Bagi pemancing yang gemar membawa pulang ikan yang ditangkap, terdapat beberapa kategori yang boleh diperincikan.
IKAN UNTUK DIMAKAN
Terdapat golongan pemancing yang suka memakan ikan yang ditangkap. Ikan merupakan sumber protein penting, dan membawa pulang ikan sebagai lauk makan malam merupakan ganjaran terbesar bagi pemancing kategori ini.
Mereka menggabungkan memancing sebagai hobi dan ikan sebagai sumber protein. Ikan yang diperolehi sedikit sebanyak dapat menjimatkan perbelanjaan harian. Selain itu, ikan spesies mahal mempunyai rasa yang enak dan sedap dimakan. Berbaloi untuk menangkapnya sendiri daripada membelinya di pasar.
Ads
IKAN UNTUK DIJUAL
Ada juga golongan pemancing yang menjual hasil tangkapan. Selain memancing sebagai hobi, mereka juga dapat menjana pendapatan sampingan. Jika mereka memancing di kolam berbayar, sekurang-kurangnya hasil jualan dapat menampung kos bayaran di kolam.
Duit lebih, jika ada, dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan lain. Jika bernasib baik, ikan yang didaratkan mampu memberi pulangan lumayan kepada pemancing, sekiranya ikan tersebut merupakan spesies mahal, sebagai contoh ikan ketutu. Mereka masih tergolong dalam kategori pemancing rekreasi, sekiranya tujuan utama mereka adalah ‘mencari rekreasi’ dan bukan untuk mendapat keuntungan kewangan semata-mata.
Ads
IKAN UNTUK DITUKAR DENGAN BARANGAN YANG LAIN
Terdapat di kalangan pemancing yang menukar ikan yang ditangkap dengan barangan lain. Mereka akan memberi ikan yang ditangkap kepada jiran atau rakan, bagi mendapatkan barangan lain seperti sayuran atau buah-buahan. Dengarnya seperti sistem ‘barter’ yang wujud pada zaman dahulu.
Realitinya, golongan pemancing begini masih wujud, walaupun di negara maju. Menukar dengan barangan lain merupakan salah satu kepuasan bagi pemancing kategori ini. Selain itu, mereka juga dapat membina jaringan sosial atau hubungan baik sesama jiran dan rakan.
Ads
IKAN UNTUK DIBERI KEPADA ORANG LAIN
Mereka yang terdiri dalam kategori ini mempunyai ciri utama seorang pemancing sejati. Memberi ikan yang ditangkap kepada orang lain bukan sahaja dapat memberikan ‘kepuasan’ kepada pemancing, malah dapat membina hubungan silaturahim atau jaringan sosial dengan masyarakat.
Pemancing juga dapat membantu golongan yang memerlukan, selari dengan idea memberi zakat dalam agama. Kebiasaannya pemancing ikhlas dan tidak mahu menerima sebarang balasan. Sikap pemurah, berkongsi dan suka memberi memang sinonim dengan hampir kesemua pemancing di Malaysia.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ada orang kata, ikan apa pun sedap kalau dibuat masak kari. Memang betul ada betul pendapat tersebut. Tapi kalau ikan yang sedap isinya agak dirugi dibuat kari kerana kari tersebut boleh membunuh rasa asal ikan itu. Jadi, kalau ada ikan yang kurang sedap rasanya seperti ikan alu-alu maka memang sesuai sangat dibuat kari.
Bahan-Bahan: (Bergantung kepada saiz ikan alu-alu)
1 ekor ikan saiz kecil dipotong
2 biji bawang besar (dikisar)
1 ulas bawang putih (dikisar)
1 inci halia (dikisar)
1/2 sudu biji sawi
1/2 sudu halba
2 sudu besar kari ikan (digaulkan dengan sedikit air dijadikan pes)
1 mangkuk air asam jawa
1 mangkuk santan
Sedikit air
Sedikit garam
2 tangkai daun kari
Cara-Cara Penyediaan:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumiskan bahan kisar,biji sawi,halba dan daun kari sehingga naik bau.
2. Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Masak hingga betul-betul garing atau pecah minyak.
3. Masukkan air asam jawa dan ikan.Bila dah menggelegak masukkan santan dan garam.
4. Masak sehingga menggelegak beberapa minit dan bolehlah diangkat.
Sebagai ibu bapa, pastinya bukan mudah untuk meyakinkan anak-anak anda meminati sesuatu perkara. Kanak-kanak masa kini lebih cenderung terhadap gajet berbanding aktiviti-aktiviti luar seperti memancing. Jadi, kami berasa terpanggil untuk kongsi beberapa tip untuk mengajar anak-anak anda memancing.
Jadikan ia mudah difahami untuk permulaan, janganlah anda menjadi begitu teknikal dengan anak-anak anda. Jangan sesekali bercerita tentang teknik-teknik yang susah untuk mereka fahami. Cukuplah sekadar ajar anak anda mengisi umpan dan merasai tarikan ikan. Risau pula jika ia menjadi terlalu teknikal, mereka akan hilang minat.
Biarkan anak-anak lakukan kesilapan Kesilapan masa menaikkan ikan memang perkara biasa bagi mereka yang baru nak menjinakkan diri dalam aktiviti ini. Jangan sesekali marah anak-anak anda jika mereka lakukan kesilapan. Seeloknya, beritahu mereka apa kesilapan yang telah dilakukan dan tunjukkan cara sebenar dalam versi yang mudah difahami oleh kanak-kanak.
Jadikan aktiviti ini seronok untuk anak-anak yang baru mengenal aktiviti luar, penting untuk ibu bapa menjadikan aktiviti ini lebih santai dan menyeronokkan. Selitkan unsur-unsur permainan sewaktu memancing dan galakkan mereka untuk berimaginasi bagi menarik minat mereka.
Sokongan dan galakan sokongan dan galakan memang penting untuk menguatkan mental anak-anak kita, apatah lagi bila ikan belum menjamah umpan. Sentiasa memberikan kata-kata semangat dan terapkan nilai positif dalam diri mereka. Jika mereka mendapat strike, teruslah memberikan sokongan agar keyakinan mereka meningkat untuk menaikkan ikan.
Jangan syok sendiri jika anda membawa anak-anak keluar memancing, janganlah anda jadi syok sendiri dan memancing sendirian. Waktu ini seharusnya menjadi waktu untuk anda kurangkan fokus terhadap joran sendiri dan lebihkan fokus untuk mengajar anak anda teknik-teknik mudah sewaktu memancing.
Terapkan aspek-aspek keselamatan kepada anak-anak aspek keselamatan memang menjadi perkara utama yang harus dititikberatkan sewaktu melakukan aktiviti luar. Perkara ini sangat penting untuk mengelakkan kes-kes kecederaan. Almaklumlah, keterujaan kanak-kanak ni lain macam sikit.
Abadikan kenangan mereka bersama ikan penting untuk ibu bapa membawa kamera bersama-sama sewaktu memancing. Apabila anak-anak anda mendapat ikan, ambillah gambar mereka bersama hasil tangkapan untuk menaikkan lagi semangat mereka.
Bawa mereka memancing sewaktu cuti sekolah Untuk memastikan minat ini berterusan, keraplah membawa mereka keluar memancing sewaktu cuti sekolah. Dengan ini juga, pengalaman dan ilmu mereka akan lebih bertambah.
“Percayakah kamu sekiranya saya menyatakan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menaikkan seekor temoleh seberat 40 kg ke dalam sampan kecil berseorangan?”
Dalam fikiran aku, tentu saja sedang kita membongkok cuba menaikkan ikan liar yang terperangkap dalam jala panjang 10 kaki itu ke dalam sampan, sampan akan terumbang-ambing dan terus senget.
“Sudah tentu air akan mencurah-curah masuk. Kamu boleh bayangkan nasib penjala tersebut!” ucap Cek Mat kepadaku ketika aku sedang menghirup kopi pekat di anjung rumah pusaka datuknya. Cek Mat terus menceritakan lagi kisahnya…..
Aku sendiri pun pada mulanya tidak yakin, tapi setelah melihat sendiri Pak Jangit mendayung sampan dengan membawa seekor temoleh besar dalam perut sampannya yang sedang merapat ke tebing memang sungguh mengejutkan.
“Ada orang tolong Pak Jangit tadi ke?” kata aku sambil memerhati sampan Pak Jangit mula merapati tebing.
“Kamukan nampak aku seorang je ni,” ujar Pak Jangit sambil tersenyum.
Aku terdiam. Dalam fikiranku mungkin ada seseorang yang sedang mudik ke hulu bertembung dan membantunya menaikkan ikan tersebut ke dalam sampan. Mana mungkin seseorang menaikkan ikan tersebut bersendirian, fikirku lagi.
Aku segera membantu Pak Jangit memikul ikan temoleh menuju ke rumahnya yang berjarak suku batu. Suasana agak suram bila memasuki lorong kebun getah yang menuju ke rumahnya yang jauh dari rumah jiran-jiran.
Terasa pelik dan kagum apabila melihat Pak Jangit masih gagah memikul tanpa mengeluh ikan tersebut naik ke dapurnya. Pak Jangit mengeluarkan golok dan menyuruh aku memotong mana-mana bahagian yang aku sukai.
Melihat aku masih ragu-ragu, Pak Jangit lantas memotong bahagian kepala dan memasukkan ke dalam buntil tepung dan menyerahkan padaku untuk dibawa pulang.
Esoknya, selepas pulang dari bekerja di Kilang Getah Kati Estate, aku mencapai batang-batang joran lantas mencapai basikal. Hajatku untuk pergi memancing. Di simpang jalan aku singgah di Kedai Runcit Pak Alang Him untuk membeli rokok dan sedikit roti manis buat bekalan.
Bunyi riang-riang rimba yang tingkah meningkah menyambut kedatanganku di pinggir sungai. Dua batang pancing segera kusiapkan dan siap kutambatkan pada anak pokok pinang. Aku pun bersandar pada perdu pokok sambil mengeluarkan bekalan roti yang dibawa.
Tiba-tiba aku teringat pelawaan Pak Jangit mengajak aku menjala ikan bersamanya. Seingat aku Pak Jangit Tamih pernah memberitahu dia berasal dari suku Kerinci dari daerah Jambi, Indonesia. Telah setahun Pak Jangit mengambil upah menoreh getah di kebun ketua kampung. Pak Jangit pernah berkahwin tapi bercerai tanpa meninggalkan zuriat.
Aneh, orangnya. Rela tinggal bersendirian di hujung kampung dan menghuni rumah kecil peninggalan Bidan Mak Limah.
Sekiranya tidak menoreh kerana hujan, dia akan membuat jala. Kadang-kadang ada juga orang kampung turut menempah jala darinya. Cuma dia agak kurang bergaul. Satu-satunya yang menentang keras akan kehadirannya adalah Pak Malim, seorang guru silat di kampung kami.
Pernah tiga bulan yang lalu, Pak Jangit menggemparkan penduduk Kampung Beluru dengan tangkapan ikan temoleh seberat 40kg di Sungai Jawang. Berita kejayaannya telah menjemput kaki-kaki pancing dan pemukat dari kampung-kampung berhampiran.
Namun ramai yang hampa. Cuma Pak Ngah Tago agak bernasib baik dapat menaikkan temoleh 17 kg, itu pun dibantu oleh anak bujangnya yang ikut bersama.
Aku menyalakan sebatang rokok. Nyamuk yang berlegar di sekeliling badanku mulai berkurangan. Ada juga desas-desus menyatakan Pak Jangit mengamalkan ilmu hitam. Ada juga menyatakan Pak Jangit ada pendamping.
Terasa seram menyelubungi diri sewaktu aku berpaling ke kiri. Berderau darahku. Berdiri di bawah pokok salak kelihatan Pak Malim yang sedang melangkah ke arahku. Kami pemuda-pemuda Kampung Beluru dan kampung-kampung sekitarnya sangat menghormatinya kerana ilmu persilatannya yang tinggi.
“Aku mencari kerbau aku yang terlepas!” ujar Pak Malim sewaktu aku bertanya akan kehadirannya. Aku dengar kau nak ikut Pak Jangit menjala? Berhati-hati jangan cepat percaya dengan orang luar.”
Aku mula merasa tidak selesa. Bagaimana Pak Malim boleh tahu rancanganku? bisik hatiku. “Mat, kau ada rasa kelainan tak semasa berada di halaman rumahnya?”. Aku mengangguk perlahan.
Memang aku akui. Ada ketikanya suasana tiba-tiba rasa sejuk yang melampau, bau kemenyan yang nipis menusuk ke hidung sewaktu berada di halaman rumahnya. Lebih-lebih lagi waktu rembang petang.
“Kebaikan kau akan dipergunakannya, berkemungkinan dia akan melepaskan sakanya pada kamu.” Aku merenung jauh memikirkan kata-kata Pak Malim. “Kehebatannya menaikkan ikan-ikan besar seorang diri ke dalam sampan hanyalah dibantu oleh pendampingnya. Tapi ingat itu hanyalah ilmu dunia yang sementara!”
Aku mula merenung muka Pak Malim. Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta api barang melintasi jambatan besi Victoria. Petang yang cerah tiba-tiba bertukar kelam. Langit hitam beserta angin kencang membawa gerimis. Sebaik bunyi guruh berdentum kuat, tiba-tiba kami dikejutkan kelibat Pak Jangit di bawah pokok kabong, sambil merenung tajam ke arah kami.
Daripada pandangan mata wajahnya, perlahan-lahan seakan berubah menjadi harimau. Suaranya kedengaran garau dan bersedia dalam kedudukan untuk menerkam kami.
Pak Malim lantas mengeluarkan kain hitam berjalur merah. Dari mulutnya meluncur ayat-ayat suci. “Mat kamu jangan gentar, teruskan membaca ayat Qursi.” Aku akur sambil cuba melangkah pantas ke belakang Pak Malim.
Belum sempat aku berada di belakang Pak Malim, satu tamparan singgah di dada kiriku. Sepantas kilat Pak Malim merentap daunan dan menepuk sambil mulutnya kumat kamit menghembuskan ke dadaku dan tangan kiriku menekup daunan seperti diarahkan. Aneh!
Dalam beberapa saat dada terasa seperti terbakar mula reda seperti di sirami air dingin. Jelmaan Pak Jangit yang telah bertukar wajah kepada harimau jadian mengaum sekuat tenaganya.
Terkamannya yang agak tersasar memberi peluang Pak Malim melibas muka harimau jadian dengan kain hitam dengan sekuat hati. Lantas ghaib dari pandangan mata kami dan meninggalkan bau kemenyan yang tajam. Perlahan-lahan Pak Malim memapahku pulang….
“Peristiwa ini telah 20 tahun berlalu. Pak Malim pun telah lama meninggal dunia. Pak Jangit telah lama menghilangkan diri tanpa berita. Lihatlah ini bekas cakarannya masih meninggalkan parut di dadaku sebagai kenangan,” Ucap Cek Mat sambil tertawa kecil.
Matanya merenung jauh ke puncak Bukit Karai. Sesekali mataku merenungi bunga-bunga teratai di permukaan kolam yang berada di pinggir rumah pusaka Cek Mat.
“Setiap kejadian ada hikmahnya. Cuma kita harus selalu berwaspada. Ingatlah pada yang Esa!” ucap Cek Mat perlahan kepada ku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...