Kenali Spesies Ikan Banang

Share

 

Taksonomi:

Kingdom: Animalia

Phylum: Chordata

Class: Actinoptergii

Order: Beloniformes

Family: Belonidae

Genus: Ablennes

 

 

Ikan banang atau turut dipanggil dengan nama todak, todak nipis, julung-julung, dan sembir ialah spesies ikan yang menjadikan permukaan air air masin sebagai habitat. Merupakan spesies ikan yang amat popular dari pancingan muara hinggalah ke laut dalam.

 

Terdapat beberapa subfamili banang di dunia namun spesies banang yang mengisi slot info spesies kali ini ialah banang yang biasa ditemui di perairan negara kita. Ikan yang tergolong dalam family Belonidae (needlefishes) dan genus Ablennes ini dikenali sebagai flat needlefish di peringkat global.

 

 

Taburan ikan banang begitu meluas di seluruh dunia dan hampir seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ia lazimnya boleh ditemui perairan cetek dari kawasan estuary hinggalah ke tengah laut. Ciri-ciri utama ikan berparuh ini memiliki muncung panjang yang dibarisi gigi atas dan bawah di sepanjang paruhnya.

 

Ikan banang memiliki badan pipih memanjang dengan tona warna hijau cerah di bahagian atas dan putih berkilau di bahagian bawah badan. Banang jenis ini mempunyai lapan belang berwarna biru gelap bermula pangkal sirip dorsal pertama hingga hujung ekor. Belang ini hanya separuh bahagian ukur lilit badannya sahaja.

 

 

Panjang mulutnya hampir satu per tiga dari keseluruhan panjang badannya. Memiliki barisan gigi tajam di bahagian bawah dan atas rahang mulut. Giginya tajam di sepanjang muncung atau paruh mulutnya. Mulutnya tidak begitu besar untuk menelan mangsa tetapi dengan bantuan giginya ia mampu mengerjakan mangsa yang lebih besar dari kapasiti mulutnya untuk ditelan.  Saiz mata agak besar.

 

Dengan memiliki ekor bercabang tegap tetapi pendek membolehkannya melakukan pecutan serta anjakan untuk meloncat ke udara. Ikan ini mampu membesar hingga 95cm panjang tetapi saiz purata ialah 60cm sahaja. Banang jenis ini mempunyai ekor tirus dan bercabang lebih kuat dari jenis mempunyai ekor bulat.

 

 

Kedudukan sirip dorsal agak jauh kebelakang badan kira-kira 2/3 dari pangkal kepala bagi ikan yang dikenali sembir di pantai timur.

 

Ikan banang bergerak dalam kelompok tersendiri. Mereka Menghabiskan masa berkeliaran di permukaan air. Ikan pelagik ini gemar berada di kawasan cahaya lampu. Ia boleh dilihat berkeliaran di sekeliling kawasan limpahan cahaya pada malam hari. Ia kelihatan jinak ketika menghampiri bot tetapi akan bergerak pantas melarikan diri apabila ternampak bayang pergerakan manusia atau terancam keselamatannya.

 

 

Banang boleh membuat pecutan di atas permukaan air (hanya bahagian ekor sahaja yang mengena air) dalam jarak amat jauh seperti jet pejuang sedang berlepas dari landasan. Ini boleh diperhati ketika ia melarikan diri dari serangan pemangsa. Banang yang terperanjat adalah yang tidur di permukaan air dan membabi buta melompat dan menujah di permukaan air untuk menyelamatkan diri.

 

Published by
Amang