Kenali Spesies Black Kingfish Tempatan

Share

 

Taksonomi:

 

Kingdom: Animalia

Phylum: Chordata

Class: Actinopterygii

Order: Perciformes

Family: Racgycentridae

Genus: Rachycentron (Kaup, 1826)

Species: R. canadum

Binomial name: Rachycentron canadum

 

 

Aruan tasik atau cobia merupakan salah satu spesies ikan marin yang diketahui mempunyai tenaga luar biasa di hujung tali pancing. Kekuatan luar biasa ikan ini juga membuatkannya mendapat gelaran seperti black kingfish, black bonito dan juga ‘prodigal son’ bagi menunjukkan betapa kekuatannya mendapat pengiktirafan di kalangan pemancing global.

 

Bagi morfologi luaran spesies ini, aruan tasik mempunyai bentuk badan yang memanjang seakan torpedo. Badannya mempunyai daging yang pejal dan berotot dengan kepanjangan yang mampu mencecah sehingga 2 meter. Spesies yang mampu mencapai berat sehingga 78 kg ini mempunyai bentuk kepala yang mendatar (depressed).

 

 

Jika diperhatikan di bahagian mulut pula, rahang bawah aruan tasik sedikit lebih panjang berbanding rahang atas. Spesies ini mempunyai mata yang agak kecil. Pada bahagian badan ikan ini terdapat kehadiran sisik-sisik yang halus, begitu pun jika sekali imbas kelihatan badannya seakan licin tanpa sisik.

 

Tona warna pada badannya pula berwarna coklat gelap namun pada bahagian bawah abdomennya pula berwarna putih. Terdapat juga kehadiran garisan horizontal warna coklat yang lebih gelap pada sisi badannya.

 

 

Warna garisan ini akan lebih jelas ketika musim mengawan dan warna coklat badannya akan menjadi lebih cerah. Bahagian sirip dorsal pertama mempunyai kira-kira 7-9 duri.

 

Nama famili Rachycentridae dating daripada terminologi Greek di mana perkataan rhachis memberi makna duri (spine) dan kentron iaitu sengat (sting). Terminologi ini diinspirasikan daripada sirip dorsal ikan ini. Aruan tasik yang matang mempunyai sirip kaudal berbentuk garfu (forked) dan biasanya mempunyai warna coklat gelap.

 

 

Taburan spesies ini agak global dan boleh ditemui dalam hampir kebanyakan kawasan tropika dan subtropika namun tiada kehadiran di bahagian timur Pasifik. Aruan tasik dicatatkan mempunyai taburan dari perairan Kanada hingga ke Bermuda, Teluk Mexico dan Kepulauan Caribbean, perairan Afrika dan perairan Hokkaido, Jepun hingga ke Australia.

 

Aruan tasik biasanya berlegar secara solo kecuali ketika musim mengawan di mana akan berenang secara berpasangan. Habitat pilihan bagi spesies ini ialah Kawasan berstruktur, berhampiran kawasan berbatu, berhampiran boya serta kawasan berstruktur lain. Aruan tasik merupakan ikan pelagik dan spesies ini juga berkemungkinan memasuki kawasan muara untuk memburu mangsa sebagai dietnya.

 

 

Bagi aruan tasik yang matang, biasanya boleh ditemui dibanyak habitat seperti kawasan berlumpur, berpasir dan juga berstruktur seperti batu dan karang. Kawasan yang mempunyai boya juga menjadi pilihan bagi spesies ini berenang berlegar di sekitarnya.

 

Ketika memburu mangsa, spesies ini biasanya membentuk satu kumpulan kecil dan memburu hidupan akuatik kecil seperti ikan pelagik sebagai mangsanya. Diet utama bagi spesies ini ialah ikan kecil, sotong dan juga ketam. Aruan tasik juga gemar berenang mengikut spesies akuatik yang lebih besar seperti jerung, penyu dan pari manta untuk memburu dietnya.

 

Published by
Amang