Apa yang kita ada pada hari ini, amatlah wajar kita hargai dan pastikan ia terus kekal untuk tatapan generasi akan datang. Janganlah kerana kerakusan kita memancing hingga habis limit, anak cucu kita tidak lagi kenal rupa bentuk ikan yang ada di perairan kita.
Adalah sesuatu yang amat malang, jika suatu hari nanti, seluruh perairan kita dipenuhi ikan pendatang, lantaran kepupusan ikan asal dek kerana kerakusan kaki pancing yang tidak beretika!
Ancaman ikan pendatang
Beberapa tahun yang kebelakangan ini, kita telah dapati banyak spesies pendatang yang telah memasuki perairan kita. Kebanyakannya adalah berasal dari aktiviti akuarium atau akuakultur.
Belum ada kajian yang cukup lengkap tentang kesan negatif dari kehadiran spesies-spesies ini, tetapi pada mata kasar pemancing-pemancing dan juga hasil kajian di negara lain, spesies pendatang memang telah menjejaskan habitat dan tumbesaran spesies asli kita.
Ada spesies pendatang yang membiak dengan amat pantas, memakan telur spesies ikan Malaysia dan juga merosakkan habitat air. Kesannya, ada ikan tempatan yang terbantut saiznya dan semakin berkurangan.
Kita tidak boleh menunggu hingga kajian lengkap dibuat mengenai isu ini. Kita perlu bertindak sekarang juga. Jika anda terpancing spesies pendatang di perairan yang semulajadi (tasik, sungai dan sebagainya), JANGAN LEPASKAN ia balik ke air. Makanlah atau sedekahkan kepada sesiapa saja yang memerlukannya sebagai makanan.
Amat menyedihkan hari ini apabila melihat ada segelintir pemancing yang pemancing yang begitu megah mengamalkan konsep tangkap & lepas spesies pendatang tetapi pada masa yang sama mempraktikkan tangkap & tapau spesies tempatan.
Antara spesies ikan pendatang
Semua ikan jenis Cichlid: Flower horn, peacock bass, jaguar cichlid, semua jenis tilapia.
Ikan-ikan Kap: Kap rumput, leekoh, kap kepala besar, kap putih, rohu, katla
Ikan Keli: Keli Afrika, keli Rusia, baung ekor merah
Lain-lain spesies: Pacu, lampam jawa, ikan bandaraya, ikan buaya, patin Chaophraya