Ketahui Punca Umpan Ikan Potong Tak Dijamah Ikan

Share

 

Hirisan ikan merupakan salah satu daripada umpan terbaik terutamanya bagi pancingan laut dalam. Memandangkan ia adalah umpan mati yang kurang kelebihan berbanding umpan hidup, maka gaya persembahan umpan perlu untuk menarik perhatian pemangsa.

 

Ini kerana kealpaan para pemancing menyediakan umpan dengan teknik yang betul dan tepat, mempengaruhi hasil pancingan atau senang cakap akan berakhir dengan kumpau. Perlu diingatkan bahawa persembahan melalui teknik pengumpanan yang betul boleh membantu pemancing memperolehi sentapan pada kadar kebarangkalian yang tinggi.

 

 

Apa yang sering menjadi masalah hirisan ikan ini yang dijadikan umpan dan tidak disentuh oleh ikan pemangsa disebabkan teknik yang salah, yang mana menyebabkan hirisan ikan pada mata kail itu berpintal dan berbelit antara tali perambut dan tali utama.

 

Biasanya umpan berbelit antara satu sama lain juga dengan tangsi utama ketika diturunkan ke dasar. Terdapat dua punca utama umpan berpintal dengan tali utama iaitu:

 

 

Umpan dilabuhkan ke dasar terlalu laju

 

Bagi berhadapan dengan masalah umpan dilabuhkan terlalu laju ke dasar, cara terbaik yang perlu dilakukan ialah dengan mengawal kelajuan pelepasan batu ladung.

Ia boleh dilakukan sama ada dengan menetapkan tahap kelajuan  putaran gelendung kekili, atau mengawalnya secara manual (mengawal kelajuan putaran gelendung dengan tangan).

 

 

Umpan tidak membelah arus dan berpusing ketika turun ke dasar.

 

Punca umpan berpintal disebabkan umpan tidak dipersembahkan secara betul iaitu tidak membelah arus dan berpusing ketika turun ke dasar inilah sering berlaku. Walaupun umpan diturun secara perlahan, ia tetap masih juga berpintal dan tidak disentuh oleh pemangsa.

 

 

Masalah ini berpunca dari cara menghiris umpan. Tidak kira jenis ikan apa yang dihiris untuk dijadikan umpan, ia perlulah dihiris dalam bentuk yang dapat membuai apabila ditolak arus. Begitu juga sewaktu hirisan umpan dicangkuk pada mata kail. Pastikan bahagian yang lebih tirus dicangkuk pada mata kail.

 

 

Perlu diingat bahawa ketika umpan turun ke dalam arus dan pergerakan umpan merintangi air akan menyebabkan ia berputar. Semakin laju ia berputar semakin kuat perambut dipintal dan ia menjadi semakin pendek dan sebelum umpan mencecah dasar ia terlebih dahulu sudah berbelit dengan tali utama.

Published by
Amang