SPESIES 1
Nama Saintifik: Scarus rubroviolaceus
Nama umum: Ember parrotfish
Nama tempatan: Bayan, ketarap
Ikan Ketarap yang amat sinonim di pantai timur di negara kita merupakan ikan yang mendiami kawasan batu karang serta persisiran pantai yang berbatu. Habitat ikan ini merangkumi seluruh perairan Asia Pasifik. Ikan ini sangat terkenal dengan daya juang di kalangan kaki pancing walaupun bersaiz kecil telah menjadikannya sebagai sasaran kaki pancing. Ikan ini yang mempunyai isi putih serta lembut amat lazat jika dijadikan hidangan terutamanya masakan steam.
Umpan: Ketam nipah ialah umpan paling popular untuk menjerat ketarap ini. Selain itu, umpan seperti siput, kerang-kerangan, udang dan sotong juga boleh dijadikan umpan.
SPESIES 2
Nama Saintifik: Pristipomoides multidens
Nama umum: Goldbanded jobfish
Nama tempatan: Ibu kerisi, kerisi bali
Ikan yang mendiami lubang dan struktur karang di perairan negara kita ini sangat terkenal dengan isinya yang enak dan sukar diperolehi di pasar terutamanya di kawasan Lembah Klang telah menjadikannya sebagai ikan sasaran kegemaran pemancing. Ikan ini yang bergerak secara berkumpulan dan bersikap tidak memilih umpan menyebabkan ia amat mudah diperolehi semasa trip memancing. Berbeza dengan ikan kerisi bersaiz kecil. Ikan ini merupakan hidangan lazat setanding dengan ikan gred A yang lain.
Umpan: Ibu kerisi tidak cerewet untuk memilih umpan, Teknik dasar menggunakan umpan hirisan sotong, udang mati atau hirisan isi ikan pasti dapat menjerat ikan ini.
SPESIES 3
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama umum: Red Snapper
Nama tempatan: Merah pucat, Merah
Dikenali juga sebagai merah pucat. Ikan ini merupakan ikan yang paling banyak dicari oleh pemancing. Selain itu, saiz ikan ini yang kadang kala mencecah lebih 5kg mampu memberi daya juang yang mengasyikkan. Isi yang lembut serta kepala ikan merah yang di asam pedaskan atau dimasak gulai kari pasti sangat menggiurkan. Permintaan yang tinggi terhadap ikan merah di pasaran membuatkan ikan ini sentiasa menjadi sasaran pemancing.
Umpan: Umpan ikan merah amat mudah, isi ikan, hirisan sotong, umpan hidup, udang mati dan apa saja pasti akan dihentam ikan merah jika umpan dilabuhkan di kawasan yang di diaminya. Ikan ini bergerak dalam kumpulan besar dan amat sensitif iaitu tidak lagi menjamah umpan yang dihulurkan, jika ada perambut putus ketika karauan sedang dilakukan.
SPESIES 4
Nama Saintifik: Pinjalo pinjalo
Nama umum: Japanese red
Nama tempatan: Merah suman
Merah suman tergolong dari keluarga ikan merah, apa yang membezakannya ialah rupa bentuk kepalanya yang lebih bulat berbanding ikan merah. Ikan ini tinggal di kawasan lubang dan struktur karang bersama dengan ikan merah. Ikan ini dianggap lebih sedap berbanding ikan merah.
Umpan: Sama seperti umpan ikan merah, umpan yang biasa digunakan adalah isi ikan, hirisan sotong, umpan hidup, dan udang mati boleh digunakan untuk menjerat spesies ini.
SPESIES 5
Nama saintifik: Lutjanus johnii
Nama umum: John’s Snapper, golden snapper
Nama tempatan: Jenahak, Jenak
Dikenali sebagai bantal emas di kalangan pemancing. Jenahak merupakan ikan yang sangat popular di negara ini, termasuklah di kolam-kolam air masin. Ikan ini terdapat di semua perairan Asia Pasifik. Seperti ikan kakap merah, ikan jenahak juga mendiami kawasan berhampiran muara semasa kecil. Apabila dewasa, ikan ini akan mendiami lubang atau struktur karang yang berlumpur. Di Malaysia ikan ini banyak taburannya di kawasan perairan selat Melaka.
Umpan: Sotong, sotong kurita, udang lipan dan kembung/selar hidup merupakan umpan popular untuk menjerat ikan jenahak ini. Hirisan isi ikan dan sotong juga boleh digunakan. Apa yang pasti ikan jenahak ini amat memilih umpan, hanya umpan yang segar sahaja yang mampu membuka seleranya. Terdapat juga para pemancing yang berjaya mendaratkan ikan ini menggunakan gewang dan jig besi.