Kenapa kita sebagai pemancing perlu mengetahui jantina ikan kelah? Saya percaya ramai sudah tahu tetapi mungkin ada pemancing yang belum mengetahui bahawa ikan kelah merupakan spesies tempatan yang terancam pupus.
Walaupun ia masih boleh dipancing, sebagai pemancing yang berhemah, adalah baiknya jika kita melepaskan kembali apabila terpancing induk ikan kelah yang dipercayai sedang membawa telur.
Kami sering menerima soalan dari pencinta ikan kelah tentang bagaimana untuk mengenali jantina ikan kelah. Jadi di sini berdasarkan beberapa kajian dari pakar dan pengkaji kelah, berikut kami sertakan sekali gambar bagaimana untuk mengenal pasti jantina kelah:
Sirip anal
Ikan kelah jantan biasanya mempunyai sirip anal (dubur) yang agak tajam dan memanjang. Manakala ikan kelah betina pula mempunyai sirip belakang yang agak membulat dan pendek.
Operkulum (pipi penutup insang)
Pipi kelah jantan jika kita sapu dengan tangan, ianya agak kasar berbanding kelah betina. Ia hanya ketara untuk ikan kelah yang telah mencecah 5kg ke atas.
Cecair pembiakan
Cecair likat putih akan keluar melalui papilla bahagian bawah perut ikan jantan (berdekatan sirip anal tadi). Biasanya tempoh matang kelah jantan untuk mula mengawan ialah 2 tahun. Bagi kelah betina pula bahagian papilla agak kemerahan.
Status taburan
Kelah betina ini agak susah diperolehi berbanding kelah jantan. Tempoh matangnya untuk mula mengeluarkan telur biasanya setelah berusia 3 tahun. Berdasarkan kajian yang dibuat, untuk kelah seberat 2 kg hanya mampu menghasilkan anak benih kelah 6,000 – 8,000 ekor sahaja.