Kenali Spesies Tuna Tonggol

Share

 

Taksonomi :

Kingdom: Animalia

Phylum: Chordata

Class: Actinopterygii

Order: Perciformes

Famili: Scombridae

Genus: Thunnus

Species: T. tonggol

Binomial name: Thunnus tonggol

 

 

Spesies yang dikenali dengan nama umum longtail tuna dan membawa nama binomial Thunnus tonggol. Ikan aya hitam atau juga dipanggil tongkol hitam, merupakan spesies kedua terkecil di dalam genus Thunnus atau keluarga tuna sebenar (true tuna). Merujuk kepada nama saintifiknya ini secara tidak langsung ia memberi satu pencerahan bagaimana nama tongkol itu berasal.

 

 

Ikan aya hitam sememangnya ikan yang unik. Di dalam genus agung tuna itu sendiri, ikan aya hitam dianggap unik di kalangan `tuna sebenar’ kerana ia satu-satunya spesies yang tidak mempunyai pundi renang (swim bladder – organ yang dipenuhi udara yang membantu ikan untuk mengekalkan keapungan).

 

Sebagai mana keluarga tuna yang lain, ikan aya hitam turut memiliki ekor bercabang, badan langsing umpama torpedo berwarna putih keperakan, dengan bintik-bintik lekuk yang melengkung diatur dalam baris mendatar sepanjang panjangnya.

 

 

Kedua-dua sirip dorsal di bahagian belakang berwarna hitam, dan sirip dorsal kedua berwarna kuning. Sirip anal adalah keperakan dengan calit warna kuning. Sirip pektoral dan pelvik berwarna hitam, dan sirip ekor berwarna hitam dengan garis-garis kuning-hijau.

 

Biologi

 

Longtail tuna juga merupakan pemangsa yang luar biasa. Ia mampu menghadap makanan setara dengan dua peratus berat badannya setiap hari. Ia menjadikan pelbagai jenis ikan, krustasea dan cephalopod sebagai sumber makanannya.

 

 

Aya hitam termasuk dalam spesies tuna (Thunnus spp.) yang boleh dibezakan dari ikan bertulang belakang yang lain dengan kadar metabolik yang tinggi, dan unik di kalangan ikan yang dapat mengekalkan suhu tubuh mereka beberapa darjah lebih tinggi daripada air sekitar. Ia merupakan spesies yang sangat kuat, tangkas dan mampu meletupkan kelajuan yang luar biasa.

 

Walau bagaimanapun, disebalik keaktifan luar biasa ini ia perlu memastikan dan mendapatkan oksigen yang mencukupi diberikan kepada otot.

 

 

Atas sebab itu juga ia perlu berenang dengan mantap untuk jarak yang luar biasa untuk memastikan pertukaran gas yang mencukupi di insang (di mana oksigen dari air disalurkan melalui insang dan diserap ke dalam darah).

 

Ikan aya hitam membiak pada musim panas, dengan tempoh mengawan yang agak panjang selama lima hingga tujuh bulan. Atau dalam erti kata lain, ia membiak hampir sepanjang tahun.

 

 

Tongkol atau aya hitam bertaburan di lautan terutamanya di Lautan Pasifik Indo-Barat, termasuk Laut Merah, di sekitar Semenanjung Arab, di luar pantai Afrika Timur merentasi ke pantai New Guinea, utara ke perairan sekitar Jepun, dan selatan ke pantai Australia dan Asia Tenggara.

 

Ikan aya hitam adalah spesies pesisir pantai, sering dikaitkan dengan perairan kontinental yang sederhana dan tropika, di mana ia sentiasa berlegar dekat dengan permukaan. Spesies yang turut mendapat nama jolokan Indian long-tailed tuna dan oriental bonito ini mampu membesar panjang sehingga 136 cm dengan berat sehingga 36 kg.

 

Published by
Amang