Terkena mata kail gewang

Ia kes yang kerap berlaku di kalangan kaki casting terutama menaiki bot yang ‘sesak’ dengan penumpang. Kesannya, bila ternampak boiling sang ikan, mulalah gelojoh tidak pandang kiri dan kanan, akibatnya rakan tepi dan belakang menjadi mangsa. Walaupun punca kesalahan ini sering kali dituding kepada caster baru, ada kalanya berlaku juga di kalangan caster lama.

Tindakan: Jangan sesekali menaiki bot melebihi had penumpang. Selain tidak selesa, ia juga mengundang kejadian bot karam.

 

Kemungkinan Lemas

Tiada sebab mengapa anda tidak memakai jaket keselamatan sebaik sahaja anda menaiki bot, lebih-lebih lagi bot fiber ketika memancing. Sentiasa periksa dan sematkan jaket keselamatan dengan baik. Sekiranya bot karam dan terbalik, jangan sesekali panik. Cuba bertenang dan capai benda yang boleh terapung seperti tong minyak. Elakkan memakai pakaian yang berat seperti seluar jean ketika memancing

Tindakan: Bagi jaket keselamatan jenis gas, periksa bilakah tarikh luput gas berkenaan.

 

Kemalangan Jalan Raya

Perkara paling indah buat kaki pancing adalah ‘banyak masa dan banyak duit’. Namun bukan semua kaki pancing beruntung ada kedua-duanya. Ramai kaki pancing terus pulang dari trip atas alasan kena esok masuk kerja.

Penat, mengantuk, tidak tukar pemandu, tidak berehat dan tidur seketika, mengejar masa untuk sampai di rumah, antara faktor mengundang berlakunya musibah ini. Periksalah keadaan kereta sebelum menaiki kenderaan dan jangan lupa memakai tali pinggang keselamatan kerana ia mampu mengurangkan kecederaan lebih teruk sekiranya berlaku kemalangan.

Ads

Tindakan: Langkah terbaik, semua ahli trip perlu merancang perjalanan trip dengan baik seperti mengambil cuti lebih, hotel, chalet dan menginap selepas pulang dari trip sebelum pulang keesokan harinya.

Bacaan doa perlu dipanjatkan kepada yang Maha Esa dipanjatkan agar terhindar dari sebarang musibah.

Seorang kaki pancing dan juga bukan kaki pancing MESTI memiliki sekurang-kurangnya satu pelan perlindungan insurans diri kerana malang itu tidak berbau.

 

Ancaman Binatang Buas

Dalam keseronokan memancing, bertembung dengan binatang buas dan serangga berbisa perlu dielakkan. Perkara paling asas adalah sentiasa bawa pisau atau parang ketika berjalan di dalam hutan. Elakkan berkhemah atau berjalan di jalan dan lokasi yang berisiko.

Tindakan: Menabur belerang sekitar khemah, mampu menghindar dari kehadiran ular, kala jengking, lipan daripada memasuki khemah. Pasang unggun api sekiranya berkhemah dan bermalam di dalam hutan.

 

Ads

Terkena Sengat Ikan Berbisa

Sesetengah ikan seperti sembilang, toman, keli, malong, tenggiri, duri, tuka, pari, alu-alu mampu mendatangkan kecederaan sekiranya tidak dikendalikan dengan baik sewaktu berjaya memperolehnya. Sengat duri sembilang misalnya cukup berbisa jika terkena tangan dan perlu gunakan playar untuk memotong durinya. Gunakan juga gancu, sauk atau lip grip ketika mengendalikan ikan-ikan jenis berduri dan bersengat ini.

Tindakan: Walaupun nampak kejam, kepala tenggiri, alu-alu misalnya perlu diketuk untuk mematikannya sebelum mata gewang atau mata kail ditanggalkan. Giginya yang tajam dan rontaannya mampu mencederakan si pemancing dalam sekelip mata.

 

Mabuk Laut

Risiko yang kerap terjadi kepada kaki pancing yang tidak biasa atau tidak selalu turun memancing di laut. Kepada yang alah dan mabuk laut, tetapi mahu turun memancing di laut, persediaan perlulah dilakukan dengan baik. Telan pil tahan mabuk setengah atau sejam sebelum menaiki bot. Selain itu elakkan makan makanan yang berminyak dan berlemak sebelum menaiki bot.

Tindakan: Bagi pendapat peribadi penulis, rehat dan tidur yang cukup sebelum trip ke laut adalah tonik terbaik sebelum anda seronok memancing tanpa diganggu mabuk laut. Buat persiapan awal setup memancing.

Esok pagi nak memancing di laut, malamnya jangan excited membayangkan anda sedang syok bergasak dengan ikan, kerana ia tidak memberi faedah langsung sekali gus menyebabkan anda langsung tidak boleh tidur.

Ads

 

Kecurian Barangan / Kelengkapan Memancing

Telefon bimbit, kamera antara gajet yang majoritinya kaki pancing akan bawa setiap kali memancing. Kaki pancing perlu bersedia dengan beg kalis air untuk melindungi dua barangan ini dari terkena hujan atau jatuh ke dalam air.

Elakkan meninggalkan kereta di kawasan yang terpencil dan dalam tempoh yang lama tanpa sebarang pengawasan. Kes tayar kereta hilang dicuri, kereta di pecah masuk atau hilang antara kes-kes yang pernah berlaku. Jangan jadikan anda mangsa keadaan.

Tindakan: Ingat, si pencuri sentiasa mencari peluang bila ada peluang.

 

Tak Dapat Hasil

`Kumpau` atau `kumpau berdarah` adalah istilah terma yang masyhur dan sering diguna pakai dalam hobi ini bila tidak dapat ikan. Ia adalah risiko yang kaki pancing perlu sedar. Ingat, hobi memancing bukanlah satu bentuk pekerjaan, sebaliknya ia lebih kepada satu hobi yang mampu memberi keasyikan dan ketenangan diri pada ketika bertarung menaikkan ikan buat insan-insan yang terpilih.

Tindakan: Jadi janganlah tamak untuk mengaut segala hasil tanpa memikirkan generasi akan datang, amalkan tangkap & lepas ikan yang terancam bilangannya.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI