Lazimnya ikan dengkis memiliki sirip hampir penuh mengelilingi badan dan di antara sirip lembut terdapat duri tajam yang berbisa. Panas mungkin juga mewakili lada atau cili yang diketahui pedas. Rata-rata ikan dengkis berbentuk lebar separa bulat.
Saiz ikan dengkis bintik oren lebih besar dari ikan dengkis biasa yang kita temui dan secara keseluruhannya sifat dan ciri-ciri utama dengkis bintik oren adalah sama sahaja dengan ikan dengkis.
Dengkis bintik oren disenaraikan dalam famili Siganidae. Terdapat 12 subspesies dengkis ditemui. Hampir keseluruhan warna asas badannya kelabu manakala warna sirip dorsal atas dan bawah berwarna kekuningan.
Sedikit warna kekuningan dikesan pada bahagian mulut hingga sekitar bahagian mata. Corak badannya berbintik di sebelah atas dan jalur pula di bahagian bawah.
Hampir semua dengkis mempunyai ciri warna berlainan dan cantik corak badan spesies ini. Juvenil atau dengkis bintik oren bersaiz kecil lebih popular dijadikan ikan hiasan. Nama saintifiknya ialah Siganus javus (Java rabbitfish).
Ekornya tirus melebar dan ada yang tirus memanjang. Gigi halus, bersengat di setiap hujung sirip dorsal dan mulut kecil adalah ciri-ciri utama ikan ini.
Ikan dengkis bintik oren hanya ditemui di kawasan berpulau karang seperti Tukun Perak, Pulau Jarak, Pulau Aur. Paling banyak yang meragut mata pancing ialah di Tukun Perak dan Pulau Jarak kedua-duanya di sebelah pantai barat semenanjung.
Kawasan karang di tengah laut dalam saya jarang melihat ia makan umpan pemancing. Kawasan muara sungai berbatu serta persisiran pantai berkarang juga berpotensi menjinakkan ikan ini. Saya biasa juga memperolehi anak kitang tetapi paling banyak ialah dengkis di muara sungai pantai timur tapi hanya untuk muara berbatu sahaja.
Dengkis bintik oren adalah ikan karang. Gemar mendiami kawasan berstruktur karang kerana sumber makanan utama diperoleh di kawasan batu karang terdiri dari anak ikan, krutesia kecil dan moluska.
Ikan dengkis bintik oren juvenil kecil bergerak dalam kumpulan besar di persisiran pantai berkarang dan jumlah semakin mengecil kumpulannya apabila membesar. Mampu membesar sehingga 30cm. Saiz ini memang dianggap besar bagi ikan dengkis bintik oren.
Untuk saiz purata yang biasa saya lihat dan pancing untuk semua spesies dengkis termasuk dengkis bintik oren ialah saiz 17cm hingga 25 cm. Berat kurang dari 300 gram seekor kecuali yang melebihi 20cm. Bermusim aktif dari bulan May hingga Ogos.