Lontaran Umpan
Dalam memburu penghuni apungan (selain pecah periuk, ada spesies lain juga menghuni apungan besar), teknik menghanyut umpan dan melontar perlu dilakukan sehampir mungkin ke apungan tersebut.
Perambut
Perambut sepanjang setengah depa menggunakan perambut kabel ataupun tali mono 60 paun boleh dipraktikkan dalam memburu spesies ini. Setting kasar ini penting bagi memastikan dapat menarik mangsa keluar dari halangan apungan.
Umpan
Umpan sotong atau hirisan kembung sangat sesuai digunakan untuk menjerat mangsa yang kebiasaannya mencari makanan di sekitar apungan yang hanyut. Spesies pelagik ini pada kebiasaannya akan melarikan umpan antara dasar dan permukaan air.
Set pancing
Set pancing yang digunakan juga tidak perlulah menjurus kepada set yang terlalu berat kerana, aksi tarikannya memang dinantikan pemancing. Cuma perlu seimbang agar dapat merasai keseronokan sebenar melayan penghuni ini.
Bulu itik
Secara amnya, ikan pecah periuk akan menjamah apa jua umpan yang dilontarkan berhampiran kumpulan mereka.Selain hirisan kembung dan sotong, batu ladung yang diikat bulu itik juga mendapat sambutan dan tidak keterlaluan jika saya katakan spesies ini mudah dipancing jika terkena lubuknya. Selain itu mikro jig dengan sotong getah juga boleh digunakan.