Profil Ikan Belait @ Kitang
Nama Saintifik: Scatophagus argus
Keluarga: Scatophagidae
Nama Lain: Dengkis, Kelang, Debam, Belait, lambai
Ciri Fizikal: Bintik di atas badan dan berjalur di bahagian bawah. Badan nipis melebar. Ekor separa bulat. Terdapat duri kecil di atas setiap sirip dorsal dan berbisa jika terkena sengatan
Diet: Hidupan dasar seperti cacing laut, moluska, krutesia dan anak ikan (kecil) serta hidupan rumpai laut.
Habitat: Tumpuan utama ialah kawasan muara sungai
Taburan: Semenajung Arab, India, Bangla, Asia tenggara hingga ke Kepulauan Arcipelago
Tempatan: Hampir keseluruhan semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Bagi pemancing muara sejati, pasti tidak akan terlepas dengan kelibat ikan kitang. Setiap kali menjala udang, kitang tidak dapat lari dari terperangkap. Ramai yang tidak suka apabila kitang tersangkut pada jala kerana silap hari bulan tersusuk durinya boleh terencat kacau seketika aktiviti menjala. Bisa kitang walaupun anak memang pedih.
Dahulunya ikan ini tiada harga sama sekali, kini semua sudah berubah. Kitang tidak lagi segan untuk berada di atas lantai simen pasar ikan. Ada peminat yang gemarkan ikan kitang dan tahu cara terbaik menikmatinya.
Pemancing pula perlu tahu cara terbaik menjinakkannya. Ikan ini juga dibela oleh segelintir penternak ikan sangkar sebagai `pencuci jaring sangkar’ manakala ikan jurvenil pula dijadikan ikan hiasan akuarium.
Ciri-Ciri Fizikal
Badan leper melebar berwarna hijau kekuningan yang lazimnya lebih terserlah ketika kecil. Badan bertompok-tompok hitam bulat hampir serata badan. Juvernil berwarna hijau kekuningan dan berubah kepada hijau gelap apabila meningkat pembesaran.
Bahagian kepala membongkok sedikit. Bermulut kecil dan bergigi halus. Ekornya melebar tegap. Boleh membesar sehingga 38cm. Saiz ini melebihi berat sekilo dan selebar dulang!
Saiz purata yang dijumpai di kawasan perairan negara ialah 15 hingga 20 cm atau lebih mudah selebar tapak tangan dewasa.
Ikan ini tidak bersisik tetapi memiliki kulit yang kesat serta keras. Sirip dorsal dan sirip pelvik adalah keras dan tajam.
Duri-duri yang terdapat di atas dan bawah badan mempunyai bisa seperti ikan duri. Mangsa akan merasa panas apabila tercucuk duri atau sengat ikan ini.
Ramai pemancing yang tidak tahu dimana sengat kitang dan sering terkena ketika cuba memegang seperti mana ikan-ikan lain yang tidak berbisa. Kesannya mungkin akan berpanjangan lebih dari 20 minit atau lebih mengikut daya tahan seseorang itu.
Habitat Dan Taburan.
Gemar bermain di kawasan permukaan air. Mudah dijumpai di kawasan muara dan sungai terutama di tepian sangkar ikan, kelong, tiang jambatan dan objek-objek terapung lama termasuklah bot atau tongkang yang berlumut di bawahnya di mana kawasan ini semuanya menyediakan sumber makanan iaitu algae, lumut, rumpai serta krutesia kecil.
Selain itu kitang yang hidup di sepanjang sungai adalah penunggu tidak setia tandas awam. Najis manusia juga adalah sebahagian dari diet ikan kitang ini.
Walaupun ia dikatakan ikan muara kitang juga dijumpai di Samoa, Tonga, Fiji, Selatan Jepun, India dan Bangladesh tentu sekali banyak sesuai dengan kawasan tumpuan utama ikan muara kulit liat ini. Di negara kita kitang boleh ditemui dihampir serata sungai dan muara.
Ringkasan
Badan leper bijak untuk penyamaran (jika dipandang dari atas)
Bermulut kecil, fikirlah mata kail yang boleh digunakan untuk memerangkap ia
Kulit keras / kasar dan tidak bersisik.
Kitang dibela oleh ramai peternak ikan sangkar sebagai pencuci jaring.
Perlu cara betul mengendalikan kitang supaya selamat dari terkena duri tajam di atas dan bawah badannya.
Badan berbintik hitam besar, kehijauan di sebelah atas manakala warna kelabu seakan ungu menguasai badan di sebelah bawah.
Perumpun salah satu umpan terbaik menjerat kitang kerana ia mudah di pasang pada mata kail kecil. (Saiz 18-20)
Kelong, kawasan tepian sangkar ikan, jeti dan tiang jambatan adalah lokasi tumpuan ikan kitang bermain di permukaan.