Kenali Pelagik Diamond Trevally!!

Share

 

Ikan gerong atau nama umumnya golden trevally memiliki badan kekuningan dan 9 belang hitam di badan bermula dari pangkal mata hingga pangkal ekor. Corak warna badan ikan ini lebih terserlah ketika kecil dan semakin pudar apabila ia meningkat dewasa.

 

Ekor tirus bercabang dikuatkan lagi dengan pangkalnya yang besar untuk menambah pecutan kuasa turbo ketika mengerjakan kekili pemancing.

Kelemahan utama ikan ini tidak mempunyai senjata tajam pada badan. Gerong belang boleh dikategorikan ikan laut tidak bergigi. Mangsa biasanya disedut masuk dan ditelan terus ke mulut.

 

Seperti mana ikan keluarga trevally lain, gerong belang berbadan leper tetapi tegap melebar. Bentuknya lebih slim sedikit dari gerepoh dan melebar dari jemuduk. Pangkal ekor seperti jemuduk di mana sisik tulang adalah lembut dan tidak tajam seperti gerepoh atau cupak.

 

Ia mudah dipegang tanpa menyebabkan tangan kita luka. Gerong belang boleh membesar sehingga 15 kg pada panjang maksimum 120cm. Jika ada tangkapan melebih skala 10 kg sudah cukup memuaskan kerana ia boleh dianggap ikan game fish kelas pertengahan.

 

Habitat Dan Sifat

 

Asasnya ikan gerong belang mendiami kawasan dasar berkarang kerana ia dikelaskan sebagai hidupan marin.

Namun begitu ia banyak menghabiskan masa di pertengahan air. Ikan ini mendiami kawasan persisiran pantai, tepian pulau berkarang serta lagun dan kuala sungai.

Jarang berada di kawasan laut dalam dan lokasi yang jauh dari daratan. Lokasi yang digemari pula mempunyai kedalaman sederhana dari 5 hingga 20meter.

 

Kebanyakan kawasan ini terletak di persisiran pantai di mana ia berkemampuan meronda di permukaan hingga dasar.

Gerong belang juvenil membesar dalam satu kumpulan besar dan mudah ditemui bersama kumpulan obor-obor di permukaan sebagai perisai dan pemangsa.

Juvenil juga banyak mendiami kawasan unjam. Kumpulan ini mencari krustesia dan invertebrates di dalam pepasir dasar sebagai sumber makanan utama.

 

Ikan dewasa pula kadang kala dilihat mengekori yu paus, jerung besar mahupun pari paus sebagai pelindung semula jadi serta menunggu sisa makanan aktiviti pemakanan haiwan laut besar tersebut.

Selain itu anak ikan merupakan diet utama gerong belang dewasa. Juga mengekori penyelam jika kumpulannya berada di kawasan berhampiran.

 

Gerong belang banyak tertumpu di kawasan persisiran pantai timur semenanjung terutama gugusan karang air cetek bermula dari Kuala Pahang hingga Kuala Rompin di Pahang. Tepian pulau-pulau di Johor, pantai Kijal hingga ke persisiran Pulau Perhentian di Terengganu.

 

Sarawak juga didiami gerong belang dan menjadi pilihan sesetengah pemancing di Bumi Kenyalang. Sabah pula mendominasi populasi di utara negeri, manakala di pantai barat semenjung pula populasinya amat kecil. Kini gerong belang juga mendiami di Pulau Ketam (asalnya ternakan ikan sangkar).

 

 

 

Published by
Amang