Profil ringkas
Keluarga: Lutjanidae
Nama Lain: Merah pucat, temenggung, merah mata hitam
Nama global: Crimson Snapper
Ciri Fizikal: Warna merah cerah, terutama di bahagian bawah. Bahagian sirip dan ekornya merah kekuningan.
Diet: Kebanyakan sumber makanan adalah hidupan dasar termasuk anak ikan, ketam dan sebagainya.
Habitat: Dari muara berbatu hingga lautan. Tumpuan pada kawasan karang
Taburan: Laut Arab hingga ke Lautan Hindi. Selatan Jepun ke Utara Australia dan Papua New Guinea
Tempatan: Sabah, Sarawak dan Laut China Selatan serta laluan (lubang) pantai Barat Semenanjung
Ikan merah adalah dari keluarga Lutjanie atau snapper family. Ikan merah terdiri dari beberapa spesies yang hampir sama namun berkongsi habitat yang sama. Ia menjadi buruan oleh nelayan dan pemancing kerana faktor harga dan keenakan rasanya.
Ikan merah merupakan spesies sasaran yang cukup sinonim bagi trip memancing trip ke kawasan luar pantai yang memiliki dasar berkarang atau berstruktur dihuni hidupan mikro organik seperti span, ptotozoa dan krutesia kecil.
Bentuk Dan Ciri Fizikal
Bentuk ikan merah menyerupai ikan siakap merah cuma giginya tidak sehebat yang dimiliki siakap merah. Warna badannya tidak merah keseluruhan, lebih kekuningan di bahagian sirip dorsal, pelvik maupun ekor. Seperti merah lain warna pudar apabila mati atau berubah mengikut warna air sekeliling kawasan wilayahnya. Warna lebih terang dan menarik jika air jernih dan sebaliknya.
Ia boleh membesar hingga 79cm panjang mencecah berat hingga 10 kg namun amat jarang untuk melihat saiz sebegini. Saiz yang biasa dipancing ialah anggaran berat 1 kg atau saiz lazim 40cm. Musim terbaik memancingnya ialah selepas waktu bertelur di antara Julai hingga September.
Habitat Dan Sifat
Ikan merah adalah sebahagian dari ikan marin dan berkarang. Ia mudah ditemui di dasar laut dipenuhi dengan terumbu karang, tetapi tidak mustahil baginya untuk meronda dan berkeliaran di luar hutan karang di dasar lautan.
Lazimnya kawasan dataran terpilih adalah jenis dasar berpasir, lumpur keras dan di antara celahan tompokan batu karang. Selain itu habitat buatan juga mudah dikunjungi oleh kumpulan ikan merah untuk membiak dan memburu sumber makanan.
Habitat tiruan temasuklah kawasan unjam, tukun tayar, konkrit, bot serta tukun kapal karam yang ditinggalkan. Kini ikan ini banyak menghuni pada kedalaman air melebihi 30 meter. Paling cantik kedalaman dasar sekitar 60 hingga 100 meter dan peluang untuk mendapatkan kumpulan besar.
Seperti hidupan marin lain kumpulannya adalah terdiri dari satu kelompok induk membesar bersama dan tidak gemar berkongsi dengan saiz yang besar. Ini bertujuan mengelakkan spesies yang kecil dibuli dan sesetengahnya dimakan sesama sendiri atau spesies yang lebih besar. Ia adalah spesies karnibal.