Apabila memperkatakan tentang ikan kelah, lazimnya ia merujuk kepada ikan kelah merah yang taburannya di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan. Di negara kita ikan kelah merah dikenali sebagai Tor tambra (nama binomial).
Sementara ikan kelah biru jarang ditemui dan secara geografi, taburannya biasa di kawasan Endau-Rompin. Manakala ikan kelah hijau adalah panggilan nama merujuk kepada ikan tengas, iaitu satu spesies yang mirip mirip kelah, dan juga digelar sebagai false mahseer.
Ikan tengas dan kejor merupakan panggilan tempatan bagi spesies ikan dari famili carp dalam genus Neolissochilus ialah dua spesies ikan yang hampir menyamai atau amat sinonim dengan ikan kelah.
Sekali imbas ikan tengas atau kejor amat menyerupai ikan Kelah. Jika tidak mahir, anda boleh terkeliru antara kelah dan tengas atau kejor. Nama saintifik ikan tengas ialah Neolissochilus Hexagonolepis.
Ikan tengas ini juga biasa dipanggil sebagai tengas batu. Sementara ikan kejor atau tengas kejor ialah Neolissochilus Soroides. Ikan tengas daun pula diklasifikasikan sebagai Poropuntius Smedleyi.
Perbezaan Ikan Kelah dan Tengas
Ikan Kelah
Ikan kelah bersisik rapat. Perbezaan ini sebenarnya agak ketara tetapi ramai yang tidak memerhatikannya.
Ikan kelah memiliki lebihan isi yang panjang pada mulut atau bibir. Ini merupakan identiti khas bagi ikan kelah.
Ikan kelah turut terdapat lebihan di cuping median yang tidak dimiliki oleh ikan tengas.
Jika ikan kelah diterbalikkan, anda boleh perhatikan garis di bawah bibir. Terdapat 3 garis pada bahagian bibir ikan kelah.
Ikan Tengas
Ikan tengas memiliki sisik yang lebih jarang berbanding ikan kelah.
Jika ikan tengas diterbalikkan, anda hanya dapat melihat 2 garis di bahagian bawah bibirnya.
Lebihan isi pada bibir ikan tengas amat pendek.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Tak dinafikan ikan kelah adalah spesies yang teramat-amat sensitif dan berhati-hati untuk memakan umpan. Selain faktor persembahan umpan yang tepat, peralatan dan suasana persekitaran juga amat penting amat penting untuk memujuk kelah agar memakan umpan. Sebarang kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan akan menyebabkan kelah enggan untuk mendekati umpan, apatah lagi memakannya.
PERALATAN PANCING
Penggunaan tali tangsi atau mono adalah satu KEMESTIAN. Dilarang sama sekali menggunakan tali sulam atau braided. Tali tangsi pula sebaiknya tidak lebih dari 25lb. Warna tangsi sebaiknya warna jernih atau hijau atau warna yang sepadan dengan warna air di lubuk. Tali tangsi yang berdiameter kecil tetapi tahan lasak adalah pilihan terbaik.
Perambut sebaiknya dari jenis monofilament atau fluorocarbon yang bersifat halimunan. Tali perambut pula mestilah lebih kecil daripada tali utama. Sekiranya menggunakan tali utama 20lb maka tali perambut 15lb digunakan. Panjang perambut memandai satu kaki hingga dua kaki sahaja.
Elakkan dari menggunakan mata kail yang berkilat (stainless steel) seperti mata kail yang digunakan untuk jigging. Gunakan saja mata kail black nikel warna kelabu atau yang berwarna seperti warna merah. Saiz mata kail pula bergantung pada umpan dan perlu disembunyikan dalam umpan sepenuhnya.
Gunakan batu ladung seringan yang mungkin sepadan dengan arus dan umpan. Lontaran umpan pula sebaiknya umpama gerakan buah-buah hutan yang gugur ke air.
PANTANG LARANG
Jangan berada rapat dengan gigi air terutamanya kawasan tebing yang tak berpokok. Sebaiknya berlindung agar tidak dapat dilihat secara terus dari kawasan lubuk.
Jangan pakai baju yang terlalu terang terutamanya jika memancing pada waktu siang. Sebaiknya pakai pakaian yang tidak kontras dengan warna persekitaran.
Jangan terlalu bebas bergerak. Jika boleh duduk bersembunyi tanpa banyak melakukan pergerakan. Ia sesuatu yang amat merugikan tatkala kelah sedang menjenguk umpan, tatkala itulah kita melakukan pergerakan yang boleh menakutkan kelah yang sememangnya bersifat penakut.
Jangan mandi atau merendam kaki apatah lagi berkubang macam kerbau ke dalam sungai yang mana airnya itu kemudiannya mengalir ke lubuk atau port kita mancing. Kelah sensitif dengan kehadiran manusia.
Amalkan satu spot satu orang. Bila berbuat demikian ia akan dapat mengelak daripada berbuat bising seperti bercakap atau melakukan sesuatu yang boleh mengganggu bunyi persekitaran yang sebenarnya sekali gus boleh menakutkan ikan.
Ikan yang dimasak dengan sempurna akan sedap dimakan, tetapi ia boleh menjadi sangat menyakitkan hati jika silap mengolahnya kerana rasa hanyirnya. Adalah penting untuk anda mengenali 7 kesalahan yang sering dilakukan ketika mengolah ikan ini.
Beli ikan yang masih hidup
Jika anda ingin makan ikan keli, maka pastikan anda membelinya dalam keadaan hidup, bukan mati. Ia bagi memastikan anda mendapatkan kesegaran maksimum dengan membelinya hidup-hidup.
Selanjutnya, bersihkan sampai bersih jangan hanya menggunakan air, tapi juga guna sabut kelapa untuk membersihkan lendirnya. Jangan lupa bersihkan dengan limau nipis sebelum diolah agar bau dan rasa hanyirnya hilang.
Tidak ambil tahu kualiti ikan yang dibeli
Kesalahan utama yang sering dilakukan sebelum memasak ikan adalah tidak memilih ikan dengan sempurna. Adalah lebih baik jika anda membeli ikan penjual yang anda kenali dan percaya daripada sebarang penjual di pasar.
Apa yang penting ketika membeli ikan, perhatikan mata ikan tersebut. Jika matanya masih terang dan jernih, maka ikan itu masih segar. Ikan segar juga memiliki bau yang tidak kuat. Jika matanya berwarna gelap, maka kemungkinan besar ikan itu sudah lama disimpan beku.
Tidak membersihkan dulu ikan tongkol sebelum disimpan dalam freezer.
Ikan tongkol mengandung histamin alami yang boleh menyebabkan alergi atau keracunan. Kandungan alami ini berasal dari mikroba dan enzim protease dari isi perut ikan yang merembes dari dinding perut ke daging.
Jadi pastikan anda membersihkan semua itu sampai benar-benar bersih baru setelah itu meletakkannya di freezer. Ikan tongkol yang segar tidak berbahaya asalkan anda menyiapkannya dengan sempurna.
Tidak menyimpannya dengan elok
Jika anda ingin memasak ikan pada hari itu juga, maka letakkan ikan di dalam peti sejuk dan siapkan semua bahan. Setelah semua siap baru keluarkan ikan dari peti sejuk. Namun jika anda ingin memasak ikannya esok atau lusa, maka jangan tersilap menyimpannya.
Kebanyakan orang akan langsung memasukannya dalam peti sejuk begitu saja. Cara yang lebih baik ialah masukkan ikan ke dalam plastik berisi ais dulu baru masukkan peti sejuk. Cara ini berfungsi untuk menjaga kesegaran ikan.
Memasak terlalu lama
Ikan tuna hampir memiliki persamaan dengan ikan salmon puma berbeza pada harga. Jika anda ingin masak ikan ini maka pastikan anda tidak terlalu lama memasaknya kerana masakan terlalu matang akan menghilangkan kadar proteinnya.
Selain itu, sebaiknya jangan mencampurkan bahan lain saat masak tuna kerana aromanya akan hilang. Gunakan suhu api 80 darjah Celsius saja dan dimasak 7 sampai 10 minit.
Terlalu banyak air ketika merebus
Menggunakan terlalu banyak air hanya akan membuat daging ikan terutamanya salmon hancur. Jika anda ingin merebusnya, maka gunakan air yang tidak terlalu banyak tapi tetap terendam.
Proses ini akan membuat daging salmon lebih lembut dan lunak. Suhu yang digunakan cukup sekitar 45 darjah Celsius untuk kematangan sup ikan salmon yang sempurna. Tidak menghilangkan bau hancing ikan pari sebelum mengolahnya
Sebelum memasak ikan pari, apa yang harus anda lakukan ialah menghilangkan aroma baunya yang kuat. Aroma tersebut dapat dihilangkan dengan mengukusnya selama 10-15 minit saja. Setelah itu anda boleh mengolahnya menjadi makanan apapun yang anda inginkan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...