Kepaduan Pancingan Aya Sirip Kuning

Share

 

Ikan handalan ini mampu mengeluarkan tali pancing milik pemancing dengan mudah, memaksa joran aksi berat anda menerima tekanan berterusan, kemudian pemancing itu sendiri terpaksa minta bantuan, setelah tidak mampu lagi menangani berseorangan.

 

Para pemancing perlu ketahanan fizikal supaya dapat menyerap asakan solid ikan aya irip kuning ini. Malah ia diiktiraf sebagai salah seekor ikan gamefish paling popular buat kaki pancing. Sesetengah ikan ini boleh dikesan dengan kehadiran kumpulan ikan lumba-lumba dan juga burung camar.

 

 

Apabila berjumpa fenomena ikan lumba-lumba berebut makanan di permukaan air, burung camar menujah dari atas ke dalam air manakala pada masa yang sama juga ikan-ikan aya akan menyerang mangsa dari bawah.

 

Ketiga-tiga pemburu ini mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain mengekori pergerakan anak ikan terutama bilis. Mereka berkongsi habuan hasil tanpa permusuhan di kalangan spesies ini.

 

 

Teknik Dan Umpan

 

Teknik hanyut, menunda dan pertengahan air paling mujarab memburu ikan aya kuning sesuai dengan sifatnya berlegar di pertengahan dan permukaan air. Usah dihulurkan umpan anda hingga dasar yang dalam. Jika ditinjau di beberapa kawasan tumpuan dunia memancing aya sirip kuning, setiapnya mengamalkan teknik pancing yang berbeza.

 

Teknik tradisional masih diamalkan secara meluas bagi tujuan komersial. Cara moden pula melibatkan kos tinggi dan kebanyakannya dipelopori oleh pemancing profesional dan pemancing bangsawan sahaja.

 

 

Jika diperhatikan cara tempatan dengan nelayan Maldives pula, saya rasa cara Maldives lebih senang dan mudah. Tangsi tidak perlu panjang hanya 7 hingga 15 kaki berbanding nelayan kita mengunakan satu gelung tangsi sama.

 

Cara mereka memanggil ikan datang rapat ke permukaan dan merembat terus ikan ke permukaan manakala cara tempatan pula menunggu ikan sama ada pertengahan dan permukaan air serta melayan dengan berhati-hati ketika bertarung dengan ikan.

 

 

Aya sirip kuning adalah sejenis ikan memburu secara berkumpulan. Mangsanya terdiri dari ikan-ikan pelagik juga turut sama mendiami kawasan laut dalam. Selain itu spesies aya lebih kecil juga sebahagian dari dietnya. Yang lain termasuklah sotong dan krustasia tapi sotong lebih banyak terutama ketika musimnya.

 

Selain dari itu ia mudah ditipu dengan pergerakan bulu putih (bulu itik) itik dan jig. Setengahnya menyambar kedua-dua umpan tiruan ini ketika perebutan mendapat makanan berlaku.

 

 

Peralatan pancing

 

Apakah peralatan pancing paling sesuai untuk ikan berskala purata 2 meter panjang dan berat hampir 100 kg berat? Selain menggunakan koyan berskala tangsi 200 lb?

 

Berhadapan dengan pecutan tiba-tiba, henjutan seluruh joran dan tekanan sepanjang masa membuatkan rami terfikir, ‘buat apa susah-susah pancing ikan terlalu besar… dapat pun susah sangat nak naikkan. Baik cari yang table size lagi bagus buat lauk!”

 

 

Bayangkan, bila anda mengetat habis sistem tegangan kekili atau drag, tapi tangsi masih ditarik keluar! Ketika inilah sesetengah pemancing terfikir betapa kerdilnya mesin tersebut berbanding dengan kekuatan ikan aya sirip kuning. Kekuatan ikan aya sirip kuning ketika merembat mata pancing tidak lama, sebelum ia lemah.

 

Aya sirip kuning akan bergegas melarikan tali pancing sebaik sahaja menelan umpan. Ketika membuat sentapan balas, ia akan menujah ke kawasan lebih dalam, bertahan sehingga ia letih. Setelah Puas ia mengeluarkan tangsi pemancing barulah ia mengikut arah masuk tangsi pula, ketika ini ia mudah dipujuk rapat ke arah bot sebelum ditewaskan.

 

 

Peralatan tugas berat seperti Penn International 50 SW, Shimano Tiagra , Shimano 50 TLD maupun Alutechnos, Accurate BOSS adalah kelas utama untuk bermain dengan speises aya ini.

 

Peralatan ini perlu mampu menyimpan tangsi yang panjang kekuatan minimum 50 paun mono atau 100 paun tali sulam. Perambut disyorkan adalah jenis clear minimum 70 paun. Saya biasa mengunakan perambut Berkley Big Game Leader 60 paun, 100 paun dan 150 paun.

 

 

Mata kail pula haruslah dari 6/0 hingga 12/0 yang kuat serta tajam. Jika berhajat 50 kg ke atas pemilihan mata kail dan perambut perlu diteliti dengan tepat. Anehnya nelayan luar masih ada mengunakan mata berskala 1/0, tetapi ia mampu mendaratkan specimen hampir lebih dari 50 kg. Tiada mustahil jika ada keyakinan tapi letihlah sikit sambil melayan dan berharap agar mata kail tidak patah atau lurus!.

 

 

Selain itu tali pinggang (fighting belt) dan penahan perut sekali (hardness) perlu disediakan sebagai alatan sampingan. Ada masa kita perlukan ia apabila bot yang disewa terutama bot nelayan tidak dilengkapi peralatan sampingan ini.

 

Akhir sekali ketahanan mental, fizikal dan isi poket amat diperlukan memandangkan belanja untuk mendakap spesies ini bukanlah murah.

Published by
Amang