BATTLE OF GMK 2k19 adalah program yang dianjurkan oleh GENG MENEBING KLANG (GMK) di mana ia diuruskan oleh KELAB SAHABAT MENEBING (KSM) yang telah didaftarkan
beberapa bulan lalu sebagai tampuk kepimpinan atau pengurusan dalam melancarkan program rasmi mahupun tidak rasmi yang berkaitan hobi dan minat yang sama iaitu memancing.
Program ini juga ingin memperkenalkan KELAB SAHABAT MENEBING yang secara rasminya telah didaftarkan ROS dan menjadi pengurusan kepada GENG MENEBING KLANG (GMK).
Ads
Program ini adalah kali kedua dianjurkan berturut-turut bermula pada tahun lepas( 2018) dengan jumlah penyertaan seramai 110 orang di mana 10 pasukan termasuk peserta
pasukan wanita dari WOMEN ANGLER CLUB (WAC) yang ada di antara mereka datang dari Terengganu dan juga Perlis.
Program ini bertujuan mengeratkan hubungan sesama pemancing disamping dapat berkongsi ilmu dan minat yang sama.
Ads
Pengerusi Nelayan Telok Gong juga dijemput sebagai Tetamu Jemputan dalam penyampaian hadiah di mana ia memberi sokongan dalam penggunaan Jeti Telok Gong sebagai venue untuk melakukan program ini.
Program pada tahun ini yang telah berlangsung pada 8 Disember telah meningkat seramai 110 dari tahun yang lalu iaitu 70 orang. BATTLE OF GMK telah diadakan SEKITAR Rumah
Rakit Telok Gong, Klang. Ia adalah hasil inisiatif founder KSM & GMK sendiri iaitu saudara Harul Hisam Bin Mohd Kamal.
Ads
Aktiviti santai ini pada mulanya mendapat perhatian ramai pemancing tempatan mahupun luar. Untuk rekod 2018 penyertaan dari peserta Singapore telah mengikuti Battle Of Gmk 2018.
Selain pertandingan memancing, booths jualan baju, stiker dan juga keychain KSM/GMK juga diadakan. Antara kelong yang menyertai Battle tahun ini Kelong Purple In, Kelong Olan dan Kelong Atan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Untuk ke Hulu Tembeling, ada dua cara sama ada mudik melalui Kuala Tahan atau mudik dari Kuala Tembeling. Sekarang jalan berturap sedang rancak pembinaannya. Sedikit masa lagi perjalanan menjadi lebih lancar serta menjimatkan masa dengan menaiki kenderaan dari Kuala Tahan terus ke Kampung Mat Daling.
Bila sebut Hulu Tembeling atau Taman Negara, bagi pemancing khususnya peminat sungai pergunungan pasti terbayangkan kelah serta saudaranya kejor dan tengas. Tidak terkecuali sebarau dan abangnya badong serta ikan legenda di sini, temalian atau temoleh dan juga tapah monster. Terpahat niat di hati menunduk dan memangkunya di pinggir sungai sambil tersenyum bergambar. Akan tetapi trip kali berlainan pula agendanya.
Sekitar jam 11.00 pagi kami sampai ke Rumah Rakit Haji Nan yang terletak di kawasan yang dikenali sebagai Tempan. Rakan-rakan yang sampai satu jam lebih awal daripada saya kelihatan asyik melayan pancing masing-masing. Setelah berehat seketika, saya mengepal umpan dedak yang telah digaul kelapa sawit masam yang disediakan Haji Nan.
Patin lawang, kerai kunyit, jelawat, kelabau dan tengalan di antara spesies yang kebiasaannya dipancing sekitar rumah rakit ini. Mata bom yang dilengkapi gelung spring bersama beberapa bentuk mata kail digunakan agar dedak tidak mudah pecah dihakiskan arus. Bagi yang ingin mendapatkan udang galah, umpan anak udang dipertaruhkan.
Tengah syok melayan pancing, Haji Nan memanggil saya ke perahu untuk menahan tajur. Umpan anak keli yang dibawa, dimasukkan ke dalam baldi. Haji mengemudi bot manakala saya memasang umpan anak keli ke mata tajur. Tali tajur yang putus kerana mengena ikan yang besar diganti tali serta mata kail baru. Belida, patin, tapah, baung serta temoleh antara yang berkemungkinan besar terpedaya dengan umpan ikan hidup yang dipasang.
Hidangan ikan segar dari ‘ladang’ serta sayur kampung memang berpeluh dahi dibuatnya. Setakat dua pinggan selamba je!
“Jangan malu-malu. Tiga pinggan kalau di sini biasa…” kata Haji Nan apabila ada rakan yang ‘malu-malu kucing’ hendak menambah.
Setelah selesai makan tengah hari kami berehat seketika menghilangkan penat perjalanan. Sesi pancingan pada sebelah petang, Haji Nan menghantar kami menggunakan bot fiber untuk memancing di lubuk kegemarannya. Beberapa ekor ikan berjaya dipancing. Lewat petang, Haji menjemput kami pulang ke rumah rakit.
Belum pun sempat kaki melangkah ke lantai rumah rakit, rakan memberitahu seekor baung yang besar telah mengena tajur tapi sayang episod duka menjelma apabila tali putus setelah bergeser dengan tongkah kayu hanyut. Nasib kau lah baung. Kalau tidak gulai tempoyak pastinya.
Acara pancingan diteruskan pada sebelah malam. Sambil bersembang bersulamkan kopi ‘o’ panas, joran yang dikepit loceng di hujungnya setia menanti mangsa. Apabila mata mula terasa ‘kelat’, kekili dikarau dan perambut ditukar.
Sebiji sawit ranum yang secukup rasa masamnya dicangkuk ke mata kail dan dilepaskan ke dasar. Selepas membaca ayat kursyi dan mengucap, kepala direbahkan ke bantal. Sebelum mata dipejam masih sempat berharap agar ada penghuni Sungai Tembeling yang akan menggegarkan loceng tatkala sunyi dinihari. Kalau tidak kelah, patin buah pun jadilah!
Hari terakhir di sini kami masih lagi memancing pada sebelah pagi. Kami akan bertolak pulang lebih awal dari jadual asal (makan tengahari lebih awal) kerana ada tetamu dari sebuah jabatan kerajaan yang akan ‘datang makan’.
Bagi sesiapa yang ingin berkunjung bolehlah merancang satu trip bersama keluarga atau rakan pancing. Haji Nan yang menghubungi penulis memberitahu beberapa ekor patin buah berjaya dia perolehi.
Stok ikan sungai hidup yang disimpan di dalam sangkar di rumah rakit yang mencecah nilai ribuan ringgit menanti anda. Tanya selera, tepuk saja poket. Di samping melayan strike, sesekali menikmati hidangan ikan sungai di atas sungai, apa salahnya. Berpeluh dahi weh!
Perairan Sarawak sememangnya terkenal bagi kaki pancing laut dalam yang gemarkan beraksi dengan penghuni dasar yang agak ganas. Ekosistem yang masih terpelihara membuatkan lubuk Paloh menjadi pilihan.
Menggunakan khidmat bot MV Nemo, kami bergerak ke lubuk yang dijadualkan akan tiba 12 jam lagi. Perjalanan sejauh 114 batu nautika dari Kuching mengambil masa yang panjang menempuh ombak walaupun jika dihitung jaraknya lebih kurang 200 kilometer ke tengah lautan.
Umpan sotong dan ikan telah dibeli awal-awal lagi supaya kami tidak membuang masa mencari umpan. Penggunaan umpan tiruan seperti gewang, jig juga akan dipraktikkan sepanjang misi pemburuan. Kekili elektrik menjadi peralatan utama dalam trip ni selain pilihan menggunakan kekili spinning.
Mana tidaknya, kedalaman sekitar 100 meter memang memeritkan kalau semuanya dikayuh. Apatah lagi dengan arus yang agak laju, batu ladung bersaiz 18 hingga 24 terpaksa digunakan untuk mencari merah atau kerapu yang bersaiz mega.
Setibanya di lubuk pertama, tekong mengambil sedikit masa untuk memakir bot agar berada tepat di lubuk yang disasarkan.
Umpan sotong dihulur secepat mungkin kerana umpan yang mencecah dasar dahulu mempunyai peluang yang tinggi untuk memikat mangsa yang terkejut dengan makanan yang berada di sarangnya!
Memang benar telahan awal apabila hanya beberapa saat sahaja Alley menerima ragutan kasar yang cuba melarikan umpannya, sentapan kasar dibuat melawan asakan mangsa agar mata kail benar-benar tertancap kemas di mulut dan kukuh untuk didaratkan.
Sesekali mangsa mengenjut kekili namun teknologi yang telah dicipta berjaya menahan asakan mangsa secara lembut. Akhirnya spesies merah seberat 5 kg berjaya didaratkan ke dalam bot. Bertalu talu spesies merah dan spesies lain mengena umpan hingga sekeliling bot merasai tarikan dan asakan mangsa yang terjerat olah mata kail kami.
TENGGIRI MENGGILA!
Apabila waktu semakin senja, tekong bergerak ke lubuk yang terletak 2 jam perjalanan dari lubuk pertama tadi. Dengan kelajuan 10 knot dan suasana laut yang sedikit tenang melancarkan perjalanan ke lubuk tersebut.
Ilham yang berada di posisi belakang menggunakan kelebihan yang menggunakan teknik drifting atau lebih dikenali teknik melayang umpan. Dengan mencangkukkan umpan kembung disokong dengan perambut dawai 40 lb ia dilepaskan dalam jarak 20 hingga 30meter dari bot.
Mat yang duduk di bahagian tepi bot MV juga melayangkan umpan yang sama menggunakan belon agar kedudukan umpan berada sekitar kedalaman 7meter daripada permukaan.
Tanpa disangka kawanan tenggiri yang merapati bot juga tetarik dengan layangan umpan. Secara serentak joran Ilham dan Mat diasak dan gelendong kekili manual siri 6000 memuntahkan tali.
Bimbang dua ekor spesies pelagik ini memintal tali, Mat bertindak berganjak dari kedudukan asal berlari ke bahagian hadapan manakala Ilham masih bertahan di bahagian belakang mengawal lariannya.
Mangsa berjaya didaratkan dibalas dengan sorakan. Ilham berjaya mendaratkan tenggiri seberat 6 kilogram manakala Mat berjaya mendaratkan tenggiri seberat 5 kilogram.
Pa’an dan rakan-rakan yang lain menggunakan teknik jigging dan melontar sejauh mungkin di kawanan tenggiri. Berpeluh melontar jig bersaiz 180gram berulang kali akhirnya disambut juga spesies pelagik ini.
Dengan berbekalkan joran yang agak ringan, permainan tarik menarik sengaja dibiarkan berlarutan sehingga 15 minit. Mangsa yang agak kasar ini terpaksa digancu supaya dapat didaratkan dengan selamat ke atas dek bot MV.
Pertarungan melawan kawanan si gigi tajam ini berlanjutan sehingga jam 5pagi dan selepas itu ianya hilang dan senyap terus dari mengena mata kail.
Bulat julung kalinya pemancing-pemancing otai perairan Pelabuhan Klang, yang bernaung di bawah Royal Selangor Yacht Club (RSYC) dan Persatuan Pengail Selangor (PENGAIL) bergabung di bawah satu bumbung bot, memancing bersama tanpa bersaing antara satu sama lain.
Selama 4 hari 3 malam para komiti RSYC & PENGAIL serta jemputan dari Pure Fishing, berkomplot di atas boathouse Sri Gagau, menduga penghuni Tasik Kenyir secara santai.
Penulis yang diundang awal-awal lagi sudah berasa teruja untuk menyertai trip ini. Biarpun tarikhnya serentak dengan event lain, penulis tidak berubah fikiran untuk menyertai trip otai-otai ini. Bukan kerap nak dapat peluang memancing bersama , berkongsi pengalaman dan cerita, dan menimba ilmu memancing daripada pemancing berpengalaman seperti mereka ini.
Kesantaian grup ini terserlah apabila boathouse Sri Gagau mula bergerak keluar dari jeti Pengkalan Gawi, rupanya mereka belum putuskan ke mana destinasi yang hendak dituju. Mengetahui penulis sudah kerap ke Tasik Kenyir, pendapat penulis ditagih untuk sama-sama menentukan lubuk terbaik yang harus dituju.
Memandangkan grup ini tidak memohon permit memancing di taman negara, maka lubuk-lubuk bersempadanan dengan taman negara dicari. Perbincangan bersama tekong boathouse Sri Gagau akhirnya Sungai Lawit menjadi lubuk pilihan.
Selain aktiviti menjaring yang agak berleluasa kerana terletak di luar kawasan taman negara, Sungai Lawit tidaklah terlalu menghampakan. Biarpun di luar musim, paras air tasik yang masih tinggi, senario pancingan di Sungai Lawit hampir tidak banyak bezanya dengan Sungai Terenggan atau lubuk lain di dalam kawasan taman negara.
Banyak teluk, suak dan sistem sungai bagi kaki casting keluar memburu sebarau dan toman. Malah lokasinya juga tidak untuk ke Sungai Papan atau Sungai Lepar. Aktiviti pancingan di atas boathouse juga tidak begitu membosankan. Belida, baung dan lampam agak mudah dipancing.
Malah jauh lebih baik kalau dibandingkan dengan keadaan di taman negara. Dan agak seronok juga menyaksikan gelagat pemancing-pemancing otai laut dalam yang biasa menaikkan pari serta jenahak bagak-bagak ini bertungkus-lumus cuba menjinakkan lampam sungai.
Pelaburan selama 2 malam di Sungai Lawit agak memuaskan hati ahli-ahli grup. 2 ekor belida berskala 4 dan 7 kilogram berjaya dinaikkan dan selamat dijadikan sup bebola istimewa. Baung-baung bersaiz kasar juga banyak didaratkan. Cuma aktiviti mengilat sedikit mengecewakan. Begitu banyak port yang menarik tetapi tiada sambutan dari sebarau mahupun toman. Yang banyak meligan gewang hanya toman rempit atau sebarau remaja.
Hari ke-3, ahli-ahli grup sepakat sekata untuk mencuba nasib di Sungai Mentong pula. Pada hari yang sama juga satu pertandingan kecil di antara ahli grup diadakan. Namun pancingan di Sungai Mentong ini agak menghampakan. Selain daripada aksi 4 kumpulan toman remaja berkongsi satu teluk meligan gewang yang dilontar, selebihnya boleh dikatakan tiada aktiviti yang menarik. Biarpun banyak teluk dan suak yang berpotensi, namun kelibat sebarau mahupun siakap langsung tidak kelihatan.
Rumusannya, trip bersama otai-otai perairan Port Klang ini cukup menghiburkan. Semangat dan disiplin mereka yang seawal 6.30 pagi sudah siap untuk turun casting setiap pagi benar-benar mengagumkan. Mungkin faktor nasib dan masa saja yang tidak menyebelahi mereka. Yang pasti, penulis menaruh harapan mereka masih sudi untuk meneroka sungai-sungai di Tasik Kenyir lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...