Seperti yang kita tahu, hampir kesemua spesies ikan trevally memang cukup terkenal dengan abiliti daya pertarungan yang kuat dan tidak mengalah menjadikan spesies-spesies ini antara yang terbaik untuk carta ikan pancingan sukan.
Ikan Cupak mudah dikenali berdasarkan matanya yang bulat besar dan bersinar pada malam hari apabila terkena pancaran cahaya. Bentuk ikan cupak seakan jemuduk di mana ia lebih slim memanjang dari gerepoh yang lebih lebar badannya.
Nama Inggeris dikenali sebagai bigeyes trevally, dusky jack merujuk kepada bebola mata yang besar. Memiliki ekor bercabang dan sisik yang keras serta tajam di pangkal ekor.
Bertukar dari putih semasa hidup menjadi kehitaman apabila mati. Dagingnya juga lebih gelap berbanding jemuduk.
Sirip dorsal kedua lebih pendek dari gerepoh. Tompok kehitaman sudah wujud sejak ia kecil terutama berdekatan pangkal kepala. Boleh membesar sehingga melebihi 80cm dan berat purata yang biasa dipancing ialah 1kg hingga 5kg.
Mampu mencapai berat lebih dari 10kg dan biasanya ia bergerak secara berkumpulan yang besar dalam saiz yang sama.
Ini saya rumuskan kerana dua tempat yang berlainan satu geng pancing hanya dapat cupak purata 1kg manakala kumpulan saya purata cupak 5kg. Ia jarang ditemui bercampur bersama spesimen kecil dan besar.
Tabiat berkumpulan adalah satu strategi mengelakan serangan pemangsa dan mudah mengepung mangsa.
Selain gerepoh atau biasa disebut GT, cupak menjadi salah satu spesies buruan bagi kaki casting dan jigging. Taburan nya agak meluas dari Lautan Hindi hingga Utara Australia.
Di perairan tempatan ia boleh ditemui serata di kebanyakan tempat namun lebih tertumpu di pulau semenanjung dan Sabah.
Kumpulan ikan cupak lebih tertumpu di kawasan berkarang atau coral reef dan lebih gemar mendiami kawasan tukun terutama tukun kapal yang besar.
Waktu siang ia berlegar di sekeliling kapal atau di dalam kapal dan akan keluar meronda pada malam hari di kawasan yang lebih terbuka.
Begitupun tabiat memburu mangsa tidak tertumpu di malam hari sahaja, waktu siang ia lebih gemar berada di tepian pulau dan batu karang samada bersembunyi dari pemangsa besar mahupun menerkam mangsa di sekitar tepi pulau atau karang yang cetek.
Namun begitu ia akan lepak di satu-satu kawasan dalam temoh tertentu dan jarang mendiami kawasan yang sama. Faktor utama tabiat ini ialah cupak akan bergerak mengikut pergerakan sumber dietnya iaitu ikan-ikan pelagik.
Diet utama cupak ialah anak ikan pelagik dan hidupan krutesia seperti ketam kecil, sotong, udang dan hidupan dasar yang biasa di temui di kawasan karang.
Petanda yang mudah mengesan cupak ialah sifat semulajadinya yang gemar bermain dan memburu mangsa di kawasan bercahaya. Bot yang memiliki cahaya yang terang mempunyai potensi besar menarik perhatian si cupak menghampiri bot.
Masa inilah ia akan mula aktif menangkap dan mengejar anak-anak ikan terbang di permukaan air. Tanda yang jelas ia bunyi ‘bedebum’ di sekitar kawasan bercahaya.
Ada masanya ia berada di sekitar kawasan cahaya tersebut tetapi tidak menghambur ke permukaan.
Faktor cahaya bulan juga perlu diambil kira di mana ramai berpendapat sekiranya bulan terang ia lebih tertumpu di bawah air dan bulan gelap ia akan timbul di atas dan permukaan air.
Taksonomi:
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Family: Carangidae
Genus: Caranx
Species: C. sexfasciatus
Binomial name: Caranx sexfasciatus
baca juga Info Spesies – Kenali Ikan Gerepoh
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan