Kenduri Mak Janda (Mangrove Jack)!!

Share

Mangrove Jack (MJ) atau lebih dikenali ikan siakap merah atau kakap merah turut dipanggil dengan gelaran mak janda (MJ), merupakan antara ikan sasaran setiap kali kami turun memancing ke laut dalam.

 

 

Ikan yang bersifat pemalu tetapi sangat agresif meragut umpan dan daya lawannya yang hebat sering menjadi buruan dan trofi kaki pancing yang berlabuh di pelantar minyak atau gas pada waktu malam. Ikan ini sangat sukar dijerat dan jarang dapat dipancing kerana tabiatnya yang suka menghuni kawasan tiang yang dipenuhi teritip dasar pelantar.

Kejadian ini berlaku sekitar jam 1.00 pagi setelah penat berjigging. Empat orang daripada kami berehat di luar kabin sambil baring-baring. Salah seorang awak-awak bot memasang set pancingan dasar (set kekili elektrik) dengan menggunakan perambut tanduk berumpankan ikan seekor, dilabuhkan ke dasar kemudian diangkat dua hingga tiga depa dari dasar agar umpan tergantung.

 

Beliau kemudian meninggalkan rod berikat dan menyambung semula kerja menguruskan ikan hasil jigging untuk disimpan dan membasuh lantai bot penuh lendir ikan.

Sejurus kemudian secara tiba-tiba joran pancingan dasar tersebut melentur. Loceng yang dipasang pada hujung berkerincing seperti direntap ikan bersaiz kasar. Terkejut kami satu bot dibuatnya. Pertarungan agak sengit dan akhirnya mangsa pun timbul di permukaan air.

“Mak janda dah ada kat bawah ni!” Awak-awak bot menjerit.

Kami yang tengah tidur-tidur ayam terus bangkit dan tanpa membuang masa terus melompat ke spot masing-masing dan setting peralatan pancingan dasar. Dua belah kiri dan dua belah kanan bot.

 

Tidak sampai satu jam satu persatu joran kami direntap penghuni dasar dan bermulalah kisah kenduri mak janda. 12 ekor mak janda berjaya didaratkan. Jangka masa situasi kenduri ini berlaku lebih kurang dua hingga tiga jam sahaja. Kemudian suasana kembali menjadi sunyi sepi sehinggalah terbit fajar.

Menurut tekong bot, Azlan Salleh atau lebih dikenali sebagai Pok Lan, kebiasaannya pada satu-satu trip pemancing hanya mampu mendaratkan ikan kakap merah ini dalam satu hingga ekor sahaja. Tetapi kali ini group kami bertuah kerana berjaya mendaratkan berbelas ekor mak janda bersaiz kasar.

 

Andai kata tiada kejadian rabut, putus atau terlucut mungkin lebih lagi dapat diangkut keluar dari lubuk mak janda tersebut.

Published by
Amang