Tapah 70 kilogram (Harian Metro – 16 Ogos 2017)
Seorang penduduk tidak menjangka jaring ikan yang dipasang di Sungai Beriah berhampiran Kampung Matang Pasir, Alor Pongsu, Bagan Serai, memerangkap ikan tapah seberat lebih 70 kilogram.
Muhammad Amirul Jamaludin berkata, kira-kira 7 pagi hari ini, dia bersama bapa, Jamaludin Mahmud, 60, dan adik, Muhamad Aiman Jamaludin, 19, terkejut melihat kelibat sesuatu yang besar tersangkut pada jaring. Menurutnya, selepas diamati dari dekat, ternyata ia adalah ikan tapah yang besar tersangkut pada jaringnya.
“Jaring ini dipasang pada petang semalam dan akan diperiksa hasilnya pada waktu pagi.
“Kami terkejut apabila mendapati jaring yang dipasang itu mengena ikan tapah gergasi itu lalu membawanya pulang,” katanya.
Dia berkata, atas permintaan penduduk kampung, ikan itu disiang dan dijual kepada penduduk dengan harga RM35 sekilogram.
“Alhamdulillah hasil jualan ikan ini kami memperoleh lebih RM2,000 dan selebihnya ada disedekah kepada penduduk.
“Sepanjang memasang jaring di sungai, ini adalah pertama kali kami memperoleh ikan tapah gergasi dan bersyukur dengan kejadian ini,” katanya.
Tapah 60 kg (Harian Metro – 29 Jun 2016)
Penduduk Kampung Blok G Sawah Sempadan, Tanjung Karang, yang suka memasang taut di tebing Sungai Tengi tidak menyangka berjaya menangkap seekor ikan tapah gergasi seberat 60 kilogram.
Arbany Satimin, 59, yang dikenali Sidang Nandong berkata, ikan itu memakan umpan ikan keli yang dipasang rakannya.
“Ini adalah kali pertama kami dapat ikan sebesar ini dan memang kami tidak sangka sebab sebelum ini tangkapan paling besar pun sekitar enam kilogram saja.
“Walaupun kejayaan mendaratkan ikan tapah gergasi ini berlaku kira-kira dua minggu lalu namun ia masih meniti di bibir dalam kalangan penduduk setempat seolah-olah kejadian berkenaan baru berlaku semalam,” katanya.
Albany berkata, sebelum ini sebanyak 60 taut dipasang sepanjang dua malam sebelumnya dan setiap pagi dia memeriksa taut berkenaan.
“Selain dapat ikan tapah gergasi, beberapa spesies ikan sungai lain seperti belida, baung dan ketutu turut menjadi rezeki saya pada hari itu,” katanya.
Tapah 50 kg (Sinar Harian – 7 April 2017)
Penduduk Kampung Jerantut Feri digemparkan dengan kemunculan ikan tapah seberat hampir 50 kilogram dan sepanjang 1.5 meter yang ditangkap oleh salah seorang nelayan darat di situ.
Nelayan berkenaan, Roslan Mohamad Napiah, 45, berkata, dia menangkap ikan itu menggunakan sauk besar dikenali sebagai candit. Roslan yang bekerja sendiri memberitahu, Isnin lalu dia turun ke sungai jam 10.30 pagi untuk meninjau keadaan sangkar ikan miliknya yang dikongsi bersama rakan.
Tambahnya, selepas melihat sangkar ikannya, dia kemudian mencandik ikan di sungai menggunakan bot dan candik miliknya.
“Masa tengah candik ikan, tiba-tiba candik saya direntap kuat. Lepas tu saya tengok ikan yang tersangkut pada candik adalah ikan tapah.
“Disebabkan disentap agak kuat, saya terlepas candik tu. Masa tu kecewa juga. Tapi dalam 15 minit kemudian saya nampak candik saya tersangkut pada sangkar ikan.
“Saya tengok ikan tu masih lagi tersangkut pada candik. Disebabkan tak boleh bawa bot ke situ, saya pun berenang dan tarik candik ke tebing, tangkap dan letak ikan tapah dalam bot,” katanya.
Roslan berkata, selama lebih lima tahun menjadi nelayan darat, itulah kali pertama dia melihat dan menangkap ikan tapah sebesar itu.
“Saya kemudian menyeberang ke tebing sungai belakang rumah dan panggil isteri untuk sama-sama angkat ikan tapah tu.
“Ikan itu mempunyai kepanjangan melebihi ketinggian saya, ekor masih mencecah tanah walaupun kepala berada di bahu saya,” katanya.
Menurutnya lagi, berita penangkapan ikan tapah itu tersebar melalui aplikasi WhatsApp dan sebaik dinaikkan ikan itu, penduduk mula mengerumuni rumahnya.
“Saya minta bantuan rakan dan mereka cadang saya jual ikan tu ikut kilo kepada penduduk. Kami menjualnya di simpang masuk tapak pasar malam Jerantut Feri.
“Kami timbang ikan tu dan dapati beratnya cecah lebih kurang 50 kilogram. Sekilo ikan tapah saya jual RM40 dan telah terjual sebanyak 30kg.
“Saya anggap ia rezeki kami dan anak. Wang saya peroleh dapat saya belanja untuk keluarga,” katanya.
Roslan berkata, ikan tapah yang ditangkapnya itu betina berdasarkan telur seberat dua kilogram yang ditemui dalam perutnya.
“Telur ikan tu saya agih kepada rakan yang bantu jual. Saya ambil bahagian kepala ikan untuk dimakan bersama keluarga,” katanya.
Penangkapan ikan tapah besar itu sekali gus menaikkan nama Roslan yang juga dikenali sebagai Lan Tapah kerana dia sering berjaya menangkap ikan tapah yang jarang diperoleh itu.