Di Malaysia, ikan sebarau boleh dikatakan spesies ikan pancingan sukan yang paling terkenal dan paling mengujakan. Daya tentangan ikan ini cukup kuat dan boleh dikategorikan antara spesies pemangsa yang terhandal. Kekuatan sebarau boleh dirasakan sejak dari mula spesies ini menghentam gewang sehinggalah sewaktu mendaratkan ikan ini.
Bagi teknik mengilat, penggunaan paling mudah, efektif dan popular ialah penggunaan sesudu. Penggunaan sesudu sangat berkesan untuk digayakan di lokasi yang berair tidak terlalu dalam serta berarus.
Bagi lokasi seperti sungai-sungai pergunungan, selalunya penggunaan sesudu tidak mengecewakan. Larian sesudu serta kilauan pada sesudu biasanya akan menarik perhatian spesies ini untuk mengejar dan menghentam sesudu.
Selain itu, penggunaan gewang selaman sama ada selaman sederhana dan selaman dalam turut berkesan menjerat sebarau. Sebarau yang bersaiz lebih besar biasanya mendiami kawasan yang lebih dalam dan penggunaan gewang selaman berkesan menarik perhatian sebarau.
Satu lagi gewang tiruan yang cukup popular ialah gewang permukaan. Saya sendiri menganggap, dalam banyak-banyak gewang, gewang jenis ini paling mengujakan.
Anda sendiri cuba bayangkan, setibanya di satu teluk di awal pagi, ketika itu hujan sedang turun gerimis, gewang pensil di lontar jauh, sebelum dimainkan dengan perlahan.
Sedang mata memerhatikan lenggokan gewang berkenaan, satu deburan kuat kedengaran, serta-merta degupan jantung berkali ganda kuat degupannya.
Satu tarikan padu berlaku pada kekili anda dengan tali berdecit muntah keluar sebelum asakan tersebut cuba ditahan dengan kemas.
Tiada yang lebih nikmat melainkan merasai saat pertarungan tersebut. Sama ada ia berpihak kepada ikan atau anda itu terpulang pada skill dan juga peralatan memancing yang anda gunakan.