Kenali Spesies Belanak Paling Mega

Share

 

Belanak bukanlah ikan yang asing khususnya kepada kaki pancing. Selain popular sebagai ikan umpan, turut menjadi spesies buruan dan menu meja makan. Dalam erti kata lain, ikan belanak merupakan spesies penting industri perikanan. Ia diburu untuk sumber protein, dijadikan umpan memancing khususnya pancingan muara dan kolam air masin, dan belanak bersaiz besar pula diburu oleh penggemar pancingan rekreasi.

 

Menurut kajian dalam sains perikanan, terdapat beberapa spesies ikan belanak dan ada di antaranya yang boleh membesar melebihi berat satu kilogram. Dan sub-spesies belanak yang mampu membesar panjang ini  boleh dipancing melalui teknik yang betul.

 

 

Terdapat dua kategori fizikal belanak dan dikenal pasti melalui lebar dan panjang badan. Belanak yang mempunyai badan lebih pendek tetapi lebar, ia lebih dikenali sebagai kedera. Manakala saiznya tidak begitu besar berbanding belanak yang nipis tetapi panjang bentuk badannya.

 

Belanak yang memiliki badan panjang serta tegap umpama torpedo yang mampu membesar melebihi satu kilogram ini dikenali sebagai tamok.

 

 

Selain tamok, ia juga dikenali dengan nama puting damar, kedera, andeng dan belanak. Tamok atau nama umumnya squaretail mullet, merupakan ahli keluarga ikan Mullets dengan membawa nama saintifik Liza vaigiensis.

 

Secara morfologi, ikan tamok mempunyai warna asas kekuningan di hujung ekor, sirip dorsal dan sirip pelvik. Warna kuning juga kelihatan terserlah di bahagian atas badan yang di selaputi sisik keras. Badan tamok dibarisi enam jalur kehitaman pada sisik tetapi warna putih kekuningan lebih mendominasi keseluruhan badannya.

 

 

Tamok adalah jenis ikan bergigi halus (atau tiada gigi sama sekali). Bahagian atas kepalanya lebar dan asas warna gelap. Tamok mahu pun belanak amat peka pada keadaan sekeliling. Sifat pemalu dan takut pada kehadiran manusia lebih-lebih lagi di persekitaran air jernih.

 

Sebagaimana keluarga ikan belanak, tamok juga bermulut kecil dan tabiat makan secara mengutis. Ini boleh dilihat tabiat peri lakunya di kawasan tiang jeti atau jambatan yang kaya dengan sumber makanannya.

 

 

Tumpuan utama ikan tamok ialah kawasan muara sungai dengan tahap kemasinan tinggi. Ia lebih mudah ditemui di kawasan lagun, kawasan pinggir pantai berbatu nipis atau karang tompok, kawasan dataran pasir dan benting pantai, kuala sungai serta kawasan bakau.

 

Lokasi tumpuan tamok ialah kawasan air cetek dan tempat-tempat yang memiliki alga dan rumpai laut yang banyak. Selalunya bergerak dalam kumpulan kerana belanak mahupun tamok sering menjadi mangsa buruan ikan pelagik dan demersel. Tamok banyak menghabiskan masa bermain dan bergerak di kawasan permukaan air.

 

 

Ia gemarkan persekitaran yang jernih airnya dan kebolehan tamok menyesuaikan diri atau menyamar agar seperti tidak kelihatan memberi kelebihan dari segi serangan dari ikan pemangsa terutama siakap, alu-alu dan lain-lain. Ikan tamok juvernil mudah ditemui di kawasan bakau dan anak sungai. Ia akan keluar dari habitat ini apabila saiznya matang.

 

Tamok adalah ikan yang aktif pada siang hari dan waktu malam ketika perubahan arus. Pergerakan ikan tamok pula dipengaruhi oleh pasang surut dan waktu puncak ia aktif ialah ketika air bunga pasang menjelang matahari mula terbernam, di mana ikan-ikan keluarga belanak akan bergerak berhampiran dengan gigi air.

 

 

Satu perkara sisi yang hebat tentang belanak dan tamok ini ialah kemampuan mereka membuat loncatan dan ini boleh dilihat apabila belanak diburu oleh ikan besar. Dalam erti kata lain, sekiranya anda melihat kelibat ia melompat keluar dari air maka segeralah membuat persiapan untuk memburu spesies pemangsa pula.

Published by
Amang