Kenali Sifat Pemancing Sukan Yang Sebenar!!

Share

 

Sila cuba mendaratkan ikan anda secepat yang mungkin. Sebenarnya semakin lama ikan tercangkuk pada mata kail, semakin tinggi ketekanan yang dialaminya.
Ini mengelakkan dari paras asid lactic dalam ikan menjadi terlalu tinggi dan mungkin membunuhnya. Oleh kerana itulah kita perlu menggunakan peralatan pancing yang sepadan dengan spesies sasaran.

 

 

Gunakan tangguk atau sauk, bukannya lip grip apatah lagi cangkuk (gaff). Jaring pada tangguk pula perlulah dari bahan yang halus dan tidak mencederakan sisik ikan. Sebaiknya pilihkan jaring tanggung plastik berbanding benang.

 

 

Banyak aspek yang diabaikan seperti membasahkan tangan terlebih dahulu sebelum anda memegang ikan atau hasil tangkapan. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan lendir yang menyelaputi badan ikan terhakis. Lendir pada badan ikan ini adalah agen pertahanannya dari penyakit!

 

 

Sebaiknya tanggalkan mata kail ketika ikan masih di dalam air bukannya selepas didaratkan atau diangkat ke bot. Disiplin ini bukan tidak diamalkan langsung tetapi kebanyakannya dibuat jika ikan dikehendaki untuk bergambar saja atau bukan spesies sasaran.

 

 

Setelah menanggalkan mata kail, pegang ekornya di dalam air, dan olakkan ikan sehingga ia mula meronta, kemudian lepaskanlah ia. Bantuan ini penting dipraktikkan bagi membolehkan ikan dilepaskan dalam keadaan sempurna kerana berkemungkinan ia berhadapan dengan risiko kematian atau menjadi mangsa kepada pemangsa lain.

 

 

Jika anda ingin mengambil gambar bersama ikan, buatlah secepat mungkin. Setiap saat ikan itu di luar air, maka semakin kurang peluangnya untuk hidup. Jangan gantung ikan dari insang atau bibirnya saja. Ini merosakkan organ dalamannya. Gunakan kedua-dua tangan anda, biarkan ikan itu dalam posisi mendatar.

 

 

Jangan sekali-kali melepaskan kembali ikan pendatang ke dalam air terutamanya dari jenis pemangsa (kecuali anda memancing di kolam berbayar atau perairan yang tertutup). Sekiranya anda pernah melakukannya maka anggaplah ia sebagai kesilapan yang tidak akan diulangi lagi.

Published by
Amang