Ikan sepat Siam (trichogaster pectoralis) merupakan sejenis ikan air tawar dari keluarga Osphronomidae yang terdapat di negara kita dan beberapa negara tropika lain di seluruh dunia. Ikan ini merupakan ikan darat paling popular dijadikan hidangan bagi masyarakat di negara seperti Thailand, Kemboja, Myanmar, Indonesia dan termasuklah juga Malaysia.
Ada kalanya ketika berjalan menyusuri pinggir tali air, paya atau lombong tinggal yang dipenuhi pokok kiambang, kangkung air, terlihat kudap ikan di permukaan air begitu rancak. Setelah diteliti, kudap berkenaan berkenaan milik ikan sepat. Bagi yang pernah merasai keenakan ikan ini sama ada goreng atau pekasam mesti akan terangsang untuk mendapatkannya.
Ikan sepat Siam sebenarnya boleh dipancing. Mereka yang tidak tahu mengandaikan dengan cara menjala, menahan lukah atau bubu, memasang pukat atau menimba air di lopak yang mana ikan ini berada dan mengutipnya dan bukannya dengan cara memancing.
Bagaimana mahu memancingnya? Perkara berikut di bawah amat mustahak disediakan terlebih dahulu jika anda ingin memancing ikan ini.
Ads
Set Pancing
Untuk memancing sepat Siam, joran teleskopik (pole rod) 9-15 kaki diperlukan. Lebih panjang joran teleskopik lebih bagus. Ini kerana ada kalanya kumpulan ikan sepat Siam akan timbul jauh daripada kedudukan yang anda boleh capai.
Ads
Set Mata Kail
Untuk keberkesanan memancing sepat, tidak semua mata kail bersaiz kecil sesuai untuk digunakan. Mata kail udang galah juga bukanlah mata kail terbaik untuk memancing sepat Siam yang bermulut kecil. Sebaiknya pilihlah mata kail berteras halus, kecil, ringan tetapi tajam dan kukuh.
Tali Pancing
Ads
Tali utama boleh gunakan tali sulam 2-6 lb atau boleh juga tali tangsi 4-6 lb yang berdiameter kecil. Namun penggunaan tali sulam adalah lebih bagus.
Umpan Sesuai
Terdapat beberapa jenis umpan yang boleh digunakan seperti cacing merah atau cacing pokok pisang (halus) dan lumut. Boleh juga menggunakan dedak yang dibancuh liat dan digentel pada mata kail. Dedak ayam bertujuan untuk menarik kawanan ikan sepat agak berkumpul di suatu tempat untuk dipancing. Caranya taburkan dahulu dedak di kawasan ikan sepat berkumpul.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Game fish atau ikan sukan sememangnya menjadi antara ikan buruan utama kaki pancing. Ia menjadi lebih menarik lagi bila ikan-ikan game fish ini mampu melakukan lompatan akrobatik ke udara. Pada masa itu, derauan adrenalin pasti memuncak dan mampu memberikan kepuasan yang tidak terhingga buat kaki pancing.
Kurau (King Threadfin / Polydactylus macrochir)
Ikan kurau banyak menjadikan kawasan berlumpur dan berstruktur seperti kelong dan pantai berbatu sebagai habitat utamanya. Selain terkenal sebagai antara ikan gred A di Malaysia, ikan kurau juga tergolong sebagai salah satu game fish kerana kelicikannya melarikan umpan dan juga sekali sekala mampu memberikan lompatan bertenaga untuk memuntahkan mata kail. Rekod IGFA pernah menunjukkan spesimen kurau terberat ialah 27.5 lb yang ditewaskan di Northwestern Australia pada tahun 1966.
** Level Lompatan Akrobatik: 12.2/20
Siakap ( Barramundi / Lates calcarifer)
Terkenal sebagai salah satu spesies buruan yang dikatakan mampu memberikan tentangan sengit ketika bertarung dengan aksi akrobatik yang menarik di udara. Siakap juga dikenali sebagai spesies predator yang gemar menyerang hendap pemangsa yang lalu di hadapannya. Ia biasanya bersembunyi di celah-calah reba dan juga batu untuk menghendap dan memburu mangsa. 96 lb 6 oz merupakan spesimen siakap yang terberat pernah direkodkan. Ia didaratkan di Monduran Lake pada tahun 2010.
** Level Lompatan Akrobatik: 12.4/20
Bandang (Ladyfish / Elops saurus)
Seperti siakap, bandang juga menjadi spesies buruan kaki pancing kerana spesies ini dikatakan mempunyai kelajuan yang luar biasa dan mampu memuntahkan mata kail dengan mudah ketika melakukan lompatan akrobatik di udara.
Ikan bandang biasanya menjadikan kawasan pesisir pantai, kawasan berstruktur seperti jeti, pelantar dan juga muara sungai sebagai habitat utamanya. Menurut fishing-florida.com, ikan bandang turut diangkat sebagai “one of the best fighting inshore fish that swims”.
Kini ramai yang gemar memburu bandang denga set ultralight kerana ‘karen’nya dikatakan lebih hebat dengan menggunakan set ringan. Rekod terbesar bandang yang pernah didaratkan di Florida ialah 4 lb 10 oz.
** Level Lompatan Akrobatik: 13.4/20
Talang (Queenfish / Scomberoides commersonianus)
Talang atau nama biasanya queenfish merupakan spesies yang tergolong dalam keluarga jack / trevally. Spesies ini paling syok kalau dilayan menggunakan set ringan. Di Malaysia, ramai yang gemar memburu talang menggunakan set light jigging kerana ia gemar memburu pemangsa di pertengahan air. Rekod dunia menunjukkan spesimen talang terberat pernah didaratkan ialah pada tahun 2010 iaitu seberat 39 lb di Afrika Selatan.
** Level Lompatan Akrobatik: 13.7/20
Belitong (Mahi-Mahi / Coryphaena hippurus)
Belitung atau turut dikenali sebagai dorado / mahi-mahi sememangnya layak dikategorikan sebagai antara game fish buruan kaki pancing. Dengan corak warna yang cantik pada badannya dan larian serta lompatannya yang bertenaga, ikan Belitung sentiasa dianggap sebagai “perfect game fish” di kawasan laut lepas. Rekod dunia ikan Belitung terberat pernah direkodkan ialah 87 lb yang didaratkan di Papagallo, Costa Rica pada tahun 1976.
** Level Lompatan Akrobatik: 17.5/20
Marlin Hitam (Black Marlin / Istiompax indica)
Ikan marlin hitam yang terkenal dengan daya juangnya yang tinggi memang layak diangkat sebagai “ocean ultimate trophies” di dunia. Bilangannya kini semakin berkurangan. Ikan ini layak dinobatkan sebagai antara ikan dengan lompatan yang mengagumkan di lautan. Rekod dunia menyaksikan ikan marlin hitam terberat pernah ditewaskan oleh pemancing ialah seberat 1560 lb di Cabo Blanco, Peru pada tahun 1953.
Disebut sahaja nama layaran pasti ramai yang membayangkan Rompin, Pahang sebagai lokasi utama buruan spesies ini. Tidak hairanlah nama Rompin turut diangkat sebagai salah satu kawasan pancingan terbaik bagi memburu layaran di dunia. Ikan layaran ini amat terkenal sebagai ikan trofi bagi sesetengah kaki pancing. Dengan kelajuan yang mampu mencecah 68 mph dan juga lompatan yang begitu padu di udara, ikan ini sememangnya menjadi antara salah satu ikan kebanggaan di Malaysia. Rekod dunia mencatatkan spesimen terberat pernah dinaikkan di Ecuador pada tahun 1947 iaitu seberat 221 lb.
** Level Lompatan Akrobatik: 18.5/20
Bulan ( Tarpon / Megalops atlanticus)
Ikan bulan atau tarpon memang terkenal sebagai ikan dengan lompatan yang menakjubkan dan kelicikannya memuntahkan mata kail. Atas faktor rahangnya yang kuat menjadikan mata kail agak mudah terlucut jika ikan bulan melakukan lompatan akrobatik berulang kali. Walaupun di Malaysia spesies ini tidak membesar sama seperti di luar negara, namun ikan bulan atau tarpon memang layak diangkat sebagai ikan ‘game-fish’ dengan aksi lompatan akrobatik yang paling menakjubkan ada di dunia jika dikira melalui aspek keseluruhan. Spesimen seberat 286 lb 9 oz yang didaratkan di Guinea Bissau, Afrika pada tahun 2003 diangkat sebagai rekod dunia ikan tarpon yang pernah didaratkan.
Sabiki atau kita lebih senang memanggilnya apollo adalah salah kaedah memancing yang lazimnya digunakan untuk mencari umpan ikan hidup seperti bilis, tamban, beliak mata, selar dan sebagainya lagi.
Namun jika memperoleh ikan selar, selayang, kembung atau cencaru yang bersaiz kasar ia pasti lebih menyeronokan kerana boleh dibuat umpan, ia juga boleh dibuat lauk malah boleh bertukar misi pancingan.
JENIS
Ada pelbagai jenis apollo yang terjual di kedai pancing. Apollo yang lazim digunakan adalah apollo kertas dengan manik hijau.
Namun apollo udang (udang getah yang dilekatkan pada mata) juga sesuai digunakan terutamanya untuk mencari ikan selar dan cencaru.
SAIZ
Pilihlah saiz apollo yang sepadan dengan ikan sasaran. Contohnya jika mencari bilis, beliak mata dan tamban kecil di kawasan kelong atau rumah rakit lebih sesuai guna apollo saiz 4-5.
Jika di kawasan boya, unjam atau kapal parkir sebaiknya guna saiz 6-10. Untuk ikan sasaran yang lebih kasar seperti cencaru pula elok pilih saiz 12-16.
Selain saiz matanya yang besar, perambutnya juga lebih kasar dan kuat.
PORT
Ikan-ikan pelagik ini lazimnya berkumpul atau mencari makan di kawasan berstruktur seperti tiang-tiang jambatan, boya, kelong, tukun, unjam dan kapal parkir.
Sementara spot untuk melontar apollo adalah bahagian kepala arus hadapan yang dilanggar arus.
Bukannya di bahagian belakang boya atau unjam, kapal atau kelong.
LONTARAN
Apollo sebaiknya dilontar ke bahagian hadapan kepala arus atau objek seperti kepala unjam dan biarkan tenggelam seketika sebelum membuat kayuhan.
Sebaiknya juga guna batu ladung saiz sederhana yang cepat tenggelam bersesuaian dengan arus.
UNJUN
Tidak perlu tunggu sehingga batu cecah dasar untuk buat unjunan. Memadai sekadar anggaran 3/4 kedalaman air kerana ikan pelagik jarang berada di dasar.
Cara terbaik ialah sebaik batu ladung mencecah air, rasakan pergerakan tali pancing yang keluar bagi mengesan sebarang ragutan ikan pada apollo.
UMPAN
Boleh juga letakkan hirisan ikan/udang/sotong pada mata kail apollo sekiranya penggunaan apollo kosong kurang mendapat sambutan.
Seperkara lain kaedah ini berpeluang untuk memperoleh ikan-ikan pelagik yang bersaiz lebih kasar.
Tidak semua ikan memiliki saiz besar dan kepantasan berenang untuk menyelamatkan diri dari pemangsa. Sesetengahnya dibekalkan dengan baji (duri tajam) sirip tajam untuk mempertahankan diri. Ada sesetengahnya pula dilengkapkan dengan bisa. Jom kita kenali ikan-ikan tersebut.
BAJI
Nama saintifik: Platycephalus indicus
Nama umum: Bartail flathead
Pada asasnya ikan baji tidak menggigit atau memiliki sirip berduri yang berbisa. Tetapi perlu awas pada dua baji (duri tajam) di kiri dan kanan berdekatan dengan bahagian kepala. Elakkan memegang bahagian kepala ikan ini dengan tangan kerana duri yang terselindung ini boleh melukakan tangan anda dengan mudah dan setajam pisau.
SEMBILANG
Nama saintifik : Plotosus canius
Nama umum : Gray-eel catfish
Ikan sembilang terkenal bagi kebanyakan kaki pancing yang gemar memancing pesisir pantai. Bentuknya badannya tidak bersisik dan licin. Selain itu, ikan sembilang juga mempunyai rasa yang agak sedap. Ketika mengendalikan spesies ini, kita perlu berhati-hati dengan sengat atau duri pada bahagian dorsal dan juga sepasang duri pektoralnya. Sengatan sembilang agak berbisa dan mampu mendatangkan rasa berdenyut dan sakit berterusan jika tidak dirawat segera.
BELUKANG /PEDUKANG
Nama saintifik: Hexanematichthys sagor
Nama umum: Sagor catfish
Ikan pedukang hampir menyerupai ikan duri. Ikan ini selalunya menjadi pengacau umpan dan sering dinaikkan ketika memancing di kawasan berair payau. Begitu pun, seperti ikan duri, ikan pedukang juga mempunyai duri sengat yang berbisa. Duri ini terletak di bahagian sirip dorsalnya serta pada sirip pektoralnya.
PARI
Nama saintifik: Dasyatis spp
Nama umum: Stingray
Ikan pari merupakan ikan yang berbentuk leper dan sering berada pada dasar badan air. Ketika mengendalikan ikan pari, perhatian harus diberikan kepada bahagian ekornya. Duri sengatan ikan pari yang terletak di sebalik ekornya sangat berbisa dan mampu memberikan kecederaan teruk. Sesetengah kes sengatan pari mampu membawa kepada kematian.
TALANG
Nama saintifik: Scomberoides tol
Nama umum: Needlescaled queenfish
Ikan talang lampai dewasa biasanya berlegar di permukaan air dalam kawanan kecil. Ikan ini akan memburu ikan kecil sebagai makanannya. Terdapat duri pada sirip dorsal dan sirip analnya yang sesetengahnya mempunyai toksin yang berbisa.
ARUAN TASIK
Nama saintifik: Rachycentron canadum
Nama lain: Cobia
Aruan tasik mempunyai daya larian yang begitu kuat. Spesies ini juga mampu membesar mencapai saiz gergasi. Dalam mengendalikan ikan ini terutama di atas bot yang bergerak, perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang risiko terkena sengatan durinya. Sebaris duri keras dan tajam aruan tasik yang terletak pada bahagian sirip dorsalnya boleh menyebabkan kecederaan yang serius.
MAYONG
Nama saintifik: Netuma thalassina, Arius thalassinus
Nama umum: Giant seacatfish
Ikan mayong mempunyai bentuk seperti ikan duri namun saiznya lebih besar dan mampu mencapai panjang sehingga 1.8 meter. Ikan mayong juga mempunyai duri dan sengat yang berbisa serta mampu mendatangkan kecederaan. Duri utama pada sirip dorsalnya sangat tajam dan keras ditambah dengan sepasang duri pada bahagian pektoralnya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...