Kurau dari spesies Polynemus sheridani adalah spesies yang hanya terdapat di Australia sehingga ke kepulauan Papua New Guinea.

Memandangkan tiada nama tempatan untuk membezakannya dengan spesies tempatan (Polynemus indicus), maka ia dinamakan kurau Australia.

 

Nama Inggerisnya banyak juga seperti king threadfin, threadfin salmon, Sheridan’s threadfin, Burnett salmon, Cooktown salmon, tassel-fish dan putty nose.

Gelaran threadfin yang diberikan adalah berdasarkan keunikan kurau yang mempunyai sirip seakan benang (kita panggil janggut) yang berjurai keluar di bawah pipinya. Populasi kurau Australia paling tinggi di sebelah utara Australia.

 

Seperti mana kurau Malaysia, habitat kurau Australia di kawasan muara dan persisiran pantai yang berlumpur. Janggutnya berjurai amat penting bagi kurau sebagai deria rasa (feelers) di perairan yang keruh untuk mengesan makanan.

 

 

Kurau Australia mempunyai ekor yang sangat bercabang dan dua sirip dorsal besar yang sama saiznya. Bentuk dan kelebaran sirip analnya lebih kurang sama dengan sirip dorsal kedua. Ia mampu menjangkau berat melebihi 30kg.

 

Hanya ada satu cara untuk membezakan kurau Australia dan kurau Malaysia iaitu dengan memeriksa ruji pada sirip pektoralnya. Ruji-ruji yang menjadi tulang kepada sirip pectoral kurau Australia adalah tidak bercabang.

Kurau Malaysia yang dikenali dengan nama global Indian threadfin mempunyai ruji yang bercabang di hujungnya.

 

Jika kurau Malaysia kelihatan gelap dan lebam tetapi kurau Australia tampak lebih bersih. Warna badannya keperakan dan sedikit keemasan dengan bahagian belakang yang gelap. Ikan ini dikatakan mendapat nama jolokan salmon disebabkan warna sedemikian.

 

Masa terbaik memancing kurau Australia ialah ketika air sedang pasang atau surut sehingga warna airnya keruh berkeladak di mulut muara atau teluk.

Pada tempoh ini, kurau Australia gemar memburu makanannya seperti ketam dan udang yang berlindung di bawah lapisan sedimen.

Penggunaan umpan hidup pada malam hari dikatakan boleh memerangkap spesimen yang lebih besar, begitu juga jika gewang replica ikan dan popper digunakan ketika senja.

 

 

Kurau Australia adalah perenang malas seperti bonefish ketika mencari makanan, tetapi berubah menjadi pelari pecut yang luar biasa bila tercangkuk pada mata kail. Ia akan bertempur habis-habisan dan memecut ke serata arah.

 

Ia juga mampu melompat ke udara atau memotong permukaan air sepanjang lariannya itu. Kurau Australia sering ditemui di kawasan yang sama dihuni barramundi. Malah kualiti rasanya sering dibandingkan dengan barramundi.

baca juga Kenali Ikan Kurau

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan