Nama penuh: Mohamad Zamri Bin Ma’ail @ Ismail
Nama FB: Mohdzamri MZacai
Usia: 49 tahun
Kerjaya: Tekong
UMPAN: Sejak bila memancing dan mula menjadi tekong?
ZAMRI: Saya mula memancing sejak berumur 10 tahun. Kemudian menjadi nelayan sepenuh masa selama 13 tahun dan mula jadi tekong sejak tahun 2001.
Rasanya sudah hampir 20 tahun jugalah saya jadi tekong di Kong Kong ini.
UMPAN: Kenapa anda memilih kerjaya ini?
ZAMRI: Tentu saja kerana minat yang mendalam. Apabila bekerja dengan penuh minat maka barulah datang kepuasan yang disertai ketenangan jiwa.
Selain seronok dengan hasil yang diperolehi, ia juga dapat menambah kenalan sehobi sambil berkongsi ilmu serta pengalaman.
UMPAN: Pada pandangan anda, apa kriteria yang perlu ada untuk jadi seorang tekong?
ZAMRI: Pada saya, seorang tekong perlu sentiasa menitikberatkan keselamatan dan keselesaan serta kepuasan pemancing.
Rajin berusaha dan mencuba serta mengkaji setiap aspek yang bersangkutan. Perlu ramah dan berterus terang serta berkongsi setiap apa yang diketahui kepada pemancing.
Sentiasa bertimbang rasa dan hormati tekong dan para pemancing.
UMPAN: Apa rintangan dan harapan anda dalam meneruskan usaha ini?
ZAMRI: Bagi saya rintangan yang utama adalah kerosakan ekosistem hidupan-hidupan marin yang berpunca dari kerakusan sesetengah manusia.
Seperti contoh kegiatan kapal-kapal korek pasir dan bot-bot pukat serta pemusnahan pokok-pokok bakau. Pembuangan sampah juga menjadi ancaman yang amat ketara.
Harapan saya agar ada penambahbaikan dari agensi-agensi atau pihak-pihak yang berkenaan untuk menjaga dan meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya menjaga dan memulihara ekosistem kita ni yang kian merosot.
Pihak-pihak bersangkutan juga perlu lebih prihatin dan tegas.
UMPAN: Ceritakan sedikit pengalaman trip memancing yang manis atau pahit?
ZAMRI: Banyak pengalaman manis dan tentulah bila trip memancing peroleh hasil yang baik-baik terutama bila ada spesies kurau yang berjaya dinaikkan kerana nilai yang tinggi dan sukar diperolehi.
Pengalaman pahit pun banyak contohnya beberapa kali hampir maut apabila feri-feri dan bot laju memecut tepat ke arah bot saya yang sedang berlabuh memancing.
Juga pernah dipukul ribut hingga hanyut melepasi sempadan lalu terus dihimpit bot marin Singapura untuk ditunda dan didakwa menceroboh.
Juga pengalaman beberapa kali bertarung dengan peghuni dasar selama berjam-jam namun kecundang akhirnya.
Profil Pakej
Nama bot: Puteri Keramat
Saiz: 23kaki × 7kaki (bumbung lipat)
Enjin: Suzuki 85hp
Harga sewa: RM230
Jumlah pemancing: Max 4 orang
Waktu memancing: 7pm-7am / 7am-7pm
Lokasi: Sekitar Sungai Johor
Jeti: Pengkalan Sewa Bot dan Homestay Pak Ngah Kong Kong
kenali juga Produk & Servis : Biyek – Tekong Sohor Tasik Temenggor
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan