Memancing dengan teknik mengilat adalah salah satu seni dalam teknik memancing masa kini. Kelebihan teknik ini tentunya pemancing tidak perlu bersusah payah mencari atau membeli umpan hidup, cukup sekadar memiliki gewang atau sesudu untuk tujuan ini. Selebihnya perlu rajin mencari dan mengkaji lokasi sasaran, keadaan air, waktu yang tepat dan keseimbangan peralatan dengan ikan buruan.
Selepas beberapa siri perbincangan, saya, adik saya Mat Salleh, Asri dan adiknya Ayim, bercadang ke lokasi kegemaran kami yang digelar ‘Lubuk Bawah Kolong’ untuk menduga penghuninya.
Awal pagi tatkala matahari baru menjengah memancarkan sinarnya, kami berempat menyusuri laluan estet getah dan kelapa sawit ke lokasi yang terletak kira-kira 8 km dari rumah saya dengan motosikal masing-masing.
Sampai sahaja di lubuk yang dikenal pasti, peralatan segera dipersiapkan sambil mata meliar mengesan sebarang atau cakupan daripada sebarau yang menyambar anak-anak ikan. Lantas bersimpang siurlah gewang dan besi sesudu menerjah spot yang difikirkan berpotensi menghasilkan sesuatu.
Ads
Selepas beberapa percubaan, rezeki pertama berpihak kepada Ayim apabila lontaran sesudu Seahawk nya disambut sebaik sahaja mencecah air. Gandingan set mengilat kelas sederhana ringannya tiada masalah untuk mengekang larian mangsa dan beberapa minit kemudian seekor sebarau berskala 1.2 kilogram berjaya didaratkan.
Dalam pada itu lontaran gewang saya dan juga sesudu Salleh disergap sesuatu hampir serentak. Walau bagaimanapun mangsa di hujung tali saya berjaya melepaskan diri dan meninggalkan mata tiga yang terkangkang dikerjakannya.
Ads
Manakala Salleh terus melayan tarikan seekor lagi sebarau yang akhirnya berjaya dihela naik. Agak kecil sedikit kira-kira 600 gram yang kemudiannya dilepaskan kembali.
Tiba-tiba kedengaran drag kekili Asri berbunyi akibat sambaran sesuatu di bawah air. Asakan yang diterima agak hebat juga menyebabkan hujung jorannya melengkung menyentuh permukaan sungai.
Ads
Dengan berhati-hati Asri mengawal larian mangsa agar tidak terus membawa tali ke struktur berkayu di dasar sungai.
Salleh segera menghulurkan bantuan mendapatkan sebarau berskala 1.8 kilogram yang akhirnya terdampar kepenatan di gigi air. Terpancar senyuman kepuasan pemancingnya dengan hasil yang agak kasar ini.
Walaupun jam baru pukul 9.30 pagi, kami membuat keputusan menghentikan pemburuan kerana keadaan air sungai yang mulai bertukar kepada warna teh susu akibat kerja-kerja mengorek pasir haram di bahagian hulu sungai.
Kami pulang selepas tiada lagi minat sebarau mengejar sesudu atau gelekan gewang yang dipersembahkan. Walau bagaimanapun, kami bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Trip pancingan bottom yang dirancang sekian lama menjadi nyata. Lapan orang pemancing yang akan menyertai trip ini sudah pun bersedia.
Bateri untuk kegunaan mesin elektrik sudah dicas penuh. Batu ladung besar penumbuk pun dibawa. Sambil menunggu rakan yang belum sampai, kami ngeteh dulu.
Bila sudah cukup komplot, kami terus bertolak dalam pukul 12.30 pagi dan subuh kami sampai di jeti Mersing.
Kami menggunakan khidmat Tekong Azahar. Selesai barang keperluan dan peralatan tempur dimasukkan ke atas bot, maka bot menyusur kuala menuju ke perairan Pulau Aur.
Macam biasa, siapa yang asyik menguap dari tadi mengambil tempat di dalam dek bot untuk melelapkan mata.
Yang lain menyiapkan perambut dan sebagainya sebelum sampai ke port memancing. 4 jam perjalanan, tekong singgah di unjam pertama untuk mencari ikan umpan.
APOLLO LUMAYAN
Acara apollo cukup meriah. Selar, tamban, selar kuning dan anak kembung menghiasi mata apollo setiap kali dinaikkan. Satu tong ikan acara apollo kami perolehi.
Lebih dari cukup untuk dibuat umpan nanti. Selebihnya boleh dibawa balik, goreng! Tekong Azahar tidak mematikan enjin bot sepanjang kami ‘mengapollo’ anak-anak ikan.
Teknik berhanyut ini nampaknya lebih menjadi. Berpuas hati dengan umpan yang diperoleh, kami menuju ke spot pertama.
TAMBAK YANG BERLAMBAK
Labuhan pertama, kami diserang gerombolan ikan tambak. Tidak menang tangan kami melayan. Kekili elektrik menjerit di depan dan di belakang bot. Tekong tersenyum.
Walaupun pun kepala terasa pening-pening lalat (nak mabuk la tu) tetapi hilang kerana keasyikan melayan tambak. Sesekali kaci menyapa umpan.
Tidak ketinggalan jenahak juga sudi menjadi penghuni tong Coleman yang kami bawa. Jebong atau ikan ayam yang enak turut sama menyelit.
Berhenti sejenak menarik ikan apabila kami menerima isyarat daripada tekong, masa untuk ‘orang’ pulak makan. Masakan Tekong Azahar memang ‘terangkat’.
Ya lah.. segar dari ladang katakan. Misi bottom diteruskan selepas makan malam di mana tambak terus mendominasi tangkapan.
Hari kedua kami memancing sambit bot berhanyut. Nampaknya anak-anak kerapu saiz hidangan pula mengambil bahagian.
Perambut dua mata sering menghasilkan double strike. Ikan merah dan ibu kerisi juga turut memenuhi carta tangkapan kami.
Suasana atas bot menjadi riuh-rendah apabila kami diterpa sekumpulan dorado@ belitung. Kelam-kabut kami melayan pancing masing-masing.
Aksi lompatan demi lompatan sang belitung disambut dengan sorak gembira. Berpesta belitung kami pagi tersebut.
Berbelas-belas ekor belitung sempat dilayan dengan set light casting yang ‘sengaja’ dibawa. Pemancing yang tidak standby, tengok saja lah..
BONUS TENGKUJUH
Seekor selar segar dicangkuk ke mata kail dan dilontar jauh oleh Borhan@Kilat. Sebaik sahaja mencecah air, umpan terus direntap ganas dan kekili berlagu nyaring.
Joran Expert Graphite yang baru dibeli dan ditukar cincinnya dipadankan dengan kekili Bossna 4000, melentur habis.
Tali 30lb sepanjang 200 meter nampaknya surut hanya beberapa saat. Pecutan awal yang penuh bertenaga tidak boleh berbuat apa-apa.
Satu lompatan akrobatik yang cantik menampakkan si pencuri umpan. Mersuji yang punya angkara. Apa lagi… bersorak lah kami satu bot. Kilat hanya dapat menahan joran 8 kaki yang melendut-lendut.
Lantas Tekong Azahar mengarahkan semua menaikkan pancing dan tekong segera mengejar ke arah ikan tersebut. Tiba-tiba ikan berpatah balik ke arah belakang.
Tekong membuat U-turn. Drama kejar mengejar masih berlangsung. 25 minit ‘berperang’ jari mula terasa kebas lantas Kilat menghulur joran kepada Jeff untuk meneruskan pertarungan.
Mersuji dalam anggaran 50kg selamat dinaikkan ke lantai bot setelah 5 orang melayannya secara bergilir-gilir. Terima kasih banyak kepada tekong yang bertindak pantas.
Kerjasama daripada pemancing lain juga adalah antara faktor yang membantu. Kalau buat ‘dono’ sahaja sudah pasti meletup tali atau terbarailah mesin.
Harapan untuk menatap wajah dan ‘memeluk’ mersuji tinggal harapan sahaja lah.
Keceriaan jelas terpancar di wajah geng D’Senu Anglers dan sudah tentu lah yang empunya lesen, si Kilat.
Menurut Azahar selama lebih 10 tahun dia menjadi tekong di sini, telah banyak kali mersuji membaham umpan pemancing tetapi tidak berjaya menaikkan ikan tersebut.
Setelah selesai sesi bergambar dengan mersuji berkenaan, bot dihalakan ke jeti Pulau Aur.
Kami mengambil peluang berehat di atas pulau setelah letih bertarung dengan ‘balak laut’ tadi,mandi,solat dan semestinya ngeteh. Ya lah..sudah dua hari tidak ‘pekena’ teh tarik.
SANGKUT PULAK
Sewaktu perjalanan balik , enjin bot mati secara tiba-tiba. Beberapa kali cubaan menghidupkan semula enjin gagal. Tiupan angin kencang menghanyutkan bot kami sehingga hampir 2 km . Menggelabah juga kami dibuatnya.
Akhirnya tekong terjun ke dalam air untuk memeriksa bahagian bawah bot pula. Rupa-rupanya kipas sudah terbelit tali hanyut.
Itulah sebabnya sebarang sampah atau apa sahaja yang tidak diperlukan lagi semestinya dibuang di tempat yang sepatutnya.
Jangan main campak sahaja sesuka hati. Kitalah yang sepatutnya menjaga kelestarian lautan kita. Betul tak bang..?
Dengan susah-payah tekong berjaya merungkai tali yang membelit kipas. Enjin dihidupkan dan bot meredah ombak menuju ke Jeti Mersing. Kami semua berpuas hati dengan trip ini.
Walaupun cuaca kurang elok dan alun yang membadai terutama pada sebelah malam angin monsun sering mengganas.
Disamping tangkapan bonus ikan mersuji, hasil ‘pecah tong’ yang dibawa balik pastinya dua bulan kami tidak perlu ke pasar mencari lauk.
Sekiranya anda berhasrat memancing dalam suasana santai dan damai tetapi dalam masa yang sama dapat tidak menang tangan menarik ikan, maka anda perlu menyenaraikan Kolam Pancing Harmony Klang dalam kamus memancing anda.
Melangkah masuk ke kolam pancing komersial air tawar berkeluasan satu ekar yang terletak di Rantau Panjang, Klang yang berlandskapkan kawasan kebun kelapa dan pokok buah-buahan, anda akan disajikan dengan sebuah kolam yang pada mata kasar seperti biasa-biasa sahaja.
Kolam berukuran 100 meter panjang dan 40 meter lebar, dengan kedalaman sekitar satu hingga tiga meter itu seperti tiada bezanya dengan kolam-kolam pancing lain. Namun di dalam tersebut tersembunyi lebih 10 tan ikan khususnya spesies patin yang sentiasa kelaparan.
Dengan saiz kolam yang tidak besar dan terdapat lebih 10 tan ikan yang sentiasa kelaparan itulah menjadi jaminan setiap pemancing yang mengambil pakej memancing RM 30 untuk tempoh lapan jam tidak akan kumpau atau gagal menarik walau seekor ikan.
“Kami tidak akan biarkan pemancing bangau (tak dapat tarik ikan) dan sedia memberi tunjuk ajar termasuklah menyediakan umpan supaya pemancing boleh pacak-pacak. Malah ada pemancing yang berjaya pacak sehingga 50 ekor dalam tempoh 8 jam. Pacak sampai lebam merupakan objektif utama Kolam Harmony Klang.” Ujar Zuvainy Saari yang merupakan pengurus kolam setelah kolam diambil alih pengurusannya oleh Kolam Pancing Harmony Puchong.
Zuvainy sendiri merupakan seorang pemancing kolam berkemahiran menyediakan umpan dan pernah memenangi pertandingan memancing berstatus mega. Justeru beliau amat memahami sifat pemakanan ikan-ikan di kolam seliaannya.
Memancing di Kolam Harmony Klang ini bukan sekadar untuk pacak-pacak sahaja. Dengan membayar yuran memancing para pemancing turut berpeluang memenangi ganjaran lebih RM1000 sekiranya tangkapan tersenarai pada papan ranking ikan terberat bulanan.
Malah pemancing turut berpeluang menerima bonus RM1000 sekiranya berjaya mendaratkan ikan patin dan karak (siamese carp) melebihi 13 kilogram. Soal berat ikan melebihi 13 kilogram bukanlah suatu yang mustahil kerana terdapat banyak ikan besar bersaiz hingga 16 kilogram.
Anda juga tidak perlu merangka masa tertentu untuk memancing kerana Kolam Harmony Klang beroperasi setiap hari. Kolam dibuka jam satu petang hingga tiga pagi dari Isnin hingga Khamis. Jumaat pula beroperasi dari jam tiga petang hingga tiga pagi.
Sabtu dan Ahad pula dibuka seawal sepuluh pagi hingga tiga pagi. Pihak kolam turut menyediakan sesi pertandingan pada setiap hari Isnin malam Selasa khusus buat pemancing yang meminati pancingan seumpamanya. Syarat-syarat atau peraturan memancing turut mesra pemancing.
Saya sering perhatikan mata kail dan apollo yang tidak digunakan selalunya disangkut di merata-rata tempat sama ada pagar kelong, tiang, dinding mahupun tempat duduk di kelong. Perbuatan kurang bertanggungjawab ini mampu mengundang kecederaan terutamanya jika ada kanak-kanak di atas kelong.
Sampah sarap pula dibiar bertaburan yang kemudiannya akan jatuh ke laut di tiup angin. Sampah ini akan hanyut ke pesisir pantai atau pintu muara dan mengotori pemandangan di sana. Walaupun pihak kelong ada menyediakan plastik sampah namun tidak ramai pemancing yang mahu menggunakannya.
Perairan Lukut sebagai contoh merupakan kawasan laluan dan cari makan bagi penyu dari spesies karah. Sekiranya bernasib baik, kita akan dapat melihat sang penyu berenang di sekitar kelong. Jadi plastik sampah yang dihanyutkan tadi mungkin boleh mengundang bahaya kepada spesies ini.
Plastik yang hanyut akan kelihatan seperti obor-obor, antara makanan utama penyu dan sekiranya termakan, sang penyu akan mati tercekik. Jadi sedar atau tidak kita menjadi penyumbang kepada pembunuhan penyu.
Tiga tahun mengejar ilmu, akhirnya aku lulus semua ujian ku. Bulan depan aku akan memiliki ijazah sarjana muda ekonomi perniagaan. Sementara itu aku cadang...