Klasifikasi:
Kingdom: Plantae
Clade: Tracheophytes
Clade: Angiosperms
Clade: Monocots
Clade: Commelinids
Order: Arecales
Family: Arecaceae
Subfamily: Nypoideae Griff
Genus: Nypa Steck
Species: N. fruticans
Binomial name: Nypa fruticans
Pokok nipah bukanlah pokok yang asing dalam dunia memancing. Pancingan siakap, siakap merah dan udang galah contohnya amat sinonim dengan habitat pokok nipah. Untuk kali ini apa kata kita lihat kehebatan pokok nipah dari perspektif berbeza.
Pokok nipah boleh dianggap pokok serba guna seperti pokok kelapa. Semua bahagian pokok nipah boleh dimanfaatkan. Pokok nipah hidup di tanah lembab atau berpaya. Pokok nipah dikategori jenis pokok palma.
Pucuk nipah boleh dijadikan rokok daun. Daun pokok nipah yang tua pula digunakan sebagai atap rumah. Bunga nipah dan buah nipah yang masih muda amat sedap dijadikan sebagai kerabu. Buah nipah yang mempunyai isi matang boleh dimakan begitu sahaja kerana rasanya yang manis seakan buah rambutan.
Mengikut amalan orang tua-tua dahulu, batang nipah sekiranya dikikis dan serbuk itu boleh membantu menghentikan pendarahan luka.
Disamping itu juga, akar nipah juga dikatakan boleh merawat darah tinggi dan juga kencing manis. Namun begitu, hal ini belum dapat dipastikan kerana tiada kajian yang terperinci yang dilakukan.
Manfaat yang paling umum ketahui ialah tandan nipah mengeluarkan air yang dikenali sebagai tuak ataupun nira yang juga akan menghasilkan cuka sekiranya diperam lebih lama. Nira ini juga dapat menghasilkan manisan nipah.
Semua orang tahu bahawa pokok nipah banyak gunanya. Buahnya yang matang boleh dimakan. Mayangnya boleh menghasilkan nira dan cuka nipah. Ada satu lagi yang jarang orang tahu ialah batangnya.
Yang berguna adalah bahagian bawah batangnya (pelepah). Ramai orang tak tahu batang nipah boleh menghasilkan garam.
Cara menghasilkan garam nipah:
Buang kulit luarnya dan ambil bahagian dalam yang lembut (empulur). Perahkan airnya macam mesin air tebu. Air perahan ini dimasak hingga kering dan akan terhasillah garam.
Longgok batang nipah banyak-banyak, jemur hingga kering, kemudian bakar hingga jadi abu. Kumpulkan abunya dan larutkan dalam air. Buang sampah yang terapung dan tapis dengan kain. Air yang ditapis ini dimasak hingga kering dan akan menghasilkan garam. Ini adalah salah satu cara membuat garam yang diamalkan oleh tua-tua zaman dahulu.