Pertandingan mengilat atau casting spesies ikan berkepala ular (snakehead) yang berpusat di Tasik Kenyir, Kenyir Snakehead Battle kini semakin mendapat tempat di hati pengilat tanah air dan juga luar negara. Pertandingan mengilat yang dianjurkan secara dwi tahunan atau dua kali setahun ini kini turut disertai oleh pemancing dari negara Thailand dan Singapura.

wakil peserta dari Singapura

Hujung minggu lalu, pada tanggal 19 dan 20 Ogos, berpusat di Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir seramai 150 orang peserta mengambil bahagian dan masing-masing telah mempamerkan semangat juang yang tinggi. Dalam pertandingan mengilat dengan menggunakan bot gentian kaca ini hampir 50 ekor toman berjaya ditewaskan dan 35 ekor layak untuk dipertandingkan.

kelisa yang menyambar gewang khusus untuk toman

Ketika para peserta sibuk mencari lubuk dan menduga spesies snakehead ini, seorang peserta dari Pahang membuat kejutan dengan tangkapan seekor ikan kelisa dengan anggaran 4 kg yang menyambar gewang besar yang dikhaskan untuk toman. Saiz spesimen tersebut boleh dikatakan amat sukar untuk ditemui ketika ini di Tasik Kenyir.

toman yang menobatkan pemancingnya sebagai juara

Dalam pertandingan anjuran MHMH Sport Fishing ini, Shahrim dari pasukan atau kumpulan KLUQKLEQ CREW muncul sebagai juara apabila mengungguli carta dengan tangkapan seekor ikan toman seberat 6.22 kilogram. Manakala pemenang di tangga kedua dan ketiga pula didominasi oleh ahli kumpulan KB ANGLERS & AQUATIC-ID WORLD.

pemenang bagi kategori tangkapan terpantas

Sementara bagi kategori tangkapan toman terbanyak pula dimenangi oleh pasukan LOKOH setelah berjaya mendaratkan lima ekor ikan toman, dan pemenang di tempat kedua pula menjadi milik pasukan SYSIK HUNTER dengan jumlah tangkapan sebanyak empat ekor toman. Dan kategori tangkapan terpantas pula dimenangi oleh peserta daripada kumpulan JERTEH CASTER CREW, Kamal berjaya mendaratkan seekor ikan dibawa ke rumah bot urus setia pada jam 9.25 pagi, hari pertama pertandingan.

Kumpulan LOKOH yang menjuarai kategori tangkapan terbanyak

Pihak penganjur sangat berbesar hati dengan kejayaan pertandingan ini dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat. Terutamanya kepada pihak-pihak penaja yang menyumbangkan pelbagai hadiah bagi memeriahkan lagi Kenyir Snakehead Battle edisi kelima ini. Sekiranya tiada halangan, pertandingan atau battle seterusnya akan dilangsungkan pada bulan Februari 2018.

Pemenang di tangga kedua tangkapan terberat

Carta kejuaraan Kenyir Snakehead Battle V

1. Shahrim (KLUQKLEQ CREW) – 6.22 kg.

2. Arifuddin Ramlee (KB ANGLERS & AQUATIC-ID World) – 4.72 kg.

3. M. Faiz Izudin (KB ANGLERS & AQUATIC-ID World) –  4.57 kg.

4. M. Rosmizan (KNF LIPAK) –  4.26 kg.

5. Faiz KB ANGLERS & AQUATIC-ID World –  4.18 kg

6. M. Yasir (AYAMBA) –  4.10kg

7. Mohd Hawari (LOKOH) –  3.98 kg.