TERDAPAT BEBERAPA SISTEM PERTAHANAN DIRI BAGI IKAN. ANTARANYA IALAH DURI ATAU SENGAT YANG BERBISA. KAKI PANCING SEHARUSNYA LEBIH BERHATI-HATI DAN BERSEDIA APABILA MENGENDALIKAN SPESIES YANG MAMPU MENYENGAT. BURUK PADAHNYA JIKA MEMANDANG ENTENG BAHAYA SENGATAN IKAN KERANA BISA DARIPADA SENGATAN IKAN KADANGKALA MAMPU MEMBAWA KECELAKAAN JIKA TIDAK DIRAWAT SEGERA.
1.SEMBILANG
Nama saintifik : Plotosus canius
Nama umum : Gray-eel catfish
Ikan sembilang terkenal bagi kebanyakan kaki pancing yang gemar memancing pesisir pantai. Bentuknya badannya tidak bersisik dan licin. Selain itu, ikan sembilang juga mempunyai rasa yang agak sedap. Ketika mengendalikan spesies ini, kita perlu berhati-hati dengan sengat atau duri pada bahagian dorsal dan juga sepasang duri pektoralnya. Sengatan sembilang agak berbisa dan mampu mendatangkan rasa berdenyut dan sakit berterusan jika tidak dirawat segera.
2. BAUNG
Nama saintifik : Mystus nemurus
Nama umum : River catfish
Ikan baung sentiasa menjadi antara spesies kegemaran bagi pemancing air tawar. Selain sesuai dijadikan hidangan, memancing baung juga mempunyai tarikan tersendiri. Ikan baung juga mempunyai duri yang tajam dan mampu mencederakan jika tidak berhati-hati. Duri sengat ikan baung terletak pada sirip dorsal dan juga sirip pektoralnya.
3. USAT
Nama saintifik : Plotosus lineatus
Nama umum : Striped eel catfish
Usat atau ikan sembilang karang juga mendiami kawasan yang mempunyai karang. Warna badannya berbeza berbanding sembilang biasa. Ikan sembilang karang mempunyai warna yang lebih cerah dan mempunyai jalur pada badannya. Seperti ikan sembilang, ikan sembilang karang juga mempunyai duri yang berbisa dan mendatangkan kesan buruk jika disengat.
4.KELI
Nama saintifik : Clarias sp
Nama umum : Walking catfish, catfish
Ikan keli merupakan antara ikan yang sering dapat dilihat dan mudah dikenali. Selain dipancing, ikan keli juga menjadi antara spesies utama yang diternak sebagai sumber makanan. Spesies keli termasuk keli bunga, keli kayu dan keli Afrika mempunyai duri dan sengat pada bahagian sama iaitu sepasang duri pada sirip pektoralnya.
5. DURI
Nama saintifik : Arius sp
Nama umum : Sea catfish
Spesies daripada genus Arius ini merupakan antara spesies yang sering dinaikkan. Ikan duri mempunyai tiga duri yang tajam dan keras. Duri yang digunakan untuk mempertahankan dirinya ini terletak pada sepasang sirip pektoralnya serta sebatang duri yang mampu menegak pada bahagian sirip dorsal di atas badannya.
6. PATIN
Nama saintifik : Pangasius sp.
Nama umum : Shark catfish
Patin merupakan ikan tersohor di negeri Pahang. Selain rasanya yang sedap, ikan patin juga mempunyai duri bersengat bagi mempertahankan dirinya. Duri tajam pada dorsal dan sirip pektoralnya mampu mencederakan jika tidak berhati-hati. Duri patin yang diternak biasanya tidak terlalu tajam jika dibandingkan dengan patin liar.
7. PARI
Nama saintifik : Dasyatis thetidis
Nama umum : Thorntail stingray
Ikan pari merupakan ikan yang berbentuk leper dan sering berada pada dasar badan air. Ketika mengendalikan ikan pari, perhatian harus diberikan kepada bahagian ekornya. Duri sengatan ikan pari yang terletak di sebalik ekornya sangat berbisa dan mampu memberikan kecederaan teruk. Sesetengah kes sengatan pari mampu membawa kepada kematian.
8. DEPU SINGA / GEDEMPU SINGA / GEDEMA
Nama saintifik : Allenbatrachus grunniens
Nama umum : Grunting toadfish, Frogfish
Biasanya ikan ini akan menghuni kawasan dasar berhampiran pesisir pantai yang berlumpur dan berpasir. Depu singa ini mempunyai duri-duri kecil terutama pada sebahagian besar kawasan operkulumnya. Duri-duri kecil ini berbisa jika tertusuk dan mampu mendatangkan kesakitan jika tidak mendapat rawatan segera.
9. ARUAN TASIK
Nama saintifik : Rachycentron canadum
Nama lain : Cobia
Aruan tasik mempunyai daya larian yang begitu kuat. Spesies ini juga mampu membesar mencapai saiz gergasi. Dalam mengendalikan ikan ini terutama di atas bot yang bergerak, perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang risiko terkena sengatan durinya. Sebaris duri keras dan tajam aruan tasik yang terletak pada bahagian sirip dorsalnya boleh menyebabkan kecederaan yang serius.
10.BELUKANG /PEDUKANG
Nama saintifik : Hexanematichthys sagor
Nama umum : Sagor catfish
Ikan pedukang hampir menyerupai ikan duri. Ikan ini selalunya menjadi pengacau umpan dan sering dinaikkan ketika memancing di kawasan berair payau. Begitu pun, seperti ikan duri, ikan pedukang juga mempunyai duri sengat yang berbisa. Duri ini terletak di bahagian sirip dorsalnya serta pada sirip pektoralnya.
11. DENGKIS
Nama saintifik : Siganus vermiculatus, S. javus
Nama umum : Sspinefoot fish, Rabbitfish
Ikan dengkis hampir menyamai rupa ikan kitang namun dari segi nilai, ikan dengkis sememangnya jauh lebih bernilai dari kitang. Begitu juga dengan bisa dari sengat berduri ikan kitang. Ia mampu menyebabkan bahagian yang terkena sengat terasa kejang untuk beberapa jam lamanya.
12. KITANG
Nama saintifik : Scatophagus argus
Nama umum : Spotted scat
Ikan kitang berbentuk pipih dan biasanya mempunyai corak berbintik hitam di badannya. Ikan ini mempunyai duri yang berbisa di sepanjang barisan sirip dorsal serta sirip pelviknya. Duri yang berbisa pada ikan ini mampu mendatangkan kecederaan teruk yang menyebabkan rasa kebas dan kesakitan berlarutan jika tidak dirawat.
13. MAYONG
Nama saintifik : Netuma thalassina, Arius thalassinus
Nama umum : Giant seacatfish
Ikan mayong mempunyai bentuk seperti ikan duri namun saiznya lebih besar dan mampu mencapai panjang sehingga 1.8 meter. Ikan mayong juga mempunyai duri dan sengat yang berbisa serta mampu mendatangkan kecederaan. Duri utama pada sirip dorsalnya sangat tajam dan keras ditambah dengan sepasang duri pada bahagian pektoralnya.
14. KETUKA
Nama saintifik : Himantura imbricata
Nama umum : Scaly whipray
Ikan ketuka mempunyai bentuk badan yang hampir sama dengan ikan pari. Namun saiz ikan ketuka lebih kecil dan ikan ketuka lebih mendiami kawasan berair payau. Ikan ketuka juga mempunyai sengatnya di sebalik ekornya seperti pari. Sengat ikan ini mampu mendatangkan kecederaan yang teruk jika tidak dirawat.
15. IKAN DEBAM / DEBAM JALUR
Nama saintifik : Acanthurus lineatus
Nama umum : Lined Surgeonfish
Debam jalur merupakan ikan yang bersifat kewilayahan dan menghuni kawasan berbatu karang. Spesies ini biasanya berassa dalam kumpulan yang banyak. Debam jalur juga merupakan spesies yang sentiasa berenang dan sering dijadikan sebagai ikan hiasan. Pada bahagian kaudal atau ekornya, terdapat duri yang agak berbisa dan mampu mendatangkan kecederaan jika terkena pada anggota badan.
16. TALANG
Nama saintifik : Scomberoides tol
Nama umum : Needlescaled queenfish
Ikan talang lampai dewasa biasanya berlegar di permukaan air dalam kawanan kecil. Ikan ini akan memburu ikan kecil sebagai makanannya. Terdapat duri pada sirip dorsal dan sirip analnya yang sesetengahnya mempunyai toksin yang berbisa.
17. LOLONG BARA / SEBEKAH KARANG
Nama saintifik : Sargocentron cornutum
Nama umum : Threespot squirrelfish
Ikan lolong bara hidup di kawasan yang kaya dengan terumbu karang sehingga kepada kedalaman sedalam 40 meter. Selalunya spesies ini bersembunyi di kawasan berbatu dan terlindung. Spesies ini biasanya menjadikan waktu malam sebagai masa memburu makanannya seperti udang dan ketam bentik. Pada bahagian operkulumnya, terdapat duri yang berbisa dan mampu mencederakan jika terkena sengatannya.