Untuk memenangi sesuatu pertandingan, ada yang tergamak melakukan apa saja perkara kotor. Matlamat menghalalkan cara. Dalam dunia mancing tak terkecuali. Demi untuk menang apatah lagi dengan tawaran hadiah mencecah ratusan ribu, maka muncullah pemancing yang menggunakan helah dan tipu muslihat demi muncul sebagai juara.
Menipu Saiz Ikan
Salah satu teknik yang popular ialah dengan menambah batu ladung dalam di dalam badan ikan. Ada yang memasukkannya terus ke dalam perut ikan atau ke dalam mulut ikan sahaja. Penipuan ini sudah lama dilakukan dan masih ada yang melakukannya.
Satu lagi kaedah menipu timbangan ialah mencatatkan hasil timbangan yang melebihi berat ikan yang sepatutnya. Biasanya ia dilakukan hasil kerjasama atau pemancing bersubahat dengan marsyall atau hakim yang merekodkan hasil pancingan.
Manakala dalam pertandingan casting yang membabitkan saiz ukuran ikan pula, ada yang menggunakan kaedah melipat pita ukuran bagi membolehkan catatan yang lebih panjang dari kepala hingga ke ekor ikan.
Seludup ikan
Ads
Teknik ini cukup popular ketika era ikan keli merupakan spesies utama yang dipertandingkan. Malah ia masih berterusan sehingga hari ini berikutan keupayaan ikan keli untuk bertahan di luar air untuk tempoh yang agak panjang.
Teknik menyeludup ikan bukan terbatas di pertandingan memancing air tawar sahaja. Pertandingan air masin juga tidak berkecuali. Ia pernah berlaku dalam pertandingan memancing laut dalam di mana peserta menghantar ikan yang dibeli dari nelayan di tengah laut.
Malah dalam pertandingan mengilat yang tersohor di Tasik Kenyir suatu ketika dahulu, ada peserta yang menghantar ikan yang telah ditangkap beberapa hari sebelum pertandingan dan muncul sebagai pemenang.
Ads
Tambat ikan
Teknik menambat ikan cukup sinonim dengan pancingan pantai dan tasik. Ikan yang dicangkuk mata kail di dalam mulutnya akan ditambat dengan tali atau perambut yang panjang. Tali yang menambat ikan itu kemudiannya akan disambung pada tali pancing utama tanpa pengetahuan peserta lain pada hari pertandingan.
Ads
Komplot Dengan Penganjur
Istilah ikan boll di dalam mulut cukup sinonim dengan pertandingan memancing yang dianjurkan di kolam atau tasik air tawar. Ia memberi makna, mata kail haruslah tercangkuk di dalam mulut ikan sebagai syarat pengesahan tangkapan. Sekiranya tidak boll maka tangkapan dibatalkan.
Namun ia peraturan yang mudah dijual beli. Dengan tawaran suapan beberapa peratus, banyak kejadian di mana peserta yang memenangi pertandingan memancing adalah hasil rasuah kepada marshall. Malah ada yang peserta yang berpakat secara langsung dengan penganjur.
Guna Khidmat Bomoh
Matlamat menghalalkan cara. Demi memenangi wang pertaruhan, ada pemancing yang sanggup menggunakan khidmat bomoh atau ilmu hitam. Ia bukan perkara baru namun kekurangan bukti nyata untuk mengheret para penipu dalam pertandingan memancing ini ke muka pengadilan menyebabkan ia tidak dapat didedahkan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kumpau bermaksud gagal mendaratkan ikan sepenuhnya. Sepenuhnya bermaksud bukan sekadar tiada ragutan langsung dari ikan tetapi juga dalam usaha mendaratkan ikan tersebut. Untuk mendaratkan ikan maka banyak perkara yang perlu diperiksa sebelum sesi memancing lagi.
Periksa set pancing
Rod, reel, mata kail dan sebagainya harus sentiasa diambil berat kondisinya. Pastikan set pancing anda disimpan di tempat yang selamat lepas digunakan. Ini bagi mengelakkan ia rosak di kemudian hari.
Selaraskan drag
Drag memainkan peranan penting sewaktu pertarungan dengan ikan. Sentiasalah memeriksa drag anda agar tidak terlalu longgar, mahupun terlalu ketat kerana ini boleh memberi peluang kepada ikan meloloskan diri.
Periksa kondisi tali pancing
Tidak kiralah sama ada anda mengguna braided atau mono. Pemeriksaan tali memang sangat penting. Banyak berlaku kes-kes rabut akibat daripada tali yang sudah lama atau reput. Seelok-eloknya tukar tali anda dengan agak kerap mengikut kesesuaian.
Periksa sambungan ikatan
Penting untuk memastikan ikatan sambungan tali dan leader kuat bagi mengelakkan kes-kes berputih mata. Walaupun hanya baru turun sekali tetapi ada kalanya kita tidak menyedari ada bahagian tali yang telah rosak.
Jangan biarkan tanpa pengawasan
Kes joran terbang ke laut atau sungai, tali habis dan macam-macam lagi memang selalu terjadi bila tiada pengawasan daripada anda. Jadi, kalau nak jadi pemancing berjaya, sentiasalah mengawasi rod anda, bagi mengelakkan rod anda lebur menjadi tukun di dasar laut, sungai ataupun tasik.
Tangguk atau gancu ikan
Ini juga penting kerana, kebiasaannya ikan akan gemar melakukan kejutan di saat-saat akhir. Bayangkan kalau tukang tangguk atau gancu anda terkial-kial hendak menaikkan ikan dan ikan memecut di saat akhir. Pastinya ia akan membawa kegagalan buat anda.
Waktu terbaik memancing
Untuk menjadi pemancing berjaya adalah penting untuk anda sentiasa merancang trip memancing anda mengikut kesesuaian musim. Ambil tahu keadaan tempat memancing, jenis ikan dan teknik terbaik sebelum anda keluar memancing.
Lubuk yang terbaik memang sering menjadi perhatian kaki pancing yang lain. Jadi untuk mengelakkan bersesak-sesak memancing di satu lubuk, adalah baik untuk kita mempunyai ‘back-up plan’ lubuk memancing kita sendiri bila situasi seperti ini terjadi.
Umpan cukup
Faktor umpan tak mencukupi memang selalu berlaku ketika keluar memancing. Bayangkan, tengah syok layan ikan, tiba-tiba umpan tak cukup, mesti potong stim kan? Jadi, sentiasalah bawa umpan yang mencukupi. Berlebihan sikit pun tak apa, asalkan anda takkan putus umpan.
Pada hari Sabtu itu, Haziq mencadangkan tempat yang menarik untuk kami memancing. Tidak pernah mengatakan tidak, kami berlima terus bersetuju dengan cadangan Haziq. Tempat yang dicadangkan olehnya di puncak Bukit Polo Iskandar, Ipoh.
Kami sampai di situ kira-kira jam 5.30 petang. Sampai sahaja di situ kami mencari lokasi yang terbaik untuk memulakan memancing. Kelihatan kocakan air memang banyak. Tidak hairanlah banyak ikan di situ kerana dahulunya merupakan tapak bekas kolam ikan yang dibela.
Setelah itu kami menunaikan solat fardu asar secara berjemaah. Berbekalkan roti kosong di cicah bersama sardin yang dibekalkan oleh ibu Afiq tadi, kami bersama menikmatinya sambil berborak kosong. Lebih kurang 15 minit menunggu, joran Mirza disambar. Naik seekor toman lebih kurang 3 kg beratnya.
Hari semakin beransur gelap. Mirza dan Iddin sibuk memasang unggun api. Nak bagi kawasan terang dan juga menghalau agas kata mereka. Aku pula duduk berborak dengan Afiq dan Haziq. Sedang asyik berborak tiba-tiba aku terdengar bunyi sesuatu yang mencurigakan. Uuuiiii….uuiiii..uiiii. Afiq dan Haziq mungkin tidak terdengar bunyi itu kerana asyik membebel sahaja pasal ikan yang tak makan umpan.
Aku cuba mengamati bunyi tu betul-betul. Aku cuba mencari dari manakah arah bunyi tersebut. Hati aku sudah mula rasa tidak sedap. Tetapi untuk tidak melayan perasaan takut itu aku buat tak tahu sahaja. Akan tetapi bunyi itu semakin berlanjutan. Aku tak pandang joran ketika itu. Dalam keadaan bunyi yang mencurigakan tiba-tiba ada tambahan bunyi pula, aku terdengar bunyi budak menangis.
Bunyi itu semakin berlarutan. Tiba-tiba datang Mirza. Mukanya agak pucat. Dia duduk sebelah aku. Ada benda yang ingin disampaikannya. Tetapi agar sukar untuk Mirza berkata-kata. Kawan-kawanku yang lain juga perasan akan perubahan Mirza dan segera datang ke arah aku dan Mirza. “Kau kenapa ni Mir,”? soal Haziq cemas. “Ceritalah,” sambung Afiq.
“Aku perasan ada orang memancing tadi di sebelah sana, aku pun tergur dia, tapi tak sampai 5 saat orang itu hilang betul-betul depan mata aku,” cerita Mirza dalam nada ketakutan.
Ketika Mirza menceritakan kejadian itu, kedengaran uuuuuiiii…uuuuiii….uiii bunyi tangisan budak itu berselang-seli dan semakin kuat. Kini bukan sahaja aku seorang yang dengar malah yang lain juga turut terdengar bunyi yang sama.
Tanpa berlengah masa, aku terus mengajak kawan-kawanku pulang. Tetapi Afiq dan Iddin enggan pulang. Katanya baru sampai takkan mahu pulang. Akhirnya mereka semua akur dengan keputusan aku yang mahu pulang. Kami semua berkemas dan berjalan keluar dari kawasan itu.
Bila sudah hampir dengan tempat meletak motosikal kami, baru aku sedar bunyi itu datang pokok yang paling hampir dengan tempat aku meletak motosikal. Hendak tak hendak aku harus melalui pokok itu untuk mengambil motor.
Tapi apa nak buat mesti lalu pokok itu dulu takkan nak terus berdiri di situ. Bertemankan cahaya lampu suluh kami melalui pokok itu. Itu pun lampu suluh meragam. Kejap menyala, kejap tidak. Masa lalu pokok tu hanya Allah yang tahu.
Bulu romaku meremang sakan. Masa nak sampai ke motosikal, kami terdengar orang ketawa mengilai panjang. Apa lagi kami semua hidupkan enjin tekan gear dan jalan. Mujurlah enjin senang dihidupkan ketika itu.
Aku menjadi orang yang paling belakang. Tak tengok belakang aku terus menunggang dengan tenang. Ingatkan gangguan itu sudah habis, tapi masa turun puncak bukit itu ada berlaku kejadian aneh. Ketika turun dari bukit itu keadaannya memang gelap.
Tiba-tiba ada sebuah motosikal yang datang dari arah belakang memotong aku dan rakan-rakan. Lagi pelik motosikal itu tidak berlampu dan dinaiki seorang pakcik tua. Sedangkan kawasan itu gelap. Jika tiada lampu mustahil akan nampak dengan keadaan jalan yang berbukit pula, lagi bahaya.
Aku lihat kawan-kawanku juga tidak peduli dengan keadaan itu. Kami terus memandu dengan berhati-hati. Bukit di situ agak curam. Jadi aku menggunakan gear 1 sahaja. Dalam keadaan gelap begitu, kami diuji lagi. Ada sebuah kereta berwarna merah bertembung dengan kami. Kereta itu menuju ke puncak bukit.
Masa berselisih dengan kereta itu, aku menjeling untuk melihat apa yang ada dalam kereta itu. Alangkah terkejutnya aku kereta itu tiada pemandu dan di belakangnya ada seorang penumpang yang berambut panjang dengan paras rupa yang menyeramkan. Aku cuba kawal perasaan aku ketika itu. Mulutku tidak berhenti membaca ayat kursi dan 3 qul. Bulu romaku semakin menegak.
Kelihatan kawa-kawanku memecut motor laju masing-masing. Aku cuba fokus untuk menunggang dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tanpa melihat kiri dan kanan aku terus memecut laju. Oleh kerana sudah jalan landai, agar lancar perjalanan. Fikiranku hanya mahu sampai ke rumah dengan segera tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam hatiku masih lagi tertanya-tanya siapakah penunggang motosikal tadi? Dan tujuan apakah perempuan itu menuju ke bukit. Mujurlah hanya aku sahaja yang menjeling wanita itu, namun wanita itu tidak menjeling aku kalau tidak, mahu 120km/j aku turun dari cerun bukit itu.
Setelah memakan masa hampir 45 minit untuk keluar daripada kawasan itu, akhirnya kami semua sampai di jalan besar. Kami terus mengambil keputusan untuk singgah ke rumah nenek Iddin yang terletak tidak jauh dari situ. Oleh kerana hari sudah larut malam, kami bersetuju untuk tumpang di situ sementara menunggu hari siang.
Kebetulan pula,rumah nenek Iddin bersebelahan dengan jirannya berbangsa Cina. Rumah jirannya itu ada anjing. Semasa kami semua mahu masuk ke rumah nenek Iddin itu, anjing tidak duduk diam dan menyalak dengan kuat sambil memandang ke arah kami semua. Mungkin anjing itu tahu akan kehadiran entiti asing di situ.
Semenjak kejadian itu, kami berlima tidak lagi memancing di lokasi itu. Kami lebih selesa memilih pot yang ada orang ramai dan mudah meminta bantuan andainya berlaku kejadian yang tidak diingini. Kejadian yang berlaku itu kini menjadi satu memori misteri yang hingga kini sukar untuk dirungkaikan!
Ikan ruby snapper sama macam ikan merah dan jenahak juga, masak apa pun sedap! Tapi kalau nak dibandingkan, ikan ruby lebih sedap. Hanya, kebanyakan ruby yang dinaikkan bersaiz kasar maka paling cantik ialah dibuat kari!
Bahan-bahan:
1 ekor ikan ruby snapper saiz sederhana (dipotong dan dibersihkan)
1 labu bawang besar (dihiris)
4 ulas bawang merah (dikisar)
3 ulas bawang putih (dikisar)
2.5cm halia (dikisar)
1 sudu besar halba campur
2 sudu besar cili kisar
5 tangkai cili kering (dipotong-potong)
3 tangkai daun kari
1 senduk rempah kari
Santan secukupnya
Sedikit air asam jawa
5 batang bendi (dipotong)
2 biji tomato (dipotong 4)
3 tangkai cili hijau (dipotong 2)
3 tangkai cili merah (dipotong 2)
Garam secukup rasa
Serbuk perasa
Gula (jika perlu)
Sedikit minyak
Cara Penyediaan :
1. Tumis bahan hiris bersama daun kari, halba campur dan cili kisar hingga naik bau.
2. Masukkan pula bahan kisar dan kacau hingga wangi. Masukkan rempah kari dan kacau hingga naik minyak semula. Masukkan juga cili kering.
3. Masukkan santan dan air asam jawa dan biarkan hingga mendidih. Masukkan ikan dan bendi. Masukkan serbuk perasa, garam, tomato, cili hijau, cili merah. Biarkan hingga mendidih seketika.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...