Bertam atau nama botaninya Eugeissona tristis merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga palma yang tumbuh serumpun. Anatomi bertam seakan-akan salak dan kelubi dari segi saiz batang dan durinya. Lazimnya pokok bertam digunakan sebagai atap pondok atau rumah tradisional, namun tidak ramai yang tahu ia juga boleh digunakan sebagai joran memancing.
Bagi pemancing yang lahirnya di bandar dan kawasan pantai, pasti tidak tahu akan wujudnya teknik pancingan begini. Namun bagi anak desa, ia merupakan teknik pancingan yang sangat popular dan saya percaya, ramai kaki pancing yang ada pada hari ini, masa kecilnya belajar memancing menggunakan joran bertam.
Batang bertam sesuai dijadikan joran memancing kerana tumbuhan ini tidak mempunyai batang berkayu, justeru ia sangatlah ringan. Strukturnya adalah teras seumpama gabus yang disalut kulit yang keras seumpama buluh.
Batang bertam yang hendak dijadikan joran akan dipilih berdasarkan lapang pancingan. Bagi pancingan tali air, joran yang pendek pada kadar 5-6 kaki diperlukan. Bagi pancingan paya, kolam dan sungai, joran sehingga 10 kaki diperlukan.
Kriteria utama pemilihan adalah batang yang lurus dan tua. Bertam yang muda sangat lembut, kurang sesuai untuk dijadikan joran. Sewaktu menebang bertam, berhati-hati dengan duri di sekitar batangnya.
Bertam yang sudah ditebang perlulah dibuang daun dan durinya, namun dua helai daun perlulah ditinggalkan sedikit untuk tujuan mengikat tali pancing. Ia berfungsi sebagai penahan tali pancing agar tidak terlucut dari ikatan.
Potongan di hujung joran pula adalah berdasarkan saiz ikan sasaran anda. Bagi ikan-ikan kecil di tali air khususnya, hujung joran perlulah dipotong menghampiri pucuk bertam bagi memudahkan kita mengesan getuan halus ikan, terutamanya yang menggunakan ladung.
Manakala bagi ikan sasaran melebihi 1kg, anda perlu memotong hujung joran menghampiri pangkalnya kerana ia lebih besar dan kuat.
Bertam yang sudah ditebang seelok-eloknya dijemur selama 3 hingga 7 hari untuk mengeringkan bendalir di dalam terasnya. Joran perlu disandarkan pada dinding atau pokok. Untuk mendapatkan batang joran yang lurus, bertama perlu digantungkan pada pokok yang tinggi dengan tambahan pemberat di pangkal joran.
Joran bertam yang sudah kering memiliki daya lenturan yang tinggi. Percaya atau tidak, kami pernah mendaratkan patin seberat 2kg dan juga labi-labi dengan hanya menggunakan joran bertam. Sedikit teknik perlu dilakukan kerana umum mengetahui patin gemar melakukan henjutan di saat-saat akhir, apatah lagi dengan menggunakan joran yang mustahil untuk tali keluar mengikut rentak ikan.