Setiap kali melalui sebuah plaza tol lebuh raya Kesas (bukan lebuh raya sebenar), saya pasti akan menghentikan motosikal di bahagian belakang pejabat pentadbiran tol itu.

Ada sesuatu yang amat menarik perhatian saya iaitu dua tiga buah motosikal yang diletakkan di bawah sepohon pokok yang teduh.

Bukannya motosikal itu yang menjadi tarikan tetapi aktiviti yang dilakukan di situ.

 

Suatu hari, saya menghentikan motosikal. Tujuan saya adalah untuk melihat aktiviti yang berlaku di situ.

Tepat tekaan saya, di tengah-tengah semak setinggi pinggang itu, terdapat sebatang anak sungai yang agak dalam tetapi jernih airnya.

Terdapat empat orang lelaki berusia pertengahan 40an sedang asyik memancing tanpa mempedulikan kehadiran saya.

 

“Banyak dapat ikan bang?” tegur saya ramah. Lelaki yang berbaju merah belang-belang putih itu mengangguk sambil tersenyum.

Di hadapannya terpacak dua batang joran yang talinya terlunjur masuk ke dalam air sungai yang mengalir dengan tenang itu.

 

“Ikan apa bang?” sekali lagi mulut gatal saya bertanya.

‘’Kat sini banyak ikan haruan, puyu dan keli,” jawab lelaki itu sambil mengambil satu bekas putih yang berisi ikan yang ditangkapnya.

Saya menjenguk. Terlihat dua ekor haruan sebesar tangan budak dan tiga ekor puyu yang memang enak dimasak lemak!

 

Malam itu juga saya menelefon Fazil dan Rahim untuk keluar minum di kedai restoran Mamak.

Selepas pekena dua bungkus nasi lemak panas dan segelas teh tarik, saya mula menceritakan pengalaman saya tadi.

 

Apa lagi, mereka berdua sungguh teruja mendengarnya dan kami bertiga mula merancang untuk pergi menjaring di kawasan itu pada malam Sabtu, yakni pada hari Jumaat pada sebelah siangnya.

IKLAN

 

Saya, Fazil dan Rahim sebenarnya agak malas memancing ikan. Kami lebih suka memasang jaring terutama pada masa hujan lebat dan air sungai menjadi keruh.

Pada waktu yang telah dijanjikan, kami bertiga pergi ke kawasan tersebut dengan menunggang motosikal.

 

Tiba di kawasan belakang pejabat tol, kami meletakkan motosikal di bawah sebatang pokok yang agak rendang.

Malam itu cuaca agak baik cuma berangin. Kawasan itu lengang dan permukaan air sungai berkilau kerana dipanah cahaya bulan penuh.

 

Setelah menghabiskan sebatang rokok, saya dan Rahim mula mengambil jaring manakala Fazil pula sedang bersedia untuk turun ke dalam sungai bagi membantu memasang jaring.

Kami melakukan pekerjaan itu dengan senyap. Mood untuk berborak seakan-akan hilang.

 

Sesekali saya memandang ke dada langit. Awan hitam yang pekat dan tebal ditambah dengan keadaan angin yang semakin kuat bertiup menyebabkan saya boleh membuat satu anggapan yang mudah iaitu hujan lebat akan turun pada bila-bila masa sahaja.

 

Sebaik sahaja jaring siap dipasang, rintik-rintik hujan mulai turun. Fazil mengajak kami berdua berteduh di bawah pondok sesikat yang ada di situ.

IKLAN

Timbul pertanyaan di hati saya, bila pula pondok sesikat ini ada di kawasan ini tetapi soalan itu hanya bermain di fikiran sahaja.

 

Hujan makin kasar berserta guruh yang berdentum. Tiba-tiba saya dapat melihat sesusuk tubuh berlari anak menuju ke pondok tempat kami menumpang berteduh itu.

“Lebat hujan malam ni” katanya sambil tersenyum. Saya mengangguk kepala. Lelaki tadi bertopi keledar dan memakai baju hujan berwarna hitam.

Mukanya tidak kelihatan sangat kerana dilindungi oleh cermin penutup pada topi keledar yang dipakai.

 

“Pak cik dari mana?” Tanya Rahim.

“Saya dari Jalan Kebun. Ingat nak ke rumah anak di Seksyen 13 Shah Alam.

Sampai sini tiba-tiba hujan lebat” jawabnya sambil kepala ditundukkan seolah-olah orang sedang bertakafur.

 

Entah kenapa mulut saya hanya membisu. Tidak ada niat langsung untuk menyampuk perbualan antara kawan saya dan pak cik itu.

Pada masa yang sama hidung saya bagaikan terhidu bau darah yang amat meloyakan tekak.

IKLAN

Semakin lama bau hamis itu semakin kuat menusuk ke hidung hingga menjadikan saya agak gelisah.

 

Tiba-tiba petir memancar. Cahayanya yang terang itu tepat menyuluh ke kawasan pondok kami sedang berteduh.

Hampir menjerit saya kerana terkejut dan pada masa yang sama takut apabila melihat pak cik yang berdiri di hadapan saya itu ‘berubah’ menjadi manusia yang berlumuran darah.

 

Darah yang mengalir dari atas kepalanya terlalu banyak hinggakan membentuk satu aliran yang bercampur dengan air hujan yang mula berlopak di hadapan pondok kami.

Pak cik itu hanya memandang kami dengan sayu dan bertukar bentuk menjadi seolah-olah kabus putih yang kemudiannya hilang begitu saja.

 

Saya lihat muka Fazil dan Rahim pucat. Sempat juga saya melihat jam tangan. Tepat jam 1 pagi.

Kami bertiga kemudiannya berlari anak menuju ke surau kecil yang ada di dalam kawasan tol itu untuk berteduh dan berbaring.

Keesokan harinya barulah kami berani untuk melihat jaring yang dipasang.

 

Saya sempat berbual dengan seorang pekerja yang sedang bertugas menyapu di situ. Saya menceritakan pengalaman seram yang dialami.

Kata pekerja itu, sudah ramai pemancing yang terkena. Kononnya pakcik itu merupakan seorang mangsa kemalangan ngeri yang pernah berlaku di situ.

Dia menunggang motosikal tanpa mengikut di jalan motor yang dikhaskan. Akibatnya, motosikalnya bergesel dengan sebuah treler 16 tayar. Dia meninggal dunia di situ juga.

 

Walaupun seram kerana diusik, saya dan kawan-kawan berasa gembira kerana habuan yang kami dapat pada malam itu agak berbaloi juga.

Lepaslah juga hajat saya untuk menyuruh orang rumah memasak gulai lemak puyu kesukaan saya!

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI