Sebelum ini kami banyak mengupas komponen-komponen enjin sangkut dan cara ia berfungsi. Satu lagi komponen yang cukup penting bagi sebuah enjin bot terletak di bahagian leher yang dikenali sebagai pendakap lekap atau dalam bahasa automatifnya mountin bracket.
Fungsi alat ini adalah sebagai pemegang enjin kepada badan sampan dan menjadi penggerak stereng bagi putaran ke kiri, ke kanan atau pusingan 360 darjah bagi enjin bersaiz kecil.
Pada bahagian bawahnya terdapat satu shaft yang menahan kedudukan enjin mengikut tingkat yang dipilih. Setiap tingkat itu sebenarnya memberi perbezaan kepada sesuatu penggunaan enjin sangkut. Dalam bahasa automatif ia disebut tilt angle pin.
Kebiasaannya terdapat empat lubang yang menjadi penahan kepada enjin sangkut. Bagi lubang yang teratas sekali kadar dongak enjin sangkut adalah lebih tinggi berbanding yang bawah sekali.
Fungsi sebenar komponen ini adalah bahagian terakhir yang perlu diperkemas apabila sangkut telah dipasang pada bot. Semasa enjin menyusuri air kebiasaannya akan dapat dilihat tujahan enjin sama ada berat atau sesuai dengan beban berat bot. Sekiranya enjin kelihatan agak berat maka tingkat shaft tersebut perlu diubah mengikut kesesuaian kawasan air.
Kadar tujahan enjin yang baik semasa menyusuri air dapat menjimatkan penggunaan bahan api disamping memberi kuasa sebenar enjin tersebut. Jika tidak, sampan akan menjadi tiada kuasa, belahan air tidak sempurna dan kadangkala akan naik memercik sehingga masuk ke dalam bot.
Berhati-hati semasa menarik shaft tersebut kerana ia boleh terlucut dan jatuh ke dalam air. Terdapat satu spring dan pin yang bertindak sebagai penahan shaft daripada terkeluar dari lubang tingkat tersebut.
Tip melepaskan waterpump tersumbat.
Kadangkala sistem penyejuk enjin sangkut tidak boleh berfungsi dengan sempurna akibat kemasukan sampah-sampah kecil atau pasir halus ke dalam salur rubber impeller. Sekiranya ia berlaku semasa bot sedang bergerak sebaiknya berhenti di kawasan yang selamat dan gunakan alat yang lembut seperti tali tangsi yang sedikit kasar dan jolokkan di bahagian air keluar.
Sekiranya cara itu masih gagal, periksa bahagian kotak gear bawah kerana di situ tempat air disedut dan dihantar ke bahagian enjin. Periksa dan buang sampah-sampah kecil yang melekat agar kitaran air dapat disalurkan dengan sempurna.