Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia paling besar dan luas di Malaysia. Oleh yang demikian korang perlu tahu spot atau lokasi yang menjadi lubuk kediaman ikan-ikan predator seperti toman dan sebarau jika ingin memburunya.
Suak terdapat anak air
Terdapat ratusan suak di Tasik Kenyir tetapi carilah suak yang ada aliran anak air. Ikan predator biasanya berkumpul di sini terutamanya jika ada kumpulan anak-anak ikan mencari makan.
Air terjun
Setiap air terjun di Tasik Kenyir memiliki potensi tersendiri untuk mencari ikan predator. Air terjun Sungai Papan dan Lata Buaya antara lubuk popular yang sering menjadi destinasi utama.
Kuala sungai atau muka suak
Jika tiada ikan predator di dalam kawasan suak, anda perlu mencuba pintu masuk suak atau kuala sungai. Sesetengah ikan pemangsa menunggu di sini untuk serangan hendap.
Tanjung daratan atau pulau
Tanah yang menghela ke dalam air adalah kawasan tanjung. Ia turut dihadiri ikan pemangsa untuk memburu ikan-ikan mangsa yang mencari makanan di sini.
Pulau tenggelam
Sekiranya menemui pulau yang baru ditenggelami air sebahagiannya, sebarau terutamanya gemar meronda di sini untuk melahap serangga yang terperangkap.
Reba bangkar
Pokok tumbang yang berceranggah dahannya ke dalam air akan menjadi tumpuan ikan mangsa untuk mencari makan dan ia akan menarik kehadiran ikan pemangsa.
Batu pulau
Batu-batu besar yang tenggelam sebahagiannya lazim menjadi kediaman atau lubuk persembunyian pemangsa untuk memburu mangsanya yang dalam melawat.
Balak tenggelam
Jika menemui pokok-pokok balak yang tersadai di dalam air, jangan sesekali lepaskan peluang untuk melontar gewang di bawahnya.
Longgokan sampah
Jika menemui longgokan sampah yang terdiri dari dedaunan atau batang kayu hanyut, cubalah pujuk ikan predator yang kemungkinan menunggu di bawah longgokan sampah tersebut.