperanjat apabila melihat kawasan itu sudah dipenuhi oleh polis dan orang awam.

 

“Ada apa ni bang?” Tanya Jimie kepada seorang lelaki.

“Ada orang jumpa mayat dalam gaung. Kata polis, mungkin dah 2,3 hari mati kot. Kena bunuh. Ngerilah” jawab lelaki itu bersahaja.

 

Sewaktu pihak polis mengusung mayat itu, secara tidak sengaja mereka terpandang ke arah muka mayat yang tidak ditutup rapat.

Berderau darah mereka berlima apabila melihat muka lelaki itu saling tak tumpah dengan lelaki asing yang datang berteduh di khemah mereka malam tadi.

 

Siapa lelaki berkenaan dan bagaimana dia ghaib dengan tiba-tiba serta bunyi aneh di sekeliling khemah mereka terus menjadi persoalan.

Sejak kejadian itu, mereka tidak berani untuk berkunjung ke Jeram Banir. Pengalaman yang dilalui tersebut menyebabkan mereka menjadi serik terutama kepada Asri!!!.

 

Published by
Amang