Ketahui Variasi Dan Keperluan Teknik Jigging

Share

 

Boleh dikatakan teknik ini menjadi semakin popular di kalangan kaki pancing masa kini. Namun, masih ada juga yang tidak begitu arif mengenai teknik ini. Jom kita kongsi beberapa info penting mengenai teknik jigging yang perlu anda ketahui. Dalam istilah jigging, terdapat 2 jenis kaedah untuk jigging, iaitu vertical jigging dan jig cast.

 

Vertical jigging

Vertical jigging digunakan untuk mengumpan ikan yang mendiami dasar dengan cara melepaskan jig secara menegak atau ke depan sehingga ia tenggelam ke dasar laut. Kemudian karauan secara laju atau perlahan dibuat untuk mengayakan jig besi di dalam air.

 

 

Jig cast

Jig cast pula digunakan untuk mengumpan ikan predator yang bermain di pertengahan atau di permukaan air. Teknik ini sering kali digunakan untuk menjerat ikan tenggiri. Caranya, Jig dibaling sejauh mungkin dan karauan laju dibuat dan membuatkan jig seolah-olah ikan yang sedang berenang.

 

Joran

Joran jigging mestilah halus, ringan dan tahan lasak. Kebiasaan panjang rod jigging antara 5.5 hingga 6.5 kaki. Rod handle atau pemegang joran biasanya lebih panjang berbanding joran casting bagi tujuan menggayakannya lebih mudah.

 

 

Kekili

Saiz kekili yang berbeza juga perlu dipadankan dengan berat jig yang anda gunakan. Misalnya, kekili saiz 4000-6000 sesuai untuk jig seberat 40 gram – 100 gram, saiz 8000-10000 untuk jig seberat 100 gram – 400 gram dan untuk jig seberat 400 gram ke atas, kekili bersaiz 10000 ke atas sesuai digunakan.

 

 

Saiz jig

Untuk menentukan saiz jig yang boleh anda gunakan, anda harus mengambil kira kedalaman air di lokasi memancing anda. Misalnya, kedalaman 100kaki amat sesuai menggunakan jig bersaiz 100gm dan begitulah seterusnya.

Senang cerita, jig yang semakin besar digunakan apabila air semakin dalam. Ini kerana pemilihan saiz yang besar ini akan mempercepatkan jig jatuh ke dasar. Saiz jig mestilah disesuaikan dengan arus pada masa itu.

Sekiranya arus agak laju, saiz jig yang sesuai perlu digunakan untuk memastikan jig jatuh betul-betul di kawasan yang sudah dikenal pasti kawasan ikan bermain sekali gus mengelakkan tersasar akibat dibawa arus.

 

 

Assist hook

Bagi menjimatkan kos jigging, anda boleh membuat sendiri ikatan mata kail jig atau assist hooks. Ada banyak cara untuk membuatnya dan ia tidaklah sukar. Anda boleh rujuk dalam segmen DIY di laman sensawang Umpan.

 

 

Warna jig

Warna jig juga memainkan peranan besar. Apabila jigging pada waktu malam, jig jenis luminous adalah pilihan utama. Spesies seperti cupak dan tenggiri amat mudah diperdayakan.

 

Tali utama

Tali sulam atau braided line menjadi pilihan utama untuk teknik jigging. Tali sulam bukan sahaja dapat memotong air dengan lebih cepat, kurang daya regang, sensitif tetapi yang paling penting diameternya yang kecil akan membolehkan lebih banyak tali di sisi dalam gelendong kekili anda.

 

 

Shock leader

Penggunaan shock leader atau juga amat penting untuk teknik jigging. Ini kerana dengan leader ini ia mampu menampung main line apabila mendapat asakan secara tiba-tiba. Tali jenis fluorocarbon adalah lebih disarankan kerana ia lebih lasak menahan geseran dan kurang kelihatan di dalam air.

Published by
Amang