Keperluan peralatan memancing toman (bottom)!!

Share

 

Sebagaimana yang kita sudah maklum dalam Info Spesies berkenaan morfologi, habitat dan diet ikan toman, untuk memancing spesies ini haruslah menyediakan kelengkapan yang sepadan.

Sikap memandang rendah terhadap kekuatan toman dengan menyediakan peralatan yang tidak sepadan boleh merugikan diri sendiri.

 

JORAN

 

Joran berkekuatan sekurang-kurangnya 10-20lb dengan aksi sederhana berat (medium heavy) adalah disarankan.

Namun joran berkuatan 15-30lb dengan aksi sederhana berat merupakan pilihan yang terbaik. Bukanlah bermakna joran di bawah 10-20lb tidak boleh digunakan.

Nak guna joran 4-10lb pun boleh tetapi boleh ke joran tersebut beraksi sempurna jika strike toman melebihi 5 kilogram?

Peranan joran bukan sahaja untuk menarik atau mengepam ikan, sebaliknya juga untuk menyentap mata kail masuk ke rahang ikan toman yang keras.

Saiz panjang joran yang ideal ialah 6-8 kaki. Joran melebihi 6 kaki lazimnya lebih efisien untuk membuat lontaran menggunakan umpan seperti ikan keli hidup ke spot yang lebih jauh, sekiranya memancing dari daratan.

Jika menggunakan bot atau boating, joran berukuran 5-6 kaki lebih efisien.

 

KEKILI

 

Kekili saiz siri 3000 hingga 5000 paling sesuai digunakan. Tak kiralah kekili untuk kegunaan air tawar atau air masin semuanya boleh digunakan.

Yang penting kekili tersebut memiliki longkang gelendung atau spool yang dalam bagi mengisi tali tangsi yang mencukupi.

Daya seretan kekili atau drag kekili juga tidak perlu sehingga belasan kilogram. Drag 4 kg pun sudah memadai kerana boleh menggunakan bantuan tangan terhadap spool bagi mengekang larian toman.

 

TALI PANCING

 

Penggunaan tali tangsi atau mono adalah disarankan untuk memancing toman. Tali sulam juga boleh digunakan tetapi haruslah disambung dengan shockleader 2-3 meter.

Ia bertujuan bagi mengurangkan risiko tali utama berbelit atau berpintal terutamanya jika menggunakan umpan hidup seperti ikan keli atau ikan lampam.

Tali tangsi yang tahan lasak dan geseran berkuatan 20-35lb adalah pilihan terbaik. Justeru itulah kekili saiz siri 3000 hingga 5000 adalah pilihan sesuai bagi memuatkan tali tangsi 20-35 lb ini.

Tali tangsi berwarna jernih atau kehijauan lebih sesuai digunakan atau tali yang sepadan dengan warna air lokasi pancingan toman tersebut.

 

MATA KAIL

 

Boleh dikatakan banyak jenis mata kail seperti octopus hook, siwash hook atau circle hook boleh digunakan.

Saiz mata kail sederhana sekitar 2/0-4/0 sesuai digunakan bergantung kepada saiz umpan yang digunakan.

Apa yang penting mata kail mestilah tajam dan kukuh untuk menembus mulut dan rahang ikan toman yang keras. Shank atau teras mata kail sebaiknya yang sederhana tetapi kuat.

Teras yang halus bagus untuk strike tetapi dikhuatiri tidak mampu bertahan. Sementara teras yang tebal pula menyulitkan untuk hook up yang kemas.

Sebaiknya juga gunakan mata kail daripada material black nickel. Jumlah penggunaan mata kail pula bergantung kepada saiz umpan. Namun penggunaan 1 hingga 2 mata kail sahaja sudah memadai.

 

PERAMBUT

 

Perambut mono filamen atau fluorocarbon 30-50lb sepanjang sekaki disambungkan dengan perambut dawai atau kabel 20-30lb kira-kira sejengkal.

Sebaiknya pilihlah dawai lembut yang disalut getah hitam. Yang penting perambut mata kail wajib menggunakan dawai atau kabel kerana toman bukan saja memiliki barisan gigi yang tajam bahkan rahang kuat yang mampu mematahkan mata kail.

Penggunaan perambut tanpa dawai pun boleh digunakan tetapi ia lebih bergantung kepada nasib. Kalau nasib baik, naiklah toman tapi kebanyakkannya jarang yang bernasib baik.

 

UMPAN

 

Apa sahaja benda berdaging boleh digunakan sebagai umpan toman. Namun umpan yang biasa digunakan adalah ikan hidup atau ikan mati.

Ikan keli, lampam dan puyu merupakan umpan hidup yang lazim digunakan dan berkesan. Untuk lebih berkesan, sebaiknya guna umpan yang boleh diperoleh di habitat yang sama dengan toman tersebut.

Sekiranya lubuk tersebut turut ada sebarau maka gunalah ikan sebarau sama ada hidup atau mati. Sudah sekian lama dikatakan toman dan sebarau saling bermusuhan.

Published by
Amang