Ketahui Ancaman Keselamatan Ketika Memancing

Share

 

Memancing sememangnya satu aktiviti yang menyeronokkan. Pun begitu, jika kita bersikap acuh tak acuh tentang soal keselamatan, silap hari bulan boleh bertukar tragedi.

 

Kadang-kadang situasi luar jangkaan kerap berlaku seperti perubahan cuaca, gangguan serangga malah tercangkuk mata kail sekalipun. Berikut adalah antara langkah keselamatan yang patut dititikberatkan ketika keluar memancing.

 

Pentingnya Jaket Keselamatan Atau Personal Flotation Devices (Pfds)

 

Kata orang, sediakan payung sebelum hujan. Seeloknya PFD perlu sentiasa ada sama ketika memancing. Bagi trip menaiki bot pula, pemilik bot wajib menyediakan PFD yang mencukupi. Bukan setakat di atas bot sahaja, jika anda trekking dan terpaksa merentas anak sungai atau jeram, anda perlu memakai PFD bagi mengelakkan dihanyutkan arus deras.

 

 

Tahu Berenang

 

Perkara asas yang penting bagi seorang pemancing ialah kebolehan untuk berenang. Bagi yang tidak pandai berenang, Ia tidaklah menghalang untuk anda terus memancing, namun sebaiknya cuba untuk belajar berenang.

 

Ketika di lokasi pancing, pastikan sentiasa peka dengan keadaan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini. Sebaik-baiknya pastikan berteman bila pergi memancing dan elakkan ke lokasi tertentu bersendirian.

 

 

Awas Ketika Meranduk Air

 

Ketika meranduk atau merentas air, beberapa perkara penting perlu anda pastikan. Elakkan merentas jeram atau anak sungai bersendirian,pastikan ada rakan bersama. Sentiasa memakai PFD ketika meranduk air.

 

Anda juga perlu tahu kedalaman air dan kederasan air sebelum meranduk. Ketika di dalan air, gunakan kayu atau kaki anda bagi mengetahui keadaan dasar air.

 

 

Usaha Menyelamat

 

Reach-throw-row-go ialah langkah menyelamat yang wajar kita tahu jika terdapat mangsa terjatuh ke dalam air atau lemas. Reach (capai) ialah langkah mencapai mangsa sama ada dengan tangan, tali, kayu dan sebagainya.

 

Jika jauh, cuba langkah throw (baling) iaitu balingkan alat keselamatan seperti PFD atau pelampung. Jika tiada, langkah row (kayuh) iaitu gunakan bot atau sampan jika ada.

 

 

Langkah terakhir iaitu go (berenang) boleh dilakukan JIKA tiada pilihan lain dan JIKA anda betul-betul pandai berenang serta tahu langkah menyelamat mangsa lemas

 

Berhati-Hati Dengan Kelengkapan Memancing Anda

 

Berhati dengan kelengkapan anda. Ketika membaling, pastikan belakang anda tiada halangan bagi mengelakkan tersangkut pada rakan atau pokok.

 

Jangan sesekali membiarkan mata kail merata-rata kerana sesiapa saja boleh terpijak dan menyebabkan kecederaan. Gunakan playar ketika mengeluarkan mata kail pada mulut ikan.

 

 

Published by
Amang