Setiap pemancing mempunyai waktu tersendiri untuk melangsungkan aktiviti memancing. Ada yang lebih suka memancing pada waktu siang dan ada juga yang lebih selesa memancing pada waktu malam. Jika ditanya pada admin, admin suka kedua-duanya sekali. Asalkan memancing sudah kira seronok. Tapi kalau diminta buat pilihan, sudah tentu admin akan memilih waktu malam. Berikut merupakan sebab-sebabnya…
Boleh dapat ikan besar bas
Walaupun tiada bukti-bukti saintifik yang menyokong kenyataan ini, namun ramai pemancing berpengalaman mengakui kebanyakan ikan lebih aktif mencari makan pada waktu malam. Terutamanya ikan spesies nokturnal.
Hal ini mungkin terjadi akibat fenomena pasang surut dan fasa-fasa bulan yang menjadikan ikan lebih aktif dan giat mencari makan di waktu malam berbanding siang hari.
Ada juga yang berpendapat ikan menjadi lebih aktif kerana suhu air yang mulai sejuk di waktu malam. Dan ikan-ikan bersaiz monster lazimnya keluar sarang pada waktu malam.
Tak banyak saingan pemancing
Hal ini memang harus diakui kerana tidak ramai kaki pancing yang gemar berembun dan menahan kesejukan pada malam hari semata-mata untuk memancing. Jadi, saingan anda semakin kurang terutamanya jika memancing di kawasan yang popular di kalangan kaki pancing. Justeru, potensi anda untuk mendapat hasil yang lumayan juga lebih tinggi.
Cabaran Yang Lebih
Bagi yang gemarkan cabaran, memancing di waktu malam mesti menjadi pilihan mereka. Faktor cahaya yang terhad dan faktor-faktor lain akan menjadikan aktiviti memancing di malam hari lebih mencabar. Walau bagaimanapun, sebagai pemancing anda haruslah sentiasa mengutamakan aspek keselamatan walau di mana jua anda berada walaupun anda gemarkan cabaran memancing pada malam hari.
Selamat dari kehitaman
Umum mengetahui memancing di siang hari akan mendedahkan kaki pancing kepada ‘sunburn’ terutama jika tidak menggunakan pelindung muka dan tangan. Dengan memancing di malam hari pula, potensi-potensi untuk ‘sunburn’ akan hilang sama sekali dan anda boleh memancing dengan tenang tanpa merisaukan kulit anda terbakar dek panahan matahari.
Panoroma yang lebih indah
Bukan senang nak melihat sendiri sotong berenang-renang di tepi bot dek limpahan cahaya lampu dan bukan juga senang nak menyaksikan kelip-kelip bila anda memancing di kawasan hutan dan paya bakau. Semua ni dapat dilihat bila anda memancing di waktu malam. Jadi, kesempatan yang ada itu, anda hargailah dengan menyaksikan keindahan alam ciptaan tuhan.
Terasa lebih bebas
Inilah kelebihan sebenar pagi penggemar aktiviti memancing waktu malam. Perasaan ini sukar untuk dihuraikan. Ramai yang inginkan kebebasan ini tetapi gagal memperolehnya berikutan larangan dari keluarga (isteri) dan terlalu takut terserempak dengan hantu atau sebagainya.
Selain itu, anda akan berasa bebas dari memikirkan soal kerja kerana majikan tidak akan mencari atau mempersoalkan kenapa anda berada di padang pancing, bukannya di pejabat.