Kerapu pisang ini adalah salah satu dari 7 subspesies kerapu iaitu Plectromopus, kerapu paling bernilai di pasaran. Keluarga kerapu Plectromopus biasanya dipanggil kerapu conor, sunuh, bara.
Manakala satu lagi subspesies hampir sama nilai dengan Plectromopus iaitu Variola dikenali dengan panggil kerapu ekor bulan, bara, merah, ekor sabit dan macam-macam nama lagi.
Kerapu ini biasanya di tangkap hidup-hidup kerana mempunyai pasaran amat baik di kalangan penggemar makanan laut terutama di Hong Kong.
Menurut laporan saintis sesetengah ikan ini mempunyai kandungan racun ciguatera (sumber dari fishbase – P.Mazellier, J.Bennett,and E. Christian), tetapi ia jarang dipedulikan oleh penggemar makanan laut kerana kelazatan isinya!
Kerapu pisang memiliki bentuk badan memanjang, badan membulat dan tidak gempal badannya seperti kebanyakan kerapu biasa yang kita temui.
Bezanya kerapu ini dengan subspesies Variola ialah bentuk ekor. Rata-rata kerapu pisang mempunyai lebar separa bulat manakala kerapu ekor bulan ekornya berbentuk seperti bulan sabit.
Sesuai dengan nama Inggerisnya blue-spotted sea bass / blue spotted coral trout / highfin coral grouper, badannya dipenuhi bintik-bintik biru di serata badannya.
Warna asasnya ialah perang atau merah jambu cerah. Hujung sirip pelvik, anal dan ekor lebih gelap sedikit warnanya.
Tapi jangan keliru kerana warna ini berubah ketika berada di dalam air mengikut kedalaman dan warna persekitaran. Jenis kerapu ini memiliki sisik halus dan amat lembut badannya. Cuba cucuk jari ke atas badannya seolah-olah tiada sisik keras melindungi kulit.
Isinya halus dan amat putih sekali. Bebola mata hitam di kelilingi warna merah luaran. Rekod pembesaran boleh mencapai usia 26 tahun dengan panjang maksima 120cm dengan berat dilaporkan 23.6kg!
Kerapu pisang jenis bintik biru ini adalah paling besar dalam subfamili Plectromopus.
Kerapu cukup sinonim dengan karang atau dasar berstruktur. Ia seumpama tinggal di hutan tebal daratan.
Semakin banyak hutan diterokai semakin jauh haiwan masuk kedalam. Seperti kerapu pisang juga.
Jenis ini amat sukar dipancing di lubuk yang lumrah dikunjungi nelayan dan pemancing. Peluang lebih besar jika pemancing dapat terokai lubuk ‘dara’ untuk menjerat pemangsa mahal amat digemari oleh golongan yang mampu.
Kerapu pisang merupakan hidupan marin yang unik, mendiami lautan tropika di kedalaman lazim 3 hingga 100 meter. Kerapu sering diistilahkan ikan pemalas suka mendiamkan diri dan berselindung di celahan batu karang.