Kenapa Tak Boleh Bising-Bising Ketika Mancing?

Share

 

Kalau nak diikutkan, persoalan itu agak sukar dijawab sebenarnya. Kalau hendak dirungkai dengan fakta dan bukti saintifik sekalipun sukar untuk membuktikannya. Lihat sajalah suasana sewaktu pertandingan memancing yang cukup hingar-bingar namun pemancing masih mampu mendapatkan hasil tangkapan.

 

Namun, pasti ada juga yang kurang bersetuju dengan penulis. Iyelah, ada di sesetengah kawasan dikatakan faktor bising boleh mengakibatkan ikan jadi culas dan takkan berani menjamah umpan. Di kawasan kelong misalnya.

 

 

Ikan dikatakan banyak bermain di tiang-tiang kelong dan jika suasana terlalu bising dikhuatiri ia akan menakutkan ikan dan sekali gus membuatkan potensi untuk anda ‘membangau’ seharian akan menjadi lebih cerah.

 

Tapi, sekali lagi, perkara ini tidak dapat dibuktikan dengan jelas. Ada kalanya, masih ada lagi pemancing yang mampu mendaratkan ikan biarpun memancing dalam suasana riuh rendah.

 

Iyelah, bila dah berkumpul dengan rakan-rakan sehobi pastinya mulut tu takkan duduk diam untuk membahan rakan-rakan yang lain. Ada je yang nak di’bahan’kan sambil dikelilingi gelak tawa.

 

 

Namun, memancing masih lagi mendapat hasil yang memuaskan. Jadi agak sukar juga untuk membuktikan teori bunyi bising menakutkan ikan dan sewaktu dengannya.

 

Walau bagaimanapun untuk memburu spesies sungai pergunungan seperti kelah memang penulis akui yang ia perlukan suasana yang sunyi dan terhindar daripada bunyi bising. Ini kerana spesies seperti ini amat sensitif dengan bunyi dan pergerakan. Tak hairanlah ada yang sampai kena menyorok di balik pokok kalau nak memancing si raja sungai ni.

 

 

Apa kata netizen:

 

“Ikan tiada telinga tetapi amat sensitive dengan getaran yang bukan normal. Sebab tu ada yang ikan makan walaupun bunyi bot lalu lalang sebab dah biasa atau lali dengar persekitaran yang hingar. Ada juga ikan yang tidak jamah umpan dan pergi jauh dari persekitaran yang bising. Kebanyakan ikan tersebut dari jenis ikan bermisai yang menggunakannya sebagai sonar.”

– BALUNGER STRESSMADDES

 

 

“Pengalaman aku, bukan saja buat bising, kalau kawan-kawan lain teruja sangat tengok ikan dan buat bunyi. “Fuyoo… fuyoo… apu…. apu…. “ gerenti 100% ikan tak akan makan lagi kat tempat tu. Dah melanggar pantang. Satu perkara lagi, kalau benda keras jatuh atas perahu/bot ikan sangat sensitif sebab bunyi dentuman tu terus turun ke dasar sungai. Itu pengalaman saya. Jaga mulut dan jaga tingkah laku / gerak geri atas perahu / bot.”

– SUNGAI PAOH ANGLER’S MAN

 

 

“Simple je, tali pancing tu, mcm kita main telefon tin masa kecik-kecik dulu. Getaran suara kita boleh sampai ke bawah melalui tali tu. Untuk ikan laut takpe sebab air laut dia beralun dan masin. Bila masin air dia pekat sikit so getaran suara tak sampai terlalu bawah. Tapi kalau ikan air tawar memang sensitif sebab air tawar ni kurang beralun getaran suara kita melalui tali tu boleh sampai bawah dekat dengan umpan. So, ikan susah nak makan.”

– HAZ LONCOI

 

 

“Bising aje lah. Fokus memancing hanya bergantung pada individu, senyap tapi berangan pun tiada  gunanya. Teknik tanpa keyakinan jua sia-sia. Ikan dan manusia berada pada dua alam yang berbeza. Sang ikan hanya hidup utk makan dan membiak. Pada dasarnya memancing adalah aktiviti buat manusia yang ingin mencari ketenangan dan kegembiraan. Bukan untuk menambah tekanan. Tiada gunanya jika hasil yang melimpah ruah namun tiada kegembiraan dalam diri sendiri atau pun rakan yang lain. Bergembira dan riang ria lah ketika memancing kerana hati yang girang adalah pembukaan pintu rezeki. Amin.”

– INDRA IRWAN ISMAIL

 

 

“Buat masa ni teori ikan makan kalau pemancing senyap tak benar raso ehhh bagi den. Alhamdulillah, den selalu bergaduh bertekak ateh bot untuk merancakkan suasana memancing. Waktu tu la strike selalu berlaku. Jadi buat kengkawan yang pergi memancing dengan den mental jangan kuyak ye… kakakakakaka. Jigging sambil berdangdut baru la namo ehhh memancing… haha.”

– HARY ARIS

Published by
Amang