Kenali Spesies Kacukan Yu & Pari!!

Share

 

Yu pari terkenal sebagai salah satu ikan yang memberi tentangan dari bawah ke atas, tegak dan melintang kepada pemancing. Ia mampu memberi kepuasan dan serta keletihan kepada pemancing ketika melayannya tidak kiralah pancingan di atas bot mahupun pancingan pantai.

 

Yu pari mempunyai tulang-tulang lembut seperti seperti pari dan nilainya baik di pasaran. Selain sirip dagingnya lembut seperti mana pari menjadikan ia paling sedap untuk dinikmati. Permintaan tinggi di setengah-tengah kawasan pendaratan ikan dan harganya lebih tinggi jika dibandingkan dengan harga pari ataupun ikan yu.

 

Yu pari memiliki bentuk badan memanjang dengan sebahagian dari badannya berbentuk seperti pesawat udara. Bahagian kepala tirus mendatar (segitiga) dan memiliki tulang-tulang kecil yang timbul di bahagian tengah kepala yang keras.

 

Sirip dorsal pertama kiri satu pertiga panjang dari panjang badan, sebagaimana yang terdapat pada sirip yu. Saiz badan satu pretiga dari lebar kepala yang leper. Ekornya mirip ikan yu pasir kecuali sirip dorsal pertama dan kedua lebih rendah dari yu.

 

Kulit badan berwarna coklat cerah dan mempunyai tompok-tompok hitam (blackspot).  Mulutnya dilengkapi dengan gigi-gigi kecil dan halus. Kedudukan mulut di bawah badan hampir sama dengan jarak muncung dengan mata di atas. Muncungnya pula terdiri dari tulang lembut yang di selaputi kulit liat hingga ke pangkal kepala.

 

Yu pari merupakan spesis yang gemar mendiami kawasan berpasir, berlumpur selut dan kawasan dasar yang rata mendatar. Tidak pelik jika anda terpancing spesies ini di kawasan  karang maupun berbatu kerana sifat haiwan air ini yang sentiasa meronda di kawasan berkenaan untuk memburu mangsa terutama pada waktu malam.

 

Pada siang hari ia banyak menghabiskan masa lepak di kawasan dasar yang rata sambil menanamkan separuh badan di dasar menunggu jika ada mangsa yang sudi menyerah jiwa raga di depan mata. Yu pari tidak tergolong dalam spesies merbahaya di dalam air dan sering menjauhkan diri  dari manusia. Begitu pun pemancing perlu berhati-hati dengan ikan pari berhubung yu ini apabila mengendalikan ia di lantai bot.

 

Badannya liat sepertimana yu dan bahagian ekor mampu melibas ketika ia menggelupur. Serangan ke atas kaki dan tangan pemancing biasa terjadi kepada pemancing yang kurang arif mengenai kemampuan seekor ikan tanpa air di lantai bot.

 

 

 

Published by
Amang