Umpan digetu atau digeregut hingga habis pada mata kail oleh spesies yang tidak diketahui adalah perkara lumrah bagi pancingan muara. Kadangkala spesies pengacau umpan ini terperangkap juga pada mata dan mendedahkan identitinya. Berikut merupakan spesies pengacau umpan yang cukup merimaskan para pemancing.
Sesirat
Semua pemancing pasti bersetuju sesirat merupakan pengacau umpan nombor satu pancingan muara. Jika setakat mengutis umpan sehingga licin sekalipun tidak mengapa. Apa yang menjadi kemarahan pemancing apabila ia menelan mati kail dan bergumpal bersama perambut dan tali utama.
Untuk menghapuskan lendirnya yang berbau dan menyebabkan ikan lain menjauh, terpaksalah dikorbankan mata kail, perambut dan tali utama tersebut.
Buntal
Menduduki carta di tempat kedua ialah ikan buntal. Perangai buntal lebih kurang sesirat juga. Malah ia lebih ditakuti berbanding benci kepada sesirat. Buntal bukan saja kerap menggigit tali utama dan perambut, ia juga suspek pembunuh kepada umpan hidup terutamanya udang hidup.
Dengan harga udang hidup yang semakin mahal, ia tentu menyakitkan hati pemancing jika lubuk dipenuhi si buntal.
Kitang
Ikan yang bergerak secara berkumpulan ini dianggap sebagai spesies pengacau umpan, khusus bagi pemancing yang tidak menjadikannya sebagai ikan sasaran. Ia sememangnya gemar mengetis umpan dengan mulutnya yang kecil. Jika menggunakan mata kail yang besar maka ia selamat dari tercangkuk. Oleh yang demikian jika anda teringin untuk memancingnya juga maka gunalah mata kail yang lebih kecil.
Anak ikan
Apa saja jenis ikan termasuklah ikan-ikan kecil seperti seriding merupakan pengacau umpan yang paling banyak menghabiskan umpan. Terutamanya umpan dari jenis hirisan ikan. Bagi mengelak serangan anak atau ikan-ikan kecil, sebaiknya gunalah umpan yang agak liat seperti jejari sotong kurita. Walau dikutis ia masih mampu bertahan sehingga disambar spesies sasaran.
Belukang
Merupakan ikan yang banyak berkeliaran di kawasan muara yang berselut dan berlumpur. Secara fizikalnya mempunyai mulut yang besar dan badan yang berbelang. Tabiat makan yang tidak memilih, semua umpan ikan ni sebat. Kadang-kadang telan umpan sehingga ke insang.
Jika bersaiz kasar mungkin ada yang ingin membawa pulang dan memberikan sedikit hiburan ketika tercangkuk umpan. Tetapi jika asyik yang bersaiz dua jari yang membaham umpan, memang menjengkelkan!
Gedema
Seperti belukang, species ini tidak mempedulikan umpan apa yang digunakan. Semua yang melekat kat mata kail akan disapu. Kalau dah ambil umpan ia biasanya akan menelan mata kail hingga ke dalam perut. Kalau dah telan, amat susah untuk mengeluarkan mata dan kadang kala pemancing terpaksa mengeluarkan perambut dan digantikan dengan mata dan perambut yang baru. Jangan tertipu dengan rupa parasnya yang seakan kerapu itu.