Ketahui Habitat & Umpan Terbaik Memikat `Mak Janda’!

Share

 

Habitat dan sifatnya

 

Spesies ini menjadikan paya bakau dan sekitar muara sebagai habitatnya yang mempunyai alur keluar masuk air sungai dan laut. Akar-akar bakau dan reba yang berada di tepian muara dijadikan lokasi habitatnya untuk hidup, bertelur dan menetaskan anak dan mencari makan.

 

Tetapi bagi pemancing ia adalah satu cabaran yang mana akar kayu bakau dan reba ini menjadi penghalang utama kepada pendaratan spesies ini setelah ia membaham umpan.

 

Ragutan kasar yang dibuat oleh spesies pemangsa ini akan membawa tali pemancing ke arah reba dan jika tidak bijak mengawal larian tersebut maka berakhirlah episod mendaratkan spesies ini!

 

 

Spesies ini lebih agresif pada waktu pagi di antara jam 7.00 pagi hingga 10.00 pagi dan 3.00 petang hingga lewat senja. Pemancing harus menggunakan masa ini sebaiknya untuk menjerat mangsa yang kelaparan ketika itu.

 

Umpan

 

Pengetahuan dari segi penggunaan umpan bagi sesuatu lubuk adalah sesuatu perkara penting dalam memastikan misi itu tercapai.

 

Bagi spesies ini lebih ianya lebih cenderung menjadikan ikan jenjulung atau julung-julung sebagai diet utamanya, tetapi umpan lain juga boleh diadaptasikan seperti anak selayang segar, ikan belanak dan udang hidup juga boleh digunakan.

 

 

Namun untuk trip kali ini Mohd Nabil mempertaruhkan gewang kebanyakkannya dari model Rapala TD-7 GFR, SR-7 Pearl White, MR-7 Silver Florescent Chartreuse SFC, SSR-7 Shad, SR-7 Shad, Max Rap-9 Silver Blue dan MR-7 Blue dan Azlin menggunakan Rapala Shad Rap selaman dalam 9 cm, Gold Fish, Rapala Tail Dancer 9 cm, Hot Tiger, Storm Thunder Crank 7cm Clown.

 

Semua gewang ini menggunakan teknik selaman dalam pada jarak selaman 4 kaki dari permukaan air.

 

Ada dua faktor yang perlu diambil kira bagi pemilihan warna gewang iaitu ketika air jernih kebiruan maka pemancing boleh menggunakan gewang berwarna silver atau warna yang berkilat seakan ikan jenjulung.

 

Ketika air keruh, warna terang amat sesuai digunakan seperti warna pink, merah, orange dan hijau.

 

 

Sebaiknya mata 3 perlu ditukar kepada mata tunggal, ini kerana keadaan sekitar yang banyak halangan akan menjadikan risiko gewang tersangkut menjadi tinggi.

 

Bayangkan seketul harga gewang puratanya berharga RM30 dan ke atas. Kalau tersangkut di reba, mau tak ‘kelat’ rasanya hati memikirkannya.

 

Jika menggunakan gewang lama, perhatikan split ring dan mata kailnya. Jika ada tanda berkarat, perlulah menukarnya supaya tidak berlaku kejadian ‘miss’ yang akan membuatkan rasa kecewa melanda berpanjangan berhari-hari.

 

Sebaiknya, sebelum memulakan misi ianya perlu diperiksa sebaik mungkin bagi menjamin kualiti sesuatu trip itu.

 

 

Lubuk terbaik

 

Tekong biasanya menjadikan sepanjang alur sungai hingga ke muara yang berbakau sebagai lubuk-lubuk yang dikenal pasti berpotensi menghasilkan tangkapan.

Published by
Amang